Panas juga hantaran Bitcoin. Satu pujian harus diberikan kepada para peminat dan pengkomen. Ini membuktikan kadar kesedaran kripto dan capaian pendedahan yang tinggi kepada rakyat Malaysia walau dilabel sebagai negara membangun.
Matawang kripto menjadi pilihan atas beberapa faktor, Kalau nak bercerita penuh tentang kripto, satu tahun pun tak kan habis saya rasa. Sedangkan orang besar dalam sektor kewangan juga sukar memahami dan menerima wang kripto.
Secara ringkasnya, matawang kripto menjadi pilihan kerana transaksi boleh dijalankan tanpa melalui bank. Rekod transaksi disimpan pada satu lejar awam yang tidak boleh diubah dan selamat yang dinamakan blockchain. Dalam lejar ini pula, setiap transaksi dan identiti pembuat transaksi tidak dapat dikesan.
Tapi hari ini kita ingin melihat kepada trend terkini terhadap matawang kripto. Matawang kripto tidak ada nilai tetap. Ia bergantung kepada permintaan. Semakin tinggi permintaan, semakin tinggi lah nilainya.
Bitcoin Tidak Lagi Kebal Dari Dikesan Pihak Berkuasa
Antara kejadian besar dalam berita kriptowang adalah penangkapan penjenayah siber DarkSide dalam pemerasan kepada Colonial Pipeline. DarkSide telah melakukan peras ugut kepada syarikat petroleum berkenaan dan meminta bayaran dalam bentuk Bitcoin. Ironinya, DarkSide berjaya dikesan kerana menggunakan transaksi Bitcoin. Sumber : NY Times
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengumumkan mereka telah berjaya mendapatkan semula 63.7 daripada 75 Bitcoin yang telah dibayar oleh Colonial Pipeline dalam pemerasan ugut tersebut. Menurut jurucakap, transaksi kriptowang, walaupun tidak terikat dengan mana-mana institusi negara, masih boleh dijejak kerana rekod lejar transaksi mereka tersimpan di dalam blockchain.
Kesemua 23 akaun DarkSide telah dijejak oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Bitcoin telah dirampas oleh AS. Menyoroti berita ini juga, nilai Bitcoin mengalami penurunan buat seketika. Sumber : NY Times
Dalam perkembangan kes serangan yang sama, AS sekali lagi menuduh Russia selaku seteru mereka sebagai dalang dalam serangan Colonial Pipeline. DarkSide dikatakan sebagai kumpulan pengganas siber yang berpusat di Russia. Sumber: The Moscow Times
Kelahiran Yuan Digital
China, selaku kuasa ekonomi besar dunia bertindak memperkenalkan matawang digital mereka sendiri, Yuan Digital. Dalam usaha mempromosi matawang baru mereka ini, kerajaan China juga telah memberikan jutaan Yuan Digital kepada awam. Sumber : CNBC
Yuan Digital adalah projek kerajaan China selama 7 tahun sebelum ia akhirnya menjadi realiti. Ia juga turut menggunakan teknologi blockchain. Apa yang membezakan Yuan Digital dan matawang kripto yang lain adalah Yuan Digital mempunyai sistem berpusat dan boleh digunakan sebagai legal tender. Sumber: Sanction Scanner
Secara kebetulan pula, selepas pelancaran Yuan Digital, China semakin agresif dalam membanteras matawang kripto di negara mereka. Walaupun berada dalam dua sistem yang berbeza dan tidak dianggap sebagai pesaing antara satu sama lain, Yuan Digital adalah antara khabar angin paling popular dalam kalangan penggiat. Ia dikatakan menjadi punca utama dalam pembanterasan matawang kripto oleh kerajaan China. Sumber: CNBC
Serangan Terhadap Bitcoin?
Pertama sekali, kita kembali ke tahun 2018 di mana matawang kripto telah digunakan sebagai alat serangan diplomatik antara dua kuasa besar melalui perang proksi.
