Utama Blog Laman 204

Epic War TD 2 : Tower Defense Yang Menyakitkan Kepala

0

Begitu banyak sekali permainan dari genre Tower Defense yang telah saya mainkan. Tiada satu pun yang saya anggap ‘mudah’. Ya, saya memang agak ‘kureng’ sedikit dalam bab permainan, tetapi bagi saya Tower Defense mencabar minda dan emosi. Setakat mengusik minda saya tidak beberapa kisah sangat, tapi apabila menyentuk emosi akibat kalah berulang kali, bagi saya permainan itu harus ‘dikuburkan’ dengan mengalahkan pula permainan itu sehingga habis kesemua level.

Jika anda peminat genre ini, anda pasti sudah pun membaca artikel saya yang terdahulu di sini : Top 3 : Permainan Tower Defense Android 2014/2015

Dalam artikel tersebut, saya telah menulis sedikit ulasan mengenai permainan Kingdom Rush Origins, Myth Defense 2 : DF Platinum, dan juga Anomaly Defenders. Antara ketiga-tiga permainan itu, paling sukar sekali bagi saya adalah Myth Defense 2 : DF Platinum.

Namun, setelah mencuba Epic War TD 2, sebuah permainan yang telah direka oleh AMT Games, angin di kepala saya sudah ‘naik’ ke ‘satu badan’.

Masakan tidak, ia bukan hanya permainan tipikal Tower Defense, bahkan ia juga lebih berbentuk ‘puzzle’. Ini bermaksud pembangun akan membiarkan anda meneka apakah tower yang terbaik untuk diletakkan di satu-satu tempat, apakah naik taraf yang sesuai, dan berapakah jumlah tower dari jenis yang sepatutnya ditempatkan di tempat yang juga ‘sepatutnya’ untuk ia.

Pening? Saya yang main ni lagi lah pening! Pening gila hoiii.. susah betul nak menang level 9 ni.. Hahaha!

Seperti yang dapat anda lihat pada paparan skrin di atas, permainan ini dilancarkan pada harga USD2.99, bersamaan dengan RM10.77 mengikut kiraan Google Play Store. Itupun kata pembangun di ruang penerangan permainan tersebut, ianya adalah harga 40% diskaun, ‘harga pengenalan’ untuk pembeli terawal. Bermakna harganya kalau tidak dibeli sekarang akan naik lagi setelah ia mencecah harga sebenar. (Mohon yang menggunakan duit PTPTN atau masih lagi dalam tanggungan mak ayah tidak mention blog-blog aplikasi pirate di ruangan komen nanti ya, terima kasih..).

Anda nak lihat sedikit previu? Lihat pada paparan skrin di bawah pula:

Rating saya? Masih terlalu awal untuk diberikan rating yang adil seadil-adilnya. Tetapi cukuplah saya katakan permainan ini masih boleh ditambah baik dari segi kepermainan (gameplay), dan juga keseimbangan (balance) untuk membina serta menaik taraf sesebuah tower. Bagi saya permainan ini cukup memuaskan hati dari segi grafik, manakala lain-lain faktor ialah ia tidak mempunyai In-App Purchases. Bererti segala naik taraf sesuatu tower datangnya dari permainan ini 100% tanpa melibatkan wang digital a.k.a wang anda yang dicaj melalui pembelian coins/gold/gems.

Jika anda ‘keras-teras’ serta ‘kipas-susah-mati’ permainan Tower Defense, ini adalah permainan wajib beli untuk anda : Epic War TD 2

Tunggu apa lagi ni? Main laaa.. It is time for warrr.. Arrrrr.. Makan budakkk..

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Google Chrome : Extension Untuk Menjaga Privasi/Data Peribadi

0
Kekal Selamat Dalam Talian

Manusia Tanpa Nama Bahagian 3

Berada dalam talian dengan cita-cita menjadi ‘manusia tanpa nama’ a.k.a ‘Anonymous’ tidak bermaksud anda perlu menjadi seorang manusia yang sukar dijejak oleh sesiapa, atau menjadi manusia yang tidak dikenali dengan jelas identitinya. Ia lebih dari sekadar itu. Usah tertipu dengan penampilan yang bisa menjahilkan. Usah terpedaya dengan manifesto pejuang-pejuang bertopeng, sedangkan kesemuanya tidak bermakna apabila perkara-perkara asas tidak anda kuasai.

Pintu gerbang kepada internet adalah komputer dan alamat IP anda. Saya sudah memberikan tips pada artikel sebelumnya, jadi anda bolehlah membaca artikel-artikel tersebut terlebih dahulu. Melalui pintu gerbang pula, ‘kenderaan’ untuk anda sampai ke destinasi anda iaitu laman-laman web, blog, dan pelbagai lagi sasaran anda di internet adalah pelayar web anda.

Terdapat pelbagai pilihan pelayar web di internet. Anda boleh muat turun dan menggunakan ia kerana ianya terdapat secara percuma. Bagi anda yang masih menggunakan Internet Explorer, apa kata anda buka mata dan pelbagaikan lagi pilihan dalam sistem operasi. Sewaktu saya masih belajar di sekolah menengah, cyber cafe adalah tempat wajib singgah selepas waktu persekolahan. Waktu itu, saya hanya mengenali Internet Explorer, sehinggalah saya termanggu seketika apabila ketik di sana sini, ianya tidak dijumpai dalam komputer. Jenuh bertanya dengan ‘orang sebelah’, malu jadinya apabila beliau selamba berkata “Bang, saya guna ini.”, sambil menunjuk ikon pelayar web Firefox.

