Utama Blog Laman 16

Audiobox 2GO-RDO 20: Radio dan Speaker Bluetooth Dalam Satu Untuk ‘Outdoor’

0

Terkejut juga saya masa guna radio/speaker mudah alih dari Audiobox ni.

Audiobox 2GO-RDO 20 adalah sebuah speaker bluetooth dengan fungsi radio dan pengecasan solar. Sesuai untuk dibawa ke perkhemahan atau hiking. Secara jujurnya, saya tak jangka fungsi radio pada speaker ini akan berfungsi dengan baik. Yelah, kalau speaker bluetooth letak fungsi radio, biasanya hanya sekadar hiasan dan kuasa tarik siaran memang lemah. Speaker bluetooth SonicGear sendiri pun tidak terkecuali.

Sebab itulah lama juga saya peram produk ni sebelum review. Hari ni saya bawa keluar sebab rancangnya nanti nak bawa satu speaker untuk aktiviti luar. Pandang pertama, sangat baik!

Yang paling best bagi saya, ialah kuasa menarik siaran radionya. Walau di tempat saya ini siaran radio agak lemah, tapi dengan 2GO-RDO 20 ini, banyak siaran dapat dicapai. Dengan hanya satu butang, ia akan mencari kesemua siaran terlebih dahulu dan simpan dalam memori. Kemudian, anda boleh memilih antara stesen radio. Kekurangan di sini ialah tiada penunjuk stesen radio dan tombol analog untuk menala frekuensi radio.

Fungsi bluetooth juga cemerlang, senang dipadankan dengan telefon tanpa sebarang masalah. Bunyi dihasilkan dari dua unit pemacu pembesar suara. Ia juga dilengkapi mikrofon untuk menjawab panggilan.

Fungsi lain yang ada adalah sebiji mentol LED yang boleh digunakan sebagai lampu suluh. Ia tidak akan boleh digunakan untuk menyuluh jalan di dalam gelap, tapi berfungsi baik jika anda sekadar ingin mencari barang di dalam beg atau dalam khemah yang gelap.

Anda juga boleh memainkan lagu dari USB dan kad mikro SD. Sekali lagi, SonicGear memilih untuk menggunakan mikro USB sebagai lubang pengecas. Bummer.

Kesimpulannya, sebuah speaker bluetooth dan radio yang sangat sesuai dibawa bersama ketika aktiviti sukan lasak dan aktiviti luar. Ia boleh dicas dengan tenaga solar, menyokong bluetooth untuk memainkan lagu dari telefon anda, menyokong USB dan kad memori serta memiliki kuasa tarikan frekuensi radio yang kuat. Saiznya yang kecil, rekaan yang minimalistik dengan berat yang ringan sangat memudahkan.

Sokong syarikat tempatan, beli di Shopee Mall rasmi SonicGear Malaysia.

2GO-RDO 20:

Shopee (RM49)

Iklan Newspaper Inline

realme C67 : NFC,Snapdragon,kamera 108MP,daripada RM799

0

realme C67 tersedia NFC, Juara dikuasakan-Snapdragon dengan kamera 108MP, Me                    

  • realme C67 membawakan dua ciri termaju dalam segmen: cipset Snapdragon 685 dan kamera 108MP dengan Zum Dalam-sensor 3x untuk pengalaman multimedia yang lebih tinggi
  • Ia menjadi peneraju dalam menyingkirkan bingkai plastik skrin, menawarkan kenipisan yang mengagumkan pada 7.59mm
  • realme C67 berharga RM799, tersedia mulai 6 Januari 2024 dan seterusnya

Sebagai cipset paling berkuasa dalam segmen peringkat permulaan, platform Snapdragon 685 pada realme C67 memberikan produktiviti dan pengalaman fotografi yang dipertingkatkan. Permainan mudah alih berkembang pesat dengan prestasi CPU Kryo dan GPU Adreno yang dipertingkatkan serta penggalak FPS dioptimumkan, menawarkan paparan grafik lebih pantas untuk permainan yang mengasyikkan dan lebih lancar. Selain itu, cipset 6nm boleh mempercepatkan masa pelancaran dan kecekapan aplikasi dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah. realme C67 ialah telefon pintar pertama dalam siri realme C yang menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon.