Venezuela pada tahun 2018 telah mengumumkan akan melancarkan matawang kripto mereka sendiri yang akan berpusat terus dengan sistem kewangan mereka. Matawang kripto yang diberi nama “Petro” itu dinilai terus berdasarkan rizab petroleum Venezuela.
Presiden Venezuela ketika itu, Nicolas Maduro dalam ucapan pelancaran Petro berkata, Petro adalah satu usaha menentang Amerika Syarikat. Maduro juga menyifatkan Petro sebagai ‘kriptonit’ bagi Superman (AS).
Bertindak balas dengan pengumuman ini, presiden AS pada ketika itu, Donald Trump mengugut untuk mengenakan sekatan terhadap Venezuela. Russia yang berminat dalam usaha Venezuela telah bertindak dengan melabur ke dalam Petro secara rahsia dalam usaha mereka untuk mengelak daripada sekatan ekonomi yang sama, Namun begitu, penglibatan Russia dalam Petro tidak dapat disembunyikan juga. Sumber: Time.com
Berbalik kepada masa kini, pembanterasan China terhadap matawang kripto terutamanya Bitcoin telah menyebabkan nilai Bitcoin turun mendadak. Namun, pada masa yang sama juga, jumlah orang yang ramai meninggalkan matawang tersebut telah membuka ruang keuntungan yang lebih besar. Sumber: SCMP
Dengan pembanterasan China, ramai pelabur dan pemain Bitcoin telah mengalihkan pusat operasi mereka. Antara destinasi utama yang disebut sebagai syurga kripto adalah tidak lain dan tidak bukan Russia. Russia dilihat sebagai negara pemain terbesar dalam hash Bitcoin.
Selain Russia, negara pilihan lain dalam perpindahan besar-besaran pelabur China adalah Iran, Kazakhtan dan juga cuba teka? Ya, Malaysia. Ini kerana tiga negara ini masih lagi belum membuat dasar kerajaan rasmi tentang matawang kripto. Sumber: Finance Magnates
Kerajaan Malaysia juga pernah berusaha untuk mewujudkan matawang kripto kita sendiri pada tahun 2018 dengan nama cadangan Harapan Coin. Namun sehingga kini sejauh mana perkembangan kriptowang ini masih tiada perkembangan. Sumber: Berita Harian
Bencana Evergrande, Kejatuhan Saham China dan Kesan Kepada Bitcoin
Evergrande, sebuah firma pembangunan hartanah gergasi di China telah mengalami kerugian demi kerugian. Terlibat dengan banyak projek yang terikat dengan parti pemerintah, Evergrande dilihat gagal menyiapkan sebarang projek yang diberikan kepadanya.
Ini termasuklah projek pembangunan penempatan penempatan semula yang diarahkan oleh parti pemerintah. Secara ringkasnya, Evergrande telah menjadi syarikat gajah putih. Saiz pelaburan yang besar pada Evergrande dan pelbagai masalah kewangan. Ini secara tidak langsung telah menyebabkan kejatuhan nilai sekali lagi pada Bitcoin. Sumber: Yahoo Finance
Bitcoin secara amnya tidak terlibat dengan bursa saham. Namun begitu, Bitcoin dan kriptowang sering digunakan pelabur saham sebagai simpanan sekuriti modal pelaburan mereka. Dan apabila pasaran saham merudum, Bitcoin juga turut terkesan walau tidak secara langsung dan pada masa yang sama.
Ini kerana, pelabur mula sedar akan bahaya dan risiko Bitcoin yang tidak stabil. Pelaburan emas pula, sebaliknya menunjukkan trend yang baik. Sumber: CNBC
Namun begitu, nilai Bitcoin didapati telah mula pulih setelah bantuan kewangan disalurkan untuk menyelamatkan Evergrande tapi tidak sepenuhnya. Sumber: Reuters
Serangan Ke Atas Bitcoin.org
Bitcoin.org adalah laman web komuniti Bitcoin. Walaupun tidak terikat secara terus dengan Yayasan Bitcoin, namun penubuhan Bitcoin.org pada tahun 2008 adalah sebagai usaha sumber-terbuka untuk merancakkan perkembangan Bitcoin. Sumber: Be In Crypto
22 September 2021 lepas, laman web Bitcoin.org telah dipasang dengan iklan berbentuk scam dengan mesej tawaran untuk menggandakan Bitcoin mereka sekiranya mereka menderma Bitcoin mereka. Kononnya, pulangan dua kali ganda ini adalah hasil daripada Yayasan Bitcoin sendiri.