Bermula dari hari itu saya tidak menoleh ke belakang lagi. Pelbagai pelayar web telah saya cuba dan terokai cirinya. Anda boleh baca contoh-contoh melalui artikel saya pada tahun 2011 di sini : Senarai 10 Web Browser Yang Jarang Didengari

Melalui ‘kenderaan’ anda ini, anda akan lalui ‘pintu-pintu’ lain pula, yang kebanyakannya mempunyai pengawal tersendiri, dan biasanya mereka akan meminta kata laluan. Laman-laman web seperti laman perbankan, e-mail, dan lain-lain akaun akan meminta kata laluan anda. Di sinilah segalanya bermula.

Peranan Penggodam

Ketahuilah, bahawa kata laluan anda tidak perlu hilang untuk jatuh ke tangan yang salah. Kata laluan biasanya akan dibobol, dicuri, dirampas dari anda tanpa pengetahuan anda sendiri. Lengkapkanlah diri anda dengan asas-asas keselamatan IT sebelum ‘bergerak jauh ke deep web’.

Adakah salah penggodam apabila mereka mengancam data peribadi anda? Ya, salah apabila ia dilakukan tanpa tujuan yang jelas. Tetapi jangan dilupa, tanpa mereka ini kita masih akan lalai dengan keselesaan. Kita menyangka kata laluan ‘abcd1234’, ‘adminpassword’, ‘admin123’, dan lain-lain contoh adalah perkara enteng.

Sedangkan walau siapapun anda, anda tetap perlu menjaga data peribadi dengan baik. Tambahan jika anda merupakan peniaga, atau anda menjaga laman web syarikat, kata laluan adakah kunci keselamatan.

Mari kita singkapi apakah serba-sedikit extension untuk Google Chrome yang mampu membantu anda menjaga privasi. Saya pilih Google Chrome, adalah kerana ia pelayar web yang saya gunakan setiap hari.

1. Blur

Jika anda benar-benar mengambil berat, akan privasi anda ketika berada dalam talian, adalah lebih baik untuk anda menggunakan extension ini, iaitu Blur. Sesuai dengan namanya, ianya satu untuk semua. Selain password manager, ia juga merupakan trackers blocker. Beratus-ratus tracker boleh disekat hanya dengan menggunakan extension ini. Tak lupa juga cirinya yang paling menarik, ia mampu membuat ‘Masked Inbox’ dan juga ‘Masked Card’. Katakan anda dari jenis orang yang selalu menggunakan debit/credit card untuk membayar sesuatu dalam talian, Blur akan ‘mengaburkan’ info debit/credit card anda yang sebenar. Hei, debit/credit card pun kena ‘anonymous’.

Blur juga ada menawarkan akaun Premium. Anda boleh lihat pada pautan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut : Blur

2. Disconnect

‘Premium Privacy’ dan ‘Track the trackers’ adalah moto mereka. Selain menyekat trackers, Disconnect juga menawarkan akaun premium yang mempunyai ciri-ciri menarik seperti VPN. VPN dari Disconnect dikatakan bukan ‘VPN tipikal’ apabila ia sendiri bertindak sebagai trackers blocker. Dengan sambungan ke internet yang dienkrip melalui VPN, anda boleh menarik nafas lega setiap kali menggunakan pelayar web, tanpa perlu berfikir mengenai apa-apa jenis serangan siber. Disconnect adalah ALTERNATIF kepada Blur.

3. ZenMate, Hola, Ultrasurf, dan GOM

Jika anda merupakan pengguna akhir yang tidak mahu memikirkan tentang kaedah-kaedah teknikal apabila melibatkan VPN, maka Web-VPN adalah pilihan tepat untuk anda. Ketiga-tiganya berfungsi dengan cara yang sama, cara yang mudah. Anda cuma perlu pasang dan hidupkan (enable). Setalah itu, lokasi anda akan disembunyikan melalui sambungan kepada pelayan VPN servis-servis extension ini. Kesemuanya menawarkan akaun premium masing-masing (kecuali Ultrasurf), jadi silalah mencuba agar anda boleh pilih sendiri mana yang terbaik untuk anda.

4. Web Of Trust

Web Of Trust adalah extension yang boleh diibaratkan seperti lampu trafik. Hijau untuk ‘jalan’, kuning untuk ‘berhati-hati’ dan merah untuk ‘no no no’. Semua sumber info adalah datang dari komuniti pengguna-pengguna WOT itu sendiri. Jika anda menggunakannya, anda juga boleh memberikan rating kepada sesebuah laman web untuk dimasukkan ke dalam pengkalan data WOT. Jadi mana-mana pengguna lain yang akan memasuki sesebuah laman web yang telah anda berikan rating akan dapat lihat rating tersebut. Dari komuniti, untuk komuniti.

5. HTTPS Everywhere

‘S’ adalah untuk sekuriti. Jadi dengan menggunakan extension HTTPS Everywhere ini, secara automatik sambungan anda akan dienkrip pada laman-laman yang menyokong fungsi ini. Serangan-serangan asas ‘eavesdropping’ dapat dielakkan dan seterusnya menambah satu lagi fungsi sekuriti pada sambungan anda.

6. Credit Card Nanny

Mungkin kita tak tahu, mungkin kita tidak perasan, akan sesuatu laman web yang kelihatannya sempurna pada mata kita, rupa-rupanya tidaklah seperti yang dilihat pada mata kasar. Credit Card Nanny ini akan menjaga anda dari laman-laman web seperti ini, pada zahir nampak bagus, tetapi sesudah anda selesai memasukkan data kad kredit anda, ianya dihantar ke administrator dalam bentuk teks. Ini yang kita tidak mahu terjadi, dan ini yang Credit Card Nanny akan cuba untuk cegah.

