Bagaimana Menjadi ‘Anonymous’ 100% (Bahagian 1)

Sebenarnya tajuk ini adalah berat untuk ditulis dan dibincangkan secara ilmiah atas talian. Tetapi untuk dasar ilmu asas tidak salah kiranya saya membuka bicara 2015 ini dengan menulis mengenai ‘orang tanpa nama, tiada identiti’, atau istilah yang diguna pakai pada masa kini ialah ‘Anonymous’. Artikel ini bolehlah dikatakan idea dari kepala saya sendiri. Jadi jika anda tergamak untuk copy and paste di blog anda, sila berikan kredit yang sepatutnya, terima kasih daun keladi.

Memulakan tajuk berat ini, saya ingin mengingatkan kepada anda bahawa usah perasan diri anda itu ‘pro’, usah perasan diri anda tidak akan dapat dikesan oleh sesiapa selagi anda hidup nyata atas muka bumi ini. Melainkan anda ada talian persaudaraan dengan kerabat makhluk asing, anda mungkin selamat selamanya dari apa sahaja.

Pernah tonton filem Taken? Atau Taken 2? Takpun Taken 3? Ya, dalam filem Taken 3 ada dialog dari seorang pegawai polis mengatakan “This guy right here, he knows how to disappear.”
Jika anda tonton dari filem pertama hinggalah yang ke 3, anda pasti tahu bagaimana karakter Liam Neeson dalam filem-filem tersebut bukan?

Watak Bryan Mills walaupun bukan secara tepat boleh diistilahkan sebagai ‘Anonymous’, dari segi kesukaran untuk mengesan beliau. Beliau bukan sahaja pandai ‘menghilangkan diri’, malah butiran peribadi beliau juga amat sukar untuk dicari. Cubalah apa jua cara, Bryan Mills tetap tidak akan dapat dikesan. Kenapa? Bagaimana? Adakah ia sesukar filem tersebut?

Jawapan saya, boleh dikatakan, YA. Ianya adalah sukar walaupun bukan mustahil (kita akan ke bab itu nanti).

Jadi kalau nak diikutkan, bagaimanakah kaedahnya? Wujudkah manusia begitu?

Jawapan saya yang pertama, untuk menjadikan diri anda ‘sesukar’ Bryan Mills, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah:

UN-GOOGLE YOURSELF

Apa itu ‘Un-Google’?

Saya sendiri tidak ingat dimana saya mendapat istilah ini, tetapi secara asasnya anda perlu menjadikan diri anda sendiri tidak dapat dikesan oleh Google, dengan cara menyahpasang, memadam, membuang, apa saja data anda yang ada pada Google. Dari Google Plus, Drive, Play Store, Chrome, Search, Inbox, Gmail, Maps, Calendar, Translate, Blogger, Hangouts, Analytics, dan yang paling penting sekali ialah, ANDROID.

Kalau anda tanya saya, saya jawab terus-terang, saya katakan ‘tidak’ untuk ‘ungoogle’. Kerana saya adalah orang yang paling banyak bergantung kepada produk-produk Google ini. Di zaman kemodenan padu ini, apa jua maklumat boleh didapati melalui Google dan Facebook. Ianya seakan tidak peribadi lagi. Privasi anda sudahpun Facebook ragut secara halus. Manakala Google pula menambah rencah.

Tiada yang benar-benar PERCUMA dalam dunia ini. Semua ada harga masing-masing. Bezanya murah atau mahal, paling tidak harganya dikaburi dengan pelbagai cara, sama ada iklan, atau… data peribadi milik anda yang diambil. Pernah terfikir kan, Google tak pernah meminta duit anda pun, tetapi, sebuah syarikat besar yang bakal melancarkan internet kepada seluruh dunia, kepada semua manusia di atas muka bumi ini, segala-galanya ada HARGA masing-masing. Anda membayar kepada Google dengan info peribadi milik anda.

Saya faham, ini adalah satu percubaan yang sukar. Tetapi jika anda teringin hendak mencuba, berikut adalah kaedahnya, satu demi satu, walaupun tidak semua jenis data anda boleh padam, pindah, atau muat turun, tetapi sedikit-sebanyak pilihannya ada di situ, meskipun tidak diwar-warkan secara terbuka oleh Google.

1. Padam Sejarah Lokasi Anda

Google menjejak anda, ke mana jua anda pergi. Selagi di tangan anda masih ada peranti yang menggunakan aplikasi dari Google, tidak kiralah Android atau iOS, maka selagi itulah anda dijejak rapat.

Kalau dalam Android, anda boleh lakukannya melalui Settings – Location – Google Location Reporting – Location History – DELETE LOCATION HISTORY. Melalui PC, anda boleh padam ia di pautan ini : Google Location History

Klik pada ‘Show: 30 Days’, dan klik ‘Delete all history’.

Ada extension/add-on untuk Google Chrome/Firefox yang boleh membantu, tetapi itu kita akan bincangkan dalam entri yang lain.

2. Padam Sejarah Carian

Sejarah lokasi adalah begitu penting, tetapi sejarah hasil carian anda di enjin carian Google juga perlu dihapuskan, untuk sekurang-kurangnya jejak carian anda tidak dapat dikaji lagi.

Pergi ke pautan ini : Google – History untuk memadamkan ia. Ikut gambar di bawah:



3. Export Kesemua Data Dari Google Sebagai Salinan Sandaran

Mungkin nampak seperti sudah terlambat, tetapi bak kata pepatah, “It’s better late than never.”. Anda boleh keluarkan kesemua data yang berkaitan dengan Google dan muat turun ia sebagai salinan buat diri anda. Pergi ke pautan ini : Google Takeout untuk melakukannya.

4. Keluar Dari Google Analytics & Interest Based Ads

Oh, anda mungkin tidak tahu, data-data peribadi milik anda akan dijual kepada pengiklan-pengiklan oleh Google. Sebab itulah jika anda buka apa jua laman yang mempunyai iklan, akan seringkali terpapar iklan-iklan yang berkaitan dengan hasil carian anda di Google. Ada juga extension/add-on untuk Google Chrome dan Firefox yang boleh membantu, tetapi seperti biasa, itu kita akan bincangkan dalam entri khas untuk Google Chrome.

Pergi ke pautan ini : Ads Settings untuk keluar dari Interest Based Ads, dan klik pula pautan ini : Google Analytics Opt-out sekiranya anda pernah menggunakan ia untuk blog-blog anda.

5. Pantau ‘Permission’ Yang Telah Diberikan Kepada Aplikasi

Daripada laman web, hinggalah kepada aplikasi-aplikasi, kebanyakan darinya membolehkan anda untuk ‘sign in’ menggunakan akaun Facebook atau Google+. Banyak data anda tersimpan di ‘sana’. Jika anda mahu periksa kesemuanya, sila ke pautan ini : Google App Permissions untuk memeriksa dan membuang permission yang anda rasakan patut, walaupun ‘yang patut’ itu adalah semua sekali.

Ini adalah sebahagian kecil dari ‘perjalanan’ kerja buat kita untuk menjaga privasi diri, seterusnya menjadi ‘manusia tanpa nama’ a.k.a ‘anonymous’ (jika itu yang anda suka gelarkan). Mungkin sebahagian darinya dirasakan sudah terlalu lambat kerana data yang anda kongsikan di internet sudah terlalu banyak. Tetapi sekurang-kurangnya ada antara data yang kita sudah boleh lihat dengan jelas dan kawal. Saya akan bincangkan lagi dalam entri seterusnya. Nantikan ia.

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img