Pengguna realme C67 boleh dengan mudah mengubah detik berharga menjadi kenangan yang bernilai untuk dikongsi, terima kasih kepada kamera utama 108MP yang disokong Qualcomm. Keupayaan pengimejan peneraju segmen realme C67 diperkuatkan lagi dengan Zum Dalam-sensor 3x, yang membolehkan pengguna merakam foto yang menakjubkan dengan mengekalkan butiran sangat mendalam tanpa menjejaskan kualiti. Ini adalah kali pertama realme menawarkan Zum Dalam-sensor 3x dalam segmen harga ini. Sementara itu, realme C67 turut menyokong 3x Mod Potret, Mod Malam dan Penapis Fotografi Jalanan baharu untuk pengalaman fotografi yang serba boleh. 

 

Dihasilkan untuk Juara: Membawa Produktiviti ke Tahap Seterusya 

Dibina dengan kualiti Juara, realme C67 membawakan pengalaman mudah alih seperti Juara dengan Mini Capsule 2.0, NFC 360°, perlindungan IP54 dan Pembesar Suara Dwi Stereo. 

Mini Capsule yang disukai ramai menerima naik taraf dalam bentuk Mini Capsule 2.0, di mana pengguna boleh menikmati tiga ciri menarik baharu: Muzik, Cuaca dan Acara. Daripada beroperasi dalam aplikasi penstriman, pengguna kini boleh mengawal lagu dengan mudah – sama ada untuk menjeda, menyambung semula atau seterusnya – dengan mengetik dan meleret Mini Capsule. Sementara itu, Cuaca memberitahu pengguna tentang maklumat cuaca, manakala Acara akan memberitahu mereka tentang acara dan tugas yang akan datang. 

Selain itu, ciri NFC lebih maju yang dinaik taraf dengan ketara meningkatkan kadar kejayaan sentuhan kad, memudahkan interaksi harian pengguna. Buat pertama kali dalam sejarah siri C, realme C67 hadir dengan perlindungan IP54 yang menghalang pencerobohan air daripada terpercik ke semua arah. Telefon bimbit seperti Juara juga telah menjalani lebih 320 ujian ketat untuk memastikan ketahanannya. 

Mengenai reka bentuk, realme C67 bersaiz 6.72-inci mengambil langkah untuk menyingkirkan bingkai skrin plastik, yang merupakan ciri yang biasanya dilihat dalam peranti perdana disebabkan oleh kerumitan struktur. Penanggalan bingkai menjadikan skrin telefon dan bezel dipasang lebih ketat, meminimumkan hitam di tepi telefon dan membolehkan keupayaan kalis air dan kalis habuk yang lebih baik. 

Badan ultra nipis berukuran 7.59mm, paling nipis dalam segmennya, realme C67 tersedia dalam dua pilihan warna: Sunny Oasis dan Black Rock. Ia dihiasi kesan cahaya tiga dimensi yang dibuat dengan proses salutan kecerunan tiga warna. Tekstur yang cerah, dinamik dan cincin lensa berkilauan menyerupai oasis yang ditaburi cahaya matahari, memberikan rasa bertenaga dan harapan yang positif.

Realme C67 menawarkan RAM yang boleh dikembangkan sehingga 16GB RAM, dan storan besar sehingga 256GB, membolehkan pengguna menyimpan lebih daripada 57,000 gambar. Pengecasan Pantas SUPERVOOC 33W di realme C67 boleh mengisi bateri berkapasiti 5,000mAh daripada 0% kepada 50% dalam masa 26 minit. 

Sila dapatkan ketersediaan dan promosi realme C67 di bawah:

Produk Varian RRP Platform Jualan Ganjaran Eksklusif
realme C67 8GB + 128GB; Sunny Oasis, Black Rock RM799 Kedai Jenama realme; pengedar sah; kedai rasmi di TikTok, Shopee, dan Lazada Jualan Pertama: 6 Jan hingga 20 Jan 2024

Hadiah dengan Pembelian (Offline): Fon telinga wayarles Techlife P-16 Memory Neckband bernilai RM 69 

Hadiah dengan Pembelian (Online): Lanjutan Waranti 1-tahun, Fon telinga wayarles Techlife P-16 Memory Neckband, Power Bank 10,000mah; bernilai hingga RM148

*Kesediaan Terhad

8GB + 256GB; Sunny Oasis, Black Rock RM899

 

Iklan Newspaper Inline

Make It Real – Slogan Terbaru Dari realme Bermula Tahun 2024

0

Kuala Lumpur, Malaysia, 4 Januari 2023 – realme, jenama telefon pintar yang paling pesat berkembang di dunia, menyambut tahun baharu dengan realme C67, telefon pintar peringkat permulaan baharu yang menampilkan platform Snapdragon 685, kamera utama 108MP, NFC 360° dan perlindungan IP54. Dengan harga RM799, realme C67 kini boleh dibeli di seluruh negara. Ini juga merupakan telefon pintar realme pertama berikutan latihan penjenamaan semula jenama itu yang menukar slogannya kepada ‘Make it real‘.