7. PasswordFail

PasswordFail juga berfungsi dengan cara yang lebih kurang sama dengan Credit Card Nanny. Mana-mana laman web yang tidak membuat enkripsi terhadap data sulit seperti nama pengguna dan kata laluan akan diberi tahu kepada anda melalui maklumat pada pengkalan data mereka. Moto mereka ‘Website Does Not Send Out Password’. Anda juga harus begitu, jaga kata laluan dengan ketat serta cipta kata laluan yang sukar untuk dipecahkan.

8. Click&Clean

Anda boleh membersihkan Google Chrome dari ‘sampah sarap’ melalui pilihan dari Settings yang diberi, tetapi dengan Click&Clean, tetapan pembersihan adalah di hujung jari. Paling penting sekali terdapat pilihan yang tiada dalam Settings. Jadi fungsinya memang sesuai untuk ‘power users’. Dari pembersihan cache dan cookies, sehinggalah kepada pilihan untuk membuka pelayar dalam mode Incognito, semuanya ada di extension ini.

9. AdBlock

Ramai yang tidak menyedari hakikat akan peranan besar yang dimainkan oleh AdBlock. Ia bukan sekadar menyekat iklan, tetapi dalam masa yang sama mengurangkan risiko PC anda dari dijangkiti malware. Kebiasaan kes yang saya lihat pada PC yang kerap kali disinggahi oleh malware ini, sama ada mereka tidak menggunakan AdBlock atau mengambil mudah dengan hanya menggunakan Internet Explorer yang ‘kosong’. Apabila selesai diperiksa, jelaslah malware tersebut datang dari iklan yang ditampal pada laman web yang mereka pernah buka.

Jadi jangan tunggu lebih lama lagi. Sekat iklan, sekat malware, lalu kurangkan risiko ke atas privasi anda.

Baiklah, saya harap artikel kali ini agak ‘kurang berat’ sedikit berbanding sebelumnya.  Nak pupuk minat membaca di kalangan orang kita bukan kerja mudah. kalau Google pun malas berat jari, membaca apatah lagi. Tapi besar harapan saya agar apa yang saya nukilkan ini mampu untuk dihadamkan, seterusnya menjadi amalan semua.

Kita sambung lagi nanti.. Shazammm..!! Pufffff.. <— bunyi bom asap, lalu saya pun menghilang..

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Bagaimana Menjadi ‘Anonymous’ 100% (Bahagian 2)

0
Apabila telah habis menonton ketiga-tiga filem Taken, secara ringkasnya kita dapat lihat satu watak yang cukup cekap ‘menghilangkan jejak’ diri sendiri. Tapi atas dasar apa yang perlu kita ‘bayar’?

Adakah perlu kita duduk dalam gua, buang segala teknologi di tangan kanan dan tangan kiri, bakar segala rekod kelahiran, semata-mata untuk bergelar ‘manusia tanpa nama’? Sanggupkah anda buat begitu?

Tidaklah saya katakan watak Bryan Mills itu begitu sifatnya, cuma kalau dilihat filem lakonan Liam Neeson yang lain, contohnya A Walk Among The Tombstone, watak Matt Scudder juga kelihatan agak ‘primitif’, maksud saya dari segi teknologinya. Beliau lebih selesa menggunakan telefon awam daripada menggunakan telefon bimbit pintar, hatta Nokia 3310 sekalipun. Dek kerana itulah agak sukar menjejak langkahnya melainkan beliau telah diekori rapat dari awal lagi.

Itulah jua maksud saya.

Menjadikan diri anda 100% ‘manusia tanpa nama’ ini bukan suatu yang boleh dianggap sebagai ‘boleh dilakukan tanpa pengorbanan’. Jika dilihat kepada apa yang cuba saya ingin sampaikan, ia adalah CARA HIDUP. Kalau orang putih kata, ‘it’s the way of life‘. Kalau ia bukan cara hidup anda, anda tidak terbiasa dengannya, saya kira anda cuma boleh menjadi hanya ‘separuh manusia tanpa nama’.

Tapi adakah ianya tidak bagus? Di zaman moden dan serba canggih ini, di mana teknologi adalah segala-gala yang anda lihat, saya kira kalau dapat jadi ‘separuh’ pun ok, kan?

Sekiranya anda bukan penjenayah, anda tidak perlu takut sesiapa jua tahu di mana anda berada. Tetapi tidak semestinya hanya dengan menjadi penjenayah sahaja yang melayakkan anda untuk menjaga privasi. Anda boleh jadi sesiapa saja, asalkan anda sentiasa bersambung ke internet sama ada melalui komputer, peranti-peranti lain seperti peranti Android, maka selagi itulah anda perlu menjaga privasi.

Untuk apa? ASAS. Ya, privasi adalah asas kepada semua perkara. Tanpa privasi, tanpa data yang dijaga rapi, sesiapa saja yang mahir akan mempunyai akses kepada akaun-akaun sulit/peribadi/penting anda. Tidak semestinya menjadi ‘anonymous’ itu adalah dengan menyorokkan wajah anda dari tatapan umum, atau memakai topeng V For Vendetta sambil berarak di jalanan. Ehhh.. tersasul pula.

Kalau orang tanya saya ‘kenapa’, saya akan jawab ringkas, ‘kerana saya boleh dan itu adalah pilihan saya’. Manusia di sekeliling anda tidak perlukan apa-apa sebab untuk membenci anda. Ia boleh jadi teman di tempat kerja anda, teman di akaun sosial anda, bahkan sesiapa saja. Jangan lupa juga, kebanyakan penceroboh-penceroboh privasi yang hendak sangat digelar ‘penggodam’ ini melakukannya hanya kerana hendak ‘menguji’ ilmu masing-masing.