Laman web ini telah ditutup hampir 24 jam selepas mesej dari scammer ini dimuat naik. Tidak lama kemudian, laman web ini juga telah diserang dengan DDoS. Scam terbaru ini telah menyebabkan kerugian sebanyak $17,700USD. Sumber:
1) https://www.coindesk.com/tech/2021/09/23/bitcoinorg-appears-hacked-by-giveaway-scam/
2) https://www.dailymail.co.uk/news/article-10019843/Crypto-website-Bitcoin-org-hacked-pop-asking-visitors-send-money-earn-double.html
Konspirasi Matawang Kripto
Begitu banyak kospirasi tentang matawang kripto terutama sekali pada Bitcoin. Ada pihak berpendapat serangan ke atas bitcoin adalah satu serangan balas terhadap perpindahan beramai-ramai pemain kripto ke Russia. Sesetengah pihak melihat ini sebagai ancaman terutama sekali bagi pihak yang tidak seteru dengan Russia.
Bitcoin.org walau tidak berkait secara langsung dengan Yayasan Bitcoin adalah ‘muka depan’ bagi Bitcoin. Serangan ke atas laman web ini dilihat sebagai ancaman kepada Bitcoin itu sendiri bagi sesetangah pihak.
Ingatkah anda kepada aktiviti torrent dan p2p? Dahulunya dilihat sebagai aktiviti yang kebal, kini menjadi satu jenayah. Ya, memang fail adalah milik anda dan disimpan oleh anda. Namun pemilikan fail tertentu kini boleh disabitkan jenayah dan anda dikira melanggar undang-undang.
Sama juga dengan kriptowang. Ya, memang wang kripto anda masih lagi berada dalam simpanan anda. Serangan ke atas matawang kripto bukan bermakna wang kripto anda dicuri, tapi serangan ke atas nilai matawang kripto itu sendiri. Sama seperti serangan proksi ke atas matawang negara musuh tertentu dengan inflasi dan kejatuhan nilai matawang.
Apa pun, dengan kajian dan pembacaan lanjut kriptowang, kita secara tidak langsung mula membuka minda dengan geopolitik dan pasaran ekonomi global. Itu belum lagi masuk cerita kriptowang yang lain di pasaran. Tak masuk lagi spekulasi pasaran GPU.
Ada orang melihat matawang kripto sebagai pelaburan. Ada yang melihat ia hanya sebagai hobi. Ada yang jadikan ia periuk nasi. Jadi jangan melenting hanya kerana ada berita yang tidak menyenangkan hati anda kerana berita adalah berita. Ia bukan cerpen dan cerita waktu tidur.
Spekulasi itu biasa tambahan pula dalam bidang dan ekonomi yang penuh berisiko. Saya sendiri melalui zaman kegawatan ekonomi asia. Perniagaan tembakau keluarga saya jatuh muflis dengan modal saham sebanyak lebih RM 1 Juta lesap. 20 tahun kami menanggung hutang, rumah dan tanah digadai, disita bank.
Tapi, itulah pelaburan. Kecil risiko, kecil pulangan. Tak sanggup risiko, jangan melabur. Tak tahan spekulasi, beli lah emas. Sekian daripada saya untuk kali ini. Maaf atas kebodohan, kekasaran bahasa ataupun sebarang salah silap. Sesungguhnmya:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong komenkan.
Apa pandangan anda semua? Apa konspirasi dan teori yang anda fikir? Komen dan bincangkan di bawah.
#OMGHNews #OMGHINfo #Bitcoin