Jangan risau, jangan bimbang. Tajuk sahaja gempak, tapi artikelnya santai. Anda yang di ‘permulaan’ atau newbie pun akan boleh ikut artikel ini dengan mudah.
YouTube bukan sahaja gedung video, ia juga punyai enjin carian yang dikuasakan oleh Google, semestinya.
Sebagai contoh, anda boleh ‘pinjamkan’ Google Dorks seperti allintitle untuk mencari tajuk video spesifik.
allintitle:”cromok live rock the world”
Tetapi, bukan itu sahaja keistimewaan enjin carian YouTube. Hanya dengan menambah beberapa kata kunci pendek pun anda sudah boleh mencari video-video unik mengikut kehendak anda.
Di sini saya cuba berikan beberapa contoh ringkas.
Mencari Video 3D
Dengan menambah kata kunci ‘3d’ selepas tajuk, anda akan dapat menemui video-video dalam bentuk 3D yang boleh dinikmati menggunakan kata mata 3D anda. Kalau ada lah.
the amazing spiderman, 3d
Mencari Filem Penuh
YouTube ada tersedia filem-filem penuh yang tersorok disebalik sekatan geografi dan sebagainya.
Gunakan kata kunci movie untuk menyelak senarai filem penuh yang ada. Kalau nak cari filem-filem Rajinikanth, gunakan:
Rajinikanth, movie
Mencari Saluran
Saluran spesifik dapat dicari dengan amat-amat senang sekali. Hanya masukkan apa jenis niche yang anda minat, dan sambung dengan ‘channel’. Sebagai contoh,
ghost hunting, channel
Mengehadkan Carian Kepada Waktu Tertentu
Ini juga mudah. Anda hanya perlu tambah kata kunci ‘today’, ‘this week’, ‘this month’, untuk mengehadkan pencarian video.
Ambil contoh ini,
omargoshtv, today
Mencari Video Siaran Langsung
Cuba teka apa kata kuncinya yang perlu digunakan untuk mencari video siaran langsung?
Ya betul, live. Jika anda minat memasak, maka boleh cuba,
cooking, live
Cari Video Rasmi
Jika anda tidak mahu video parodi dan material dari peminat, tambahkan ‘partner’ di hujungnya.
cromok, partner
Mencari Senarai Main
Senarai main adalah satu cara mendapatkan ‘album penuh’, atau mencari video yang berkaitan dalam satu senarai.
Tambahkan ‘playlist’ selepas kata kunci pilihan. Contoh:
av1 video, playlist
Mencari Video Berdefinisi Tinggi
Logiknya, ‘hd’ adalah semudah-mudah kata kunci bagi carian ini.
transformers trailer, hd
Juga boleh digantikan dengan 4k, sekiranya anda ingin hanya menonton video 4k.
transformers trailer, 4k
Mencari Video Berdurasi Panjang
Tambahkan kata kunci ‘long’ pada hujung carian anda. Contohnya,
robocop, long
Begitu juga sebaliknya, apabila anda ingin mencari hanya video berdurasi pendek, tambahkan sahaja ‘short’ dibelakangnya.
robocop, short
Menggabungkan Kata Kunci
Setelah anda mengingati kata kunci carian di atas, anda juga boleh menggabungkan ia untuk mencari video ‘super-spesifik’. Contoh,
aew, hd, today, short
Demikianlah kaedahnya dalam mencari video yang spesifik di YouTube. Cubalah, anda pasti akan rasa agak ‘terhibur’ kerana YouTube akan ‘mengikut’ kehendak anda. Juga kaedah yang sama anda boleh manfaatkan pada aplikasinya di peranti mudah alih seperti telefon pintar.