Untuk lima tahun akan datang, realme menyasarkan untuk menjadi jenama teknologi yang membolehkan pengguna muda di seluruh dunia menikmati pengalaman teknologi yang melebihi jangkaan. Dalam usaha untuk merealisasikan matlamatnya, jenama itu akan meningkatkan lagi produk, kemajuan teknologi dan kekuatan jenamanya. Strategi baharu itu melahirkan ‘Make it real‘, slogan baharu yang mengekalkan semangat Dare to Leap realme sambil memfokuskan lebih kepada membawa manfaat ketara kepada kehidupan pengguna muda. realme akan kekal dengan hasrat asalnya untuk menjadi jenama teknologi yang lebih memahami pengguna muda sambil memenuhi usaha dan nilai emosi mereka. Cita-cita itu akan bermula dengan realme C67.

 

Iklan Newspaper Inline

Skandal Keselamatan Daihatsu: Toyota Panggil Semula Jutaan Kereta Seluruh Dunia

0

Macam biasa, “Pasaran Asia Tenggara tidak terlibat”. Perodua yang dulunya terpaling Jepun dan DNA Daihatsu ketika pemasaran, kini menafikan kaitan dengan Daihatsu dan dibenarkan teruskan operasi seperti biasa. Begitu murah nyawa rakyat negara ini di mata pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan kita semua. Bincang punya bincang, apa tindakan pun tak dikenakan kepada Perodua. Jangan kata panggilan semula, pemeriksaan percuma pun tak dapat.

Sumber: The Ajerul Facebook

Iklan Newspaper Inline

HONOR Bakal Lancar Telefon Paling Nipis dan Ringan di Malaysia

0

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2023 – HONOR Malaysia menyambut 2024 dengan memperkenalkan telefon pintar flagship perintis baharu yang menggabungkan rekaan rapi, inovasi dan teknologi termaju. Kedatangan peranti flagship tersebut telah diumumkan di Facebook rasmi HONOR Malaysia, hari ini dan adalah telefon pintar paling nipis dan ringan setakat ini.

Pilihan Terbaik Era Baru HONOR

Peranti ini mengagumkan kerana memasuki era milimeter dan muncul sebagai Pilihan Terbaik Era Baru. Ia mencerminkan komitmen berterusan HONOR dalam melangkau sempadan inovasi bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman generasi mendatang sebenar yang mengetengahkan peranti terbaik dalam teknologi telefon pintar pada masa kini.

Nantikan pengumuman rasmi pada 3 Januari 2024 dengan mengikuti perkembangan HONOR di laman web dan Facebook rasmi HONOR Malaysia. Bersedia menyaksikan sebuah peranti yang bukan sahaja mencerminkan dedikasi jenama ini terhadap inovasi, tetapi turut menawarkan teknologi tiada tandingan dan serba boleh bagi pengguna yang mencari telefon pintar terbaik.

Iklan Newspaper Inline

Cara Mengenal SCAM Dalam Pelaburan atau Aplikasi

0

“Hello admin, ini SCAM tak? Kawan ajak masuk”

“Admin, boleh tolong hack tak? Duit saya kena SCAM RM8,000”

Antara soalan paling popular yang saya selalu dapat adalah sama ada sesuatu skim atau aplikasi sekian-sekian scam atau tidak. Sebenarnya, bukan tak nak jawab tapi banyak skim dan aplikasi di Malaysia tumbuh macam cendawan. Macam-macam nama. Ada tu, memang dah jelas nampak dan modus operandinya scam, tapi kami pun tak boleh cakap scam sebab kabel mereka besar dan kami tak ada duit nak bauar saman. Bab ni, boleh tanya Pendakwah Teknologi sebab dia pun ada pengalaman naik turun mahkamah walaupun cakap benda betul.