Jika anda rajin sangat menggunakan internet percuma di mana-mana restoran makanan segera seperti KFC mahupun McD, anda bernasib baik jika kesemua yang menggunakannya hanya ingin menikmati internet percuma seperti anda. Tetapi jika salah seorang dari mereka merupakan techsavvy, yang sememangnya suka menggunakan ilmu yang ada untuk mendapatkan info-info sulit dari sesiapa saja yang gemar menggunakan WiFi terbuka, adakah anda rasa anda tidak bersalah kepada diri sendiri?

Atas sebab itu juga adakah anda selesa jika semua orang boleh membaca alamat rumah anda di internet? Alamat rumah yang tepat, yang boleh menjejak anda ketika anda sedang bersantai atas sofa?

Tak selesa bukan? Begitulah jua dengan komputer/telefon bimbit pintar/tablet yang tersambung ke internet. Setiap satunya ada alamat masing-masing, yang boleh dijejak dengan pasti ke tempat anda duduk, yang pertamanya melalui Alamat IP (IP Address) dan yang keduanya melalui GPS – Google’s Location Service (Peranti Android anda!).

Saya telah banyak membincangkan akan hal ini di awal kemunculan blog OMG! Hackers?, waktu ia masih dikenali sebagai My Hackers Are Here, tentang pelbagai cara untuk menyembunyikan alamat IP asal. Topik ini seakan ‘core topics’ kepada OMG! Hackers?. Jadi jika anda tidak keberatan, mari kita kembali kepada asas untuk segalanya. Kerana tanpa asas yang kukuh, perkara-perkara lain yang melibatkan teknikal tidak akan dapat anda fahami secara menyeluruh.

Terdapat pelbagai kaedah untuk menyembunyikan alamat IP yang sebenar. Meskipun ada antara sahabat saya yang berkata “Tak kiralah berapa banyak exit nodes sekalipun (sistem TOR), ia tetap tak dapat menyelamatkan kita dari dijejak”. Tetapi pada hemat saya adalah lebih baik kita lengkapkan diri dengan semua kelengkapan yang ada.

Daripada SSH Tunneling, VPN, hinggalah kepada asasnya iaitu proksi, sedikit-sebanyak ia akan membantu separuh dari diri anda untuk bersembunyi dari mata-mata jahat yang memerhati.

Untuk membaca mengenai TOR, klik di sini : Lindungi Identiti Di Internet Dengan TOR

Baca mengenai Tails di sini : The Amnesic Incognito Live System

SSH Tunneling : Klik di sini

VPN/OpenVPN : Klik di sini

E-buku percuma dari Mr. Hac : Anonymous Surfing

Sebelum nak ‘sembang kemas’ tentang Kali Linux kaedah-kaedah hacking yang lain, saya rasa eloklah anda dalami dulu asas-asas di atas. Kalau asas anda masih goyah, tak usahlah anda melangkau bab yang lebih jauh, takut tersadung batu di tengah jalan. Seboleh-bolehnya saya nak anda dalami, selami, dan mahirkan diri dengan kesemua kaedah untuk menyembunyikan alamat IP asal. Apabila telah mahir, maka bolehlah kita maju ke topik-topik yang lainnya.

Selepas ini saya akan cuba membincangkan pula bagaimana kita boleh cuba untuk jadikan pelayar web yang digunakan adalah ‘selamat’ untuk anonymity meskipun ianya adalah Google Chrome. Biasalah, kalau dah terlampau perasan diri tu ‘hejes’, segala yang berkaitan Google dibencinya, pada hal kalau Google menawarkan mereka ini pekerjaan dengan gaji yang super lumayan mereka sapu licin juga. Heheh..

Oh ya, cuba periksa sebahagian kecil apa yang pelayar web anda telah dedahkan kepada ‘dunia luar’ tanpa anda memberitahu kepada sesiapa melalui pautan ini : Stay Invisible

Kalau nak bahan bacaan yang santai, anda boleh cuba baca cara untuk spoof MAC address (Arch Linux) di sini : MAC address spoofing – ArchWiki

Baiklah. Saya harap anda baca sampai ke akhir barisan ini. Semoga anda beroleh sedikit manfaat. Sedikit pun jadilah, asalkan ada bahagian saya di akhirat kelak. Amin.

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Bagaimana Menjadi ‘Anonymous’ 100% (Bahagian 1)

0
Sebenarnya tajuk ini adalah berat untuk ditulis dan dibincangkan secara ilmiah atas talian. Tetapi untuk dasar ilmu asas tidak salah kiranya saya membuka bicara 2015 ini dengan menulis mengenai ‘orang tanpa nama, tiada identiti’, atau istilah yang diguna pakai pada masa kini ialah ‘Anonymous’. Artikel ini bolehlah dikatakan idea dari kepala saya sendiri. Jadi jika anda tergamak untuk copy and paste di blog anda, sila berikan kredit yang sepatutnya, terima kasih daun keladi.

Memulakan tajuk berat ini, saya ingin mengingatkan kepada anda bahawa usah perasan diri anda itu ‘pro’, usah perasan diri anda tidak akan dapat dikesan oleh sesiapa selagi anda hidup nyata atas muka bumi ini. Melainkan anda ada talian persaudaraan dengan kerabat makhluk asing, anda mungkin selamat selamanya dari apa sahaja.

Pernah tonton filem Taken? Atau Taken 2? Takpun Taken 3? Ya, dalam filem Taken 3 ada dialog dari seorang pegawai polis mengatakan “This guy right here, he knows how to disappear.”
Jika anda tonton dari filem pertama hinggalah yang ke 3, anda pasti tahu bagaimana karakter Liam Neeson dalam filem-filem tersebut bukan?

Watak Bryan Mills walaupun bukan secara tepat boleh diistilahkan sebagai ‘Anonymous’, dari segi kesukaran untuk mengesan beliau. Beliau bukan sahaja pandai ‘menghilangkan diri’, malah butiran peribadi beliau juga amat sukar untuk dicari. Cubalah apa jua cara, Bryan Mills tetap tidak akan dapat dikesan. Kenapa? Bagaimana? Adakah ia sesukar filem tersebut?

Jawapan saya, boleh dikatakan, YA. Ianya adalah sukar walaupun bukan mustahil (kita akan ke bab itu nanti).

Jadi kalau nak diikutkan, bagaimanakah kaedahnya? Wujudkah manusia begitu?

Jawapan saya yang pertama, untuk menjadikan diri anda ‘sesukar’ Bryan Mills, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah:

UN-GOOGLE YOURSELF

Apa itu ‘Un-Google’?

Saya sendiri tidak ingat dimana saya mendapat istilah ini, tetapi secara asasnya anda perlu menjadikan diri anda sendiri tidak dapat dikesan oleh Google, dengan cara menyahpasang, memadam, membuang, apa saja data anda yang ada pada Google. Dari Google Plus, Drive, Play Store, Chrome, Search, Inbox, Gmail, Maps, Calendar, Translate, Blogger, Hangouts, Analytics, dan yang paling penting sekali ialah, ANDROID.

Kalau anda tanya saya, saya jawab terus-terang, saya katakan ‘tidak’ untuk ‘ungoogle’. Kerana saya adalah orang yang paling banyak bergantung kepada produk-produk Google ini. Di zaman kemodenan padu ini, apa jua maklumat boleh didapati melalui Google dan Facebook. Ianya seakan tidak peribadi lagi. Privasi anda sudahpun Facebook ragut secara halus. Manakala Google pula menambah rencah.

Tiada yang benar-benar PERCUMA dalam dunia ini. Semua ada harga masing-masing. Bezanya murah atau mahal, paling tidak harganya dikaburi dengan pelbagai cara, sama ada iklan, atau… data peribadi milik anda yang diambil. Pernah terfikir kan, Google tak pernah meminta duit anda pun, tetapi, sebuah syarikat besar yang bakal melancarkan internet kepada seluruh dunia, kepada semua manusia di atas muka bumi ini, segala-galanya ada HARGA masing-masing. Anda membayar kepada Google dengan info peribadi milik anda.

Saya faham, ini adalah satu percubaan yang sukar. Tetapi jika anda teringin hendak mencuba, berikut adalah kaedahnya, satu demi satu, walaupun tidak semua jenis data anda boleh padam, pindah, atau muat turun, tetapi sedikit-sebanyak pilihannya ada di situ, meskipun tidak diwar-warkan secara terbuka oleh Google.

1. Padam Sejarah Lokasi Anda

Google menjejak anda, ke mana jua anda pergi. Selagi di tangan anda masih ada peranti yang menggunakan aplikasi dari Google, tidak kiralah Android atau iOS, maka selagi itulah anda dijejak rapat.

Kalau dalam Android, anda boleh lakukannya melalui Settings – Location – Google Location Reporting – Location History – DELETE LOCATION HISTORY. Melalui PC, anda boleh padam ia di pautan ini : Google Location History

Klik pada ‘Show: 30 Days’, dan klik ‘Delete all history’.

Ada extension/add-on untuk Google Chrome/Firefox yang boleh membantu, tetapi itu kita akan bincangkan dalam entri yang lain.

2. Padam Sejarah Carian

Sejarah lokasi adalah begitu penting, tetapi sejarah hasil carian anda di enjin carian Google juga perlu dihapuskan, untuk sekurang-kurangnya jejak carian anda tidak dapat dikaji lagi.

Pergi ke pautan ini : Google – History untuk memadamkan ia. Ikut gambar di bawah:



3. Export Kesemua Data Dari Google Sebagai Salinan Sandaran

Mungkin nampak seperti sudah terlambat, tetapi bak kata pepatah, “It’s better late than never.”. Anda boleh keluarkan kesemua data yang berkaitan dengan Google dan muat turun ia sebagai salinan buat diri anda. Pergi ke pautan ini : Google Takeout untuk melakukannya.

4. Keluar Dari Google Analytics & Interest Based Ads

Oh, anda mungkin tidak tahu, data-data peribadi milik anda akan dijual kepada pengiklan-pengiklan oleh Google. Sebab itulah jika anda buka apa jua laman yang mempunyai iklan, akan seringkali terpapar iklan-iklan yang berkaitan dengan hasil carian anda di Google. Ada juga extension/add-on untuk Google Chrome dan Firefox yang boleh membantu, tetapi seperti biasa, itu kita akan bincangkan dalam entri khas untuk Google Chrome.

Pergi ke pautan ini : Ads Settings untuk keluar dari Interest Based Ads, dan klik pula pautan ini : Google Analytics Opt-out sekiranya anda pernah menggunakan ia untuk blog-blog anda.

5. Pantau ‘Permission’ Yang Telah Diberikan Kepada Aplikasi

Daripada laman web, hinggalah kepada aplikasi-aplikasi, kebanyakan darinya membolehkan anda untuk ‘sign in’ menggunakan akaun Facebook atau Google+. Banyak data anda tersimpan di ‘sana’. Jika anda mahu periksa kesemuanya, sila ke pautan ini : Google App Permissions untuk memeriksa dan membuang permission yang anda rasakan patut, walaupun ‘yang patut’ itu adalah semua sekali.

Ini adalah sebahagian kecil dari ‘perjalanan’ kerja buat kita untuk menjaga privasi diri, seterusnya menjadi ‘manusia tanpa nama’ a.k.a ‘anonymous’ (jika itu yang anda suka gelarkan). Mungkin sebahagian darinya dirasakan sudah terlalu lambat kerana data yang anda kongsikan di internet sudah terlalu banyak. Tetapi sekurang-kurangnya ada antara data yang kita sudah boleh lihat dengan jelas dan kawal. Saya akan bincangkan lagi dalam entri seterusnya. Nantikan ia.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Google Bakal Melancarkan MVNO Dengan Kod Nama ‘Nova’

0
Setelah Google Fiber menguasai kelajuan internet di beberapa buah negara, terbaru, Google dikatakan bakal melancarkan sebuah Mobile Virtual Network Operator (MVNO) sendiri, hasil dari gabungan 2 rangkaian iaitu Sprint dan T-Mobile.

Program ini telahpun diberi kod nama iaitu ‘Nova‘ atau ‘Project Nova’.

Untuk anda yang masih belum mengetahui apa itu MVNO, ia adalah pihak ke-3 yang ‘meminjam’ karier dari rangkaian sedia ada untuk menawarkan servis mereka sendiri. Untuk perumpamaan mudah, lihat saja TuneTalk, OneXOX, RedOne, dan beberapa lagi MVNO lain yang meminjam karier dari Celcom lalu memasarkannya dengan pelan tersendiri. Bahasa mudah faham, re-seller kepada karier telco lain dengan pelan baru.

Projek ini dikatakan bertujuan untuk membawa perubahan kepada telco-telco sedia ada untuk memperbaharui servis mereka. Ini termasuklah pelan dan juga harga yang ditawarkan oleh telco-telco tersebut. Google juga bakal menawarkan harga yang lebih rendah serta membangunkan aplikasi sendiri yang akan menyokong MVNO ini.

Sumber : Arstehnica

Views: 1

Iklan Newspaper Inline

Pembangunan WhatsApp+ Secara Rasminya Dihentikan

0
Baru semalam saya nukilkan bahawa ramai pengguna WhatsApp+ yang disekat penggunaannya oleh pelayan WhatsApp, hari ini secara rasmi pula pembangun asal WhatsApp+ iaitu Rafalense mengumumkan pembangunan untuk WhatsApp+ dihentikan serta-merta.

Co-owner dan maintainer Google Plus Community untuk WhatsApp+ iaitu Dr. Mounib Al Rifai dalam posnya mengatakan bahawa:

We have received a cease and desist letter from WhatsApp and we are obligated to remove all download links and unfortunately delete this community… 

Am really sorry for this but it’s out of our hands and WhatsApp has pushed us into a corner that we can’t escape this time.. 

It was a fun ride but it has come to an end.. 

Deepest regards from Rafalense and me and all the whatsapp+ team for your support 

For clarification because people are giving me credit while it should go to Rafalense. I am NOT the developer of WhatsApp+ the developer is Rafalense I am just the co owner and the person responsible for maintaining the google plus community… 

*21 January 2015 RIP WhatsApp+*

Tidak lupa juga posnya dalam WhatsApp+ Development Community, beliau mengatakan bahawa:

Due to the circumstances that arose and the fact that WhatsApp Inc issued a cease and desist letter to WhatsApp+ developer Rafalense. the official WhatsApp+ community is shutting down for good and will be removed by the end of the day as for the development of the app itself Rafalense had this to say 

“WhatsApp+ development is stopped since yesterday night and I will not continue with any development or support of it” 

So it’s official WhatsApp+ is dead and there will be no further development of it as Rafalense stated. 

I would like to say on behalf of Rafalense and the WhatsApp+ team that we appreciate every ones support over the years and thanks you for being there for us but our journey has ended..  

Yours truly Dr. Mounib Al Rifai ( WhatsApp+ official community owner) 

Selamat tinggal WhatsApp+. Ia akan dirindui.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Pengguna WhatsApp+ Disekat Sehingga Beralih Ke Aplikasi Rasmi

0
Setelah melalui zaman populariti yang tinggi sehingga dibeli oleh Facebook dan menjadi ‘harta intelek’ Facebook itu sendiri, terbaru WhatsApp kini dilihat telah menyekat (banned) para pengguna aplikasi pihak ke-3 iaitu semua jenis WhatsApp+, iaitu versi WhatsApp yang telah diubahsuai.

Kita dapat mengerti perbuatan pengguna-pengguna ini yang beralih ke aplikasi WhatsApp+ dek kerana setelah bertahun-tahun WhatsApp dibangunkan, ia masih lagi ‘begitu’, tidak dapat menukar tema dan lain-lain lagi ciri yang menurut para ‘power user’ adalah sangat menjengkelkan, tambahan pula dengan kehadiran ciri ‘blue ticks’ yang mengganggu privasi.

Sekatan 24 jam dikenakan sehinggalah pengguna WhatsApp+ beralih semula kepada aplikasi rasmi yang boleh dimuat turun di Google Play Store.

Buat masa ini, jika menurut apa yang telah ditulis pada laman FAQ WhatsApp, pengguna akan terus-menerus disekat sehinggalah mereka beralih secara total. Jadi sehingga satu solusi ditemui, aplikasi WhatsApp+ boleh dikatakan R.I.P.

Untuk mereka yang telah pun disekat, apa yang boleh anda lakukan untuk menyelamatkan chat anda ialah dengan membuat salinan sandaran (backup), sama ada melalui Settings – Chat settings – Backup conversations, atau buat pengguna yang telah root peranti masing-masing, anda boleh gunakan aplikasi berkaitan contohnya Titanium Backup.

Untuk pengguna yang belum root, anda perlu menamakan semula (rename) folder WhatsApp (contohnya namakan semula kepada WhatsApp123).

Nyahpasang aplikasi WhatsApp+, pasangkan pula aplikasi rasmi WhatsApp melalui Google Play Store. Namakan semula folder WhatsApp tadi kepada nama asalnya (untuk pengguna yang belum root), cuba log masuk dan restore data-data chat anda. Jika countdown untuk sekatan masih belum berakhir, maka anda perlu tunggu sehingga ianya habis. Untuk pengguna yang sudah root, anda cuba restore data melalui aplikasi Titanium Backup tersebut.

Mungkin para modders aplikasi WhatsApp+ akan mencari ikhtiar untuk menghidupkan semula WhatsApp+, sama ada melalui cara spoof authentication (app signature), atau cara-cara lain, tapi pada saya ianya hanyalah ‘temporary workaround’.

Saranan saya, beralihlah kepada Telegram.

Views: 2

Iklan Newspaper Inline

5 Perisian Untuk Memantau Penggunaan Internet (Kelajuan, Bandwidth)

0
Seringkali diajukan soalan ini kepada saya “Mr. Hac, macam mana nak pantau network komputer kita? Ada perisian atau cara tak?”

Ini adalah jawapan saya. Saya suka menggunakan perisian-perisian di bawah (tanpa menurut turutan). Ianya amat mudah digunakan, sekaligus melancarkan pekerjaan. Cuma suka untuk saya ingatkan ada antaranya merupakan perisian berbayar.

1. PRTG

Apa yang menarik mengenai perisian ini? Ia mempunyai paparan antaramuka berasaskan web dan juga yang boleh dipasang pada komputer anda. Perisian ini mampu menjadi pemantau kepada apa saja yang melalui rangkaian anda. Dari sekecil-kecil data sehinggalah kepada yang menyebabkan ‘kesesakan’.

Perisian ini boleh mengesan perisian lain yang banyak menggunakan data, dan ini termasuklah Torrent. Jadi kepada anda yang merasakan ada orang yang ‘mencuri’ data rangkaian anda dan menikmatinya secara percuma, silakan mencuba.

Klik -> PRTG Network Monitor

2. WFilter

Jika anda mahu menggunakan sesuatu yang dapat memantau e-mel, mesej-mesej melalui aplikasi/perisian, menyekat laman-laman web yang *ehem*, tak lupa juga menyekat peer-2-peer, ini adalah perisian yang paling sesuai. Jika anda tidak mahu membayar harga yang mahal untuk perisian ‘filter’ seperti Websense, ia adalah alternatif yang terbaik.

Klik di sini untuk melihat kesemua protokol yang mampu disekat oleh perisian ini : WFilter supported protocols

Klik -> WFilter

3. NetWorx

Kalau anda jenis pengguna Celcom yang tidak mahu beralih dari Telco itu, dan ingin memantau dengan ketat bandwidth anda, saya sarankan NetWorx. Ini adalah kerana paparan laporan yang diberikan anda sangat jelas, tepat dan teliti.

Apa yang menarik ia boleh memutuskan sambungan dari seseorang pengguna kepada rangkaian jika ianya telah melebihi had tertentu yang telah ditetapkan melalui perisian tersebut. Hmmm.. ganas ni.

Klik -> NetWorx

4. Net Guard

Perisian dari Cucusoft ini adalah sebuah perisian ringkas. Tetapi ia padat dengan info-info penting dalam rangkaian, selain mempunyai pelbagai ciri yang mampu membuatkan anda sehari-suntuk menelaahnya.

Ia boleh menetapkan berapa GB bandwidth yang boleh digunakan dalam tempoh sebulan, selain memantau penggunaan internet secara teliti dari kesemua perisian-perisian yang ada. Paling penting sekali, ianya PERCUMA.

Klik -> Cucusoft Net Guard

5. NetSpeedMonitor

Dalam banyak-banyak perisian, ini adalah yang paling saya suka. Kerana saya lebih minat kepada sesuatu yang lebih ringkas, tetapi lebih infonya. NetSpeedMonitor adalah ibarat Internet Speed Meter pada Android. Selain PERCUMA, ianya memaparkan kelajuan internet rangkaian secara langsung.

Ia juga mempunyai laporan lengkap berkaitan penggunaan internet harian dan bulanan. Walaupun tidak boleh digunakan untuk menyekat penggunaan internet, tetapi bagi mereka yang gemar melihat kelajuan internet seperti saya, ini adalah perisian wajib pasang. Kali terakhir dikemas kini adalah pada tahun 2010, jadi berkemungkinan ini adalah ‘dead project’. Pun begitu, kalau ia boleh digunakan dengan sempurna, kenapa mahu menolak bukan.

Klik -> NetSpeedMonitor

Views: 4

Iklan Newspaper Inline

Top 3 : Permainan Tower Defense Android 2014/2015

0

Tower Defense adalah permainan yang dilabelkan sebagai sub-genre kepada permainan bergenre real-time strategy (RTS). Matlamat permainan ini ialah untuk menghapuskan musuh sebelum mereka sampai ke satu tempat tertentu dengan menggunakan ‘tower’ yang akan menembak, memukul, menghalang, meracun, dan pelbagai lagi kaedah.

Ia merupakan satu genre yang menyebabkan saya menjadi ketagih untuk bermain dek kerana beberapa perkara iaitu ‘gameplay’, grafik, dan gemuk. Maksud saya, err.. gempak..
Dalam pelbagai lambakan permainan Tower Defense yang berada dalam Google Play Store, terdapat 3 yang paling saya minati. Mengapa 3? Kerana saya adalah orang yang ibaratnya seperti Liam Neeson dalam filem Taken. Saya akan memberi sepenuh tumpuan pada apa yang saya lakukan, dan sekiranya permainan itu mempunyai sesuatu yang menyebabkan ia ‘spoil’, ia disingkirkan. Lalu tinggal lah 3 yang menjadi kegemaran saya sendiri.
Mari kita lihat senarainya.
3 Permainan Tower Defense Untuk Android Yang Ohsem
Kingdom Rush Origins adalah sekuel ke 3 dari siri Kingdom Rush. Ironhide Game Studio benar-benar membuat permainan ini dengan teliti kerana selain terdapat tahap-tahap yang perlu anda lepasi, anda juga boleh bermain secara tanpa had (unlimited waves).
Anda juga boleh menaik taraf kemampuan hero-hero anda, selain boleh membeli mana-mana hero yang anda minati. Terdapat In-App Purchase (IAP)  dalam permainan ini, cuma ianya tidak memaksa anda membeli apa-apa gems/coins untuk menang. Hanya hero-hero sahaja.
Dari segi grafik, ianya tampil cemerlang. Rekaan-rekaan lain seperti watak-watak jahat yang akan datang berkembang dari semasa ke semasa adalah bagus dan terasa tidak terlalu cepat seperti sesetengah permainan lain yang memaksa anda menjadi stress kerana musuh lebih pantas kuat daripada anda.
Myth Defense 2 merupakan permainan Tower Defense yang boleh dikatakan agak sukar untuk menghabiskannya. Ini adalah kerana selain terdapat musuh-musuh mekanikal yang agak gagah, ada pula musuh-musuh bersayap yang boleh terbang dengan lajunya.

Tak lupa juga ia tidak mempunyai map khusus, bermakna anda sendiri perlu menentukan letak duduk setiap towers anda bagi menentukan pula laluan musuh-musuh. Fuhhh.. bolehe tahan berpeluh juga nak mainkan ia. ‘Nyawa’ yang diberi adalah sebanyak 20, dan anda perlu ada sekurang-kurangnya 1 untuk menang. Di sepanjang maps yang ada, anda boleh naik taraf setiap towers anda.
Sesuai dengan namanya, Myth Defense 2 : DF Platinum tidak mempunyai IAP.
Menduduki carta nombor satu, ini adalah satu-satunya permainan yang paling saya gemari antara kesemuanya. Kerana apa? Dari segi grafik, reka bentuk kepermainan, kesan bunyi, dan juga elemen-elemen naik taraf tanpa IAP. Cukup lengkap dan menghiburkan. 
Cuma Anomaly Defenders adalah penutup kepada siri Anomaly, yang mana sebelum ini ianya bergenre Tower Offense. Anomaly Defenders, sesuai dengan namanya juga adalah bergenre Tower Defense, yang mana anda selaku makhluk asing, harus mempertahankan tapak anda dari diserang manusia.

Sepanjang anda maju dari satu tahap ke satu tahap, anda akan dapat membuka pembangunan baru untuk tower-tower yang berbeza kemampuan dan peranannya. Tetapi suka untuk saya ingatkan, permainan ini juga adalah sukar. Mohon jangan campakkan telefon ke dinding kalau kalah ya. Sabar dulu dan terus bermain semula.

Views: 0

Iklan Newspaper Inline

Flockers : Permainan Terbaru Dari Team 17 Kini Terdapat Di Google Play Store

0
Saya merupakan peminat permainan Worms sejak dari umur belasan tahun lagi. Apabila dunia Android sudah mula menguasai genre permainan, saya tidak teragak-agak untuk mendapatkan kembali Worms ke dalam peranti. Antara watak yang saya minati ialah kambing jadi-jadian yang mampu meletup dengan kuasa super!

Tapi ianya tidak bertahan lama. Setelah sekian tahun kambing menjadi mangsa peperangan antara dua belah pihak cacing, akhirnya ada antara mereka yang menjadi ketua untuk melepaskan diri dari cengkaman.

Begitulah serba-sedikit sinopsis di sebalik permainan terbaru dari Team 17 ini iaitu Flockers.

Dalam permainan ini, anda bertindak mengawal kambing biri-biri yang ingin melepaskan diri dari cacing dan di sepanjang perjalanan keluar itu bakal terdapat pelbagai halangan kejam yang telah dicipta oleh cacing-cacing tersebut.

Dari pisau berpusing (buzz saw), api dan pelbagai bentuk-bentuk binaan yang menyusahkan. Pasti banyak bebiri yang akan meninggal mati disepanjang perjalanan berliku itu, namun anda perlu tabah kerana terdapat 60 level kesemuanya. Akan tetapi jangan bimbang kerana kambing-kambing itu akan mendapat kebolehan-kebolehan baru seperti terbang, melompat ke atas pisau berpusing, dan juga meletupkan diri. Ya, meletupkan diri seperti juga dalam peperangan antara cacing-cacing. Sadis bukan?

Buat masa ini ianya dilancarkan dengan harga promosi iaitu USD1.99 daripada harga asal iaitu USD3.99. Jadi saya sarankan kepada peminat-peminat tegar semua sila dapatkan ia sekarang sementara promosi masih lagi berlangsung.

Muat turun Flockers Google Play Store di sini : Flockers

Views: 2

Iklan Newspaper Inline