Jadi hari ini, saya ambil inisiatif untuk tulis satu garis panduan ringkas untuk kita semua mudah mengenal sama ada sesuatu pelaburan itu scam atau tidak. Boleh baca dan kongsikan semula post ini pada ahli keluarga, kawan, jiran, kucing dan sebagainya. Elakkan orang terdekat kita terjebak dan rugi.

Baik, langkah pertama untuk kita mengenal scam adalah kenalpasti dulu jenis scam. Dalam konteks pelaburan dan dapat duit, biasanya ia adalah varian daripada ponzi scam. Tak kiralah sama ada MLM, palaburan, skim, aplikasi, kripto, token, task, kebiasaannya dalam konteks scam moden, ia adalah ponzi scam. Kenapa ponzi scam? Sebab ponzi scam adalah cara scam paling moden, paling mudah, paling nampak real dan paling senang tipu orang ‘terpelajar’. Ia juga scam yang tak nampak macam tipu sampailah saat-saat akhir. Dalam istilah Malaysia, TERSONTOT.

Sejarah kerugian skim ponzi terbesar dunia.

Ponzi Scam boleh dikenal dengan beberapa tanda amaran berikut:

  1. Pulangan yang tinggi tanpa risiko atau risiko rendah
  2. Keuntungan yang konsisten dan tetap
  3. Pelaburan yang tidak berdaftar dengan badan sekuriti
  4. Syarikat yang tidak berlesen
  5. Strategi dan sistem yang rahsia dan rumit
  6. Masalah dengan dokumentasi
  7. Kesukaran mendapatkan wang

Pulangan Tinggi Tanpa Risiko dan Keuntungan yang Konsisten

Ini tanda yang paling ketara malah merupakan nasihat rasmi daripada kerajaan melalui agensi seperti BNM, SSC dan MKN. Adalah mustahil untuk sesebuah pelaburan untuk menjanjikan keuntungan yang pasti dalam tempoh yang tetap dan tanpa risiko. Ini adalah perangkap yang paling besar dan banyak memperdaya golongan penjawat awam dan profesional seperti guru dan pensyarah. Golongan ini begitu mudah menjadi mangsa pelaburan scam kerana norma kerja mereka yang sentiasa ‘mengajar’ orang dan dilihat sebagai orang yang sentiasa betul dan sentiasa berpengetahuan dalam pelbagai bidang.

Ponzi akan menggunakan iklan-iklan yang hebat dengan bahasa-bahasa yang moden seperti dana, bond, pelaburan, saham dan sebagainya. Malah, pelaburan ini akan disandarkan kepada aset yang biasa dijadikan pelaburan yang untung seperti hartanah, emas, kripto, bahan galian dan nilai tukaran matawang. Dalam bahasa pelaburan, ini dipanggil arbitaj.

Bank Negara pun dah selalu ingatkan suruh hati-hati. Masih lagi ada yang terpedaya.

Apa Itu Arbitaj?

Arbitaj adalah sejenis pelaburan yang mengambil peluang di atas perbezaan harga sesuatu barang di dua tempat berbeza. Seperti yang dikatakan tadi, contohnya emas, matawang dan sebagainya. Ponzi akan mengiklankan arbitaj mereka kononnya membuka peluang pelaburan untuk mengeksploit julat perbezaan harga ini sebagai keuntungan mudah dengan segala risiko ditanggun oleh syarikat, bukannya pelabur. Golongan terpelajar ini apabila mendengar perkataan-perkataan baru ini akan cuba untuk Google sendiri dan dapat membaca daripada sumber-sumber kewangan yang dipercayai lalu terus percaya kepada ponzi walaupun tidak faham pun lagi apa skim yang dibawa oleh ponzi tersebut.

Ponzi pula akan sentiasa menanamkan keyakinan bahawanya pelaburan mereka tidak akan pernah rugi. Ia akan disulami dengan beberapa contoh yang moden juga dan mungkin akan disaluti dengan sentimen lain seperti sentimen agama dan bangsa. Contohnya, pelaburan kripto tidak akan rugi kerana Elon Musk juga melabur dalam kripto dan pelaburan emas tidak akan rugi kerana ia matawang akhir zaman. Golongan terpelajar ini akan merasakan bahawa merekalah yang paling pandai mengambil peluang dan merupakan sebahagian daripada sebilangan kecil umat manusia terpilih untuk mengaut keuntungan daripada sistem ini.

Pelaburan yang Tidak Berdaftar dan Syarikat yang Tidak Berlesen

Ini juga strategi yang kerap digunakan dan mudah menipu mangsa yang agak ‘tech savvy’. Saya akan berikan contoh dalam bentuk sebuah senario.

Katakan saya menubuhkan sebuah syarikat dengan nama Wongso Maju. Saya kemudiannya akan mendaftarkan syarikat saya Wongso Maju dengan SSM. Jika saya ligat, saya boleh juga mendaftarkan syarikat saya sebagai syarikat yang disahkan sebagai status bumiputera. Proses ini tidak sukar cuma perlu banyak dokumen dan birokrasi. Seterusnya, katakan saya ingin berniaga dengan sah di sisi undang-undang. Maka saya akan melancarkan sebuah pelaburan, katalah dengan nama Wongso Fund. Wongso Fund ini pula akan saya ikuti segala garis panduan BNM, AMLA dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Nak lagi best, saya boleh usaha dapatkan panel syariah dan dapatkan sijil pematuhan syariah.

Wongso Fund ini akan saya jalankan selama beberapa tahun dan dapatkan kredibilti. Mungkin boleh buat majlis tahunan dan jemput nama-nama besar termasuk selebriti dalam majlis rasmi. Model perniagaan Wongso Fund sememangnya bersih, telus dan berkredibilti. Sehinggalah suatu hari, saya tubuhkan satu lagi skim pelaburan. Katalah, skim Murung Rich Academy (MRA). Saya akan jaja kata MRA ini adalah skim baru dan tempat adalah terhad tapi keuntungan dapat dijamin kerana ia tidak terbuka kepada ramai. Dalam setahun, pulangan yang diterima adalah di antara 100% ke 700%.

Saya akan jaja segala macam penarafan dan gambar-gambar majlis bisnes halal saya, Wongso Fund tadi. Bila sudah ada pelabur yang masuk MRA saya, segala kerja propaganda ini akan dilakukan secara automatik oleh pelabur MRA termasuklah lokasi syarikat utama, sijil SSM, BNM, gambar perasmian majlis dan sebagainya. Walaupun kaunter urusan MRA tiada, tapi oleh kerana MRA telah dikaitkan dengan syarikat saya yang sah, maka pelabur baru yang masuk berduyun-duyun. Selepas itu, saya bolehlah kenalkan skim sampingan yang lain seperti Murung Gold Account (MGA), Murung Cash, MurungFX dan sebagainya. Tak perlu syarikat, tak perlu daftar baru, tak perlu buat kenyataan rasmi. Segala dakwaan, saya biarkan peserta yang sebarkan sendiri.

Maklumat ini apabila sampai ke lingkaran mangsa pelaburan yang tidak kenal pun bisnes asal saya, tidak akan mencari maklumat sendiri. Yang mereka tahu, kawan mereka tunjuk syarikat saya selalu buat majlis dan dihadiri oleh pelbagai VVIP. Tak kan lah VVIP nak menipu dan mudah kena tipu? Jadi, dengan angan-angan untuk jadi kaya seperti VVIP, mereka tanpa berfikir panjang terus melabur sama.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Strategi dan Sistem yang Rahsia dan Rumit

Ini antara perangkap yang paling ampuh. Biasanya ponzi akan pancing mangsa dengan emosi seperti impian melancong dan bina rumah idaman. Bila ditanya cara bisnes, mereka banyak berdalih dan mengelak dari bercerita di tempat awam seperti media sosial. Nak tahu? Kena masuk group WhatsApp, kena masuk kelas, kena masuk Telegram. Dia ingat di James Bond? Mat Bond? Penyelamat dunia?

Bila kita masuk ‘personal coaching’ mereka, mereka akan mula melemparkan pelbagai jargon dan perkataan-perkataan besar bagi menampakkan pelaburan mereka ini sangat wow. Compounding, blockchain, trade, exchange, dan ada pelbagain sistem dan pangkat yand boleh dicapai dalam sistem ini. Biasanya, mereka ada aplikasi ataupun laman web sendiri. Orang yang tak ada ilmu pembangunan laman web, akan mudah taksub dengan laman web ponzi. Walhal, laman web ponzi ini biasanya guna templat percuma saja. Laman web pun berat. Ada tu siap guna domain .xyz lagi dengan maklumat WHOIS yang entah apa-apa. Adalah mustahil untuk sebuah perniagaan berbilion ringgit menggunakan laman web dan server cap ayam. Ingat tu.

Dalam pelaburan, jangan semakkan kepala dan mudah termakan dengan sistem. Ingat asas utama perniagaan dan pelaburan. Apa yang dijual, apa yang dibeli dan mana aset yang dibeli. Aset mestilah berbentuk fizikal. Jika emas, mana emasnya? Jika tanah, mana tanahnya? Sijil dan gambar yang dicetak sendiri tak ada nilainya. Nak tahu ada nilai atau tidak? Cuba anda pajak ke bank sijil pelaburan anda, diterima atau tidak?

Masalah Dokumentasi dan Kesukaran Mendapatkan Wang

Paling akhir, bagaimana kita nak tahu skim ponzi itu sudah nazak dan sudah di hujung nyawa? Kita masuk ke point terakhir iaitu masalah dokumentasi dan kesukaran mengeluarkan wang. Apabila sudah ada masalah ini, maka beringatlah. Anda bakal TERSONTOT. Itu tandanya syarikat sudah mula bersedia untuk cabut lari membawa baki wang yang ada dalam tabung skim. Masa ini, pelabur-pelabur awal yang dah biasa bermain ponzi akan mula berdrama. Nak pencen, nak berehat, nak balik kampung, dah rasa cukup berjaya, nak hidup sederhana, ada tekanan perasaan dan sebagainya.

Masalah dokumentasi ni bila kita dah susah nak dapatkan rekod pelaburan kita. Kononnya sistem tengah maintenance, server tengah upgrade, ramai sangat orang buat pelaburan (taktik nak besarkan tabung scam sebelum cabut lari) dan macam-macam lagi alasan. Peliknya, bila kita nak tambah modal pelaburan, sistem tak jem pula? Masa ni syarikat akan kata jangan risau, pelaburan baru tetap akan ada rekod cuma lambat sikit. Siapa yang nak tambah modal, kena cepat-cepat sebab makin ramai orang masuk skim sampai server jem. Jangan lepaskan peluang kononnya.

Bila dah ada masalah dokumentasi, maka bermulalah episod susah nak keluarkan duit dari skim. Kena tunggu 3 hari, kemudian tunggu 7 hari, kemudian tunggu 14 hari dan tunggu sampai abang jamil tidak hidup. Para pentaksub dan orang atas akan mula buat propaganda supaya sabar dan jangan risau kerana jumlah duit dalam akaun skim masih ada dan tak berubah. Ayat-ayat biasa yang paling popular dalam skim ponzi Malaysia fasa hujung seperti “kita boleh sabar bertahun-tahun tunggu keuntungan, tak kan tunggu seminggu dua tak boleh?”. Lagi best, “syarikat kena akur dengan perintah BNM. Buat masa ni bursa ada masalah”. Tak pasal-pasal BNM dan bursa kena fitnah. Dia ingat bursa tu macam drive-thru McD ke ada buka tutup sampai berminggu-minggu?

Ada juga skim yang lebih berani dan mengambil risiko dengan menggantikan nilai duit kepada benda lain seperti koin, bintang, mata ganjaran, matawang kripto dan sebagainya dengan alasan penambahbaikan sistem baru. Sudahlah duit tak dapat keluar, digantikan pula dengan barang sampah yang tak ada nilai pun di dunia sebenar. Awak ingat koin tu boleh buat bayar beras di Mydin ke? Baik lagi eMadani, boleh juga buat beli makanan. Ada juga ponzi yang meminta anda membayar jumlah tambahan jika ingin keluarkan duit pelaburan. Sudahlah duit kena pegang, nak ambil semula kena bayar lagi?

Kenapa masalah ini terjadi? Biasanya sebab skim ponzi ini sudah mula popular dan dapat perhatian pihak berkuasa dan pakar-pakar kewangan dan penipuan di media sosial. Apabila banyak kritikan dan amaran dikeluarkan, persepsi dan pengikut tegar skim akan goyah. Pelabur baru akan berhenti dan ini akan meruntuhkan sistem ponzi yang pada asasnya hanyalah sebuah skim piramid. Orang baru akan bayar duit kepada orang lama. Apabila tiada lagi orang baru, maka tiadalah bayaran kepada ahli lama. Sebab itulah segala pengiklanan skim mereka dibuat secara rahsia dengan sistem yang sangat kompleks. Untuk melengahkan masa daripada dikesan oleh pihak berkuasa dan pakar-pakar kewangan untuk mengkaji skim mereka.

Jadi, sentiasalah ikuti agensi kewangan dan media sosial pakar kewangan yang banyak memerangi jenayah scam ini bagi mengenalpasti sebarang skim ponzi yang baru. Akhir tulisan, ingatlah dialog paling lagenda ketua peleburan Malaysia,

“Nama pun pelaburan, mesti ada untung rugi! Tak nak rugi, masuklah ASB! Aku tak paksa korang masuk dulu!”

Rujukan berguna:

  1. Ponzi Scheme
  2. Arbitrage
Iklan Newspaper Inline

PD Proxy: Sebuah Relik Masa Lalu Untuk “Internet Unlimited”

0

Zaman Nakal Sudah Berlalu. Sekarang Yang Tinggal Hanyalah Halal.

Semalam Abam Arya tunjuk khazanah lama Ultrasurf. Jadi, hari ni saya pun nak tunjuk juga khazanah lama saya masa zaman kolej dulu. Masuk makmal, buka IDM portable dan tinggal. Esok pagi, siap download. Inilah, PD-Proxy. Gunanya adalah untuk unblock website dan laman torrent supaya kita boleh muat turun fail daripada laman tadi.

PD-Proxy, dulu guna dekat komputer makmal sebab nak download fail besar.

 

Ultrasurf pun ada juga. Tapi biasa banyak kolej block UltraSurf.

Selain PD-Proxy dulu, ada juga UltraSurf. Tapi dulu kami semua tak suka UltraSurf sebab UltraSurf ni kena install dulu di PC. Senang kantoi. Lagi pula, entah kenapa, PC kalau install UltraSurf ni dia akan mula jadi bengong-bengong sikit. Kalau dah mula jadi masalah tu, pensyarah dan penjaga makmal mulalah bising-bising dan format terus PC. Habis hilang fail yang dah download. Haha.

Walaupun masa tu orang tak tahu lagi UltraSurf adalah malware, tapi memang saya dan admin AtotheP dah syak yang UltraSurf ni ada something wrong somewhere. Sebab kalau guna UltraSurf, kuota broadband cepat saja habis walau tak download apa-apa. Macam dia guna banyak data dalam background. Maka, terputus lah cinta saya terhadap UltraSurf.

PD-Proxy ni best sebab dia boleh beroperasi secara portable. Simpan saja dalam pendrive, dan copy ke PC bila nak guna. Sama juga dengan IDM, simpan saja versi portable. Lepas siap download, delete lah fail PD-Proxy dan IDM portable tadi. Siap. Kalau nak install, biasanya tak lepas sebab admin akan sekat kebolehan untuk install software baru.

Zaman-zaman masuk makmal komputer malam-malam banyak betul kisah dan kejadian suka dan duka. Kena kejar dengan pak gad, tangkap orang bercengkerama, jumpa hantu, jatuh tangga tergolek sebab gelap, tingkap terkopak sebab salah pijak, banyak lagi lah. Tapi itu dulu lah…zaman jahiliyah dulu. Huhuhuhu….

Iklan Newspaper Inline

Ulasan Filem Home for Rent (2023)

0

Berbulan juga rasanya dah tak menulis. Terasa kekok sedikit. Cuma kali ni terasa nak berkongsi tentang sebuah filem seram Thailand yang boleh dikatakan agak mantap dari segi penceritaannya.

Filem itu bertajuk Home for Rent.

Kebiasaannya filem seram melibatkan rumah, ia pasti akan mula menceritakan tentang keadaan rumah yang sudah sedia didiami makhluk halus lalu menghantui rumah tersebut.

Tetapi berbeza dengan Home for Rent, yang dikatakan telah digarap berdasar kepada kisah benar.

Filem ini berdurasi lebih daripada 2 jam, dan plot-plot cerita yang diarahkan adalah amat baik. Ia tidak sama sekali mempunyai gaya penceritaan perlahan atau ‘slow burn’, tetapi dikupas sedikit demi sedikit.

Apa yang paling menghibur, ialah bagaimana secara satu persatu perkara sebenar yang telah berlaku dihurai dan diperjelas melalui sudut pandang watak-watak penting.

Plot twist bukan hanya ada satu, bahkan ada di beberapa bahagian dalam filem. Pengakhiran filem ini ialah antara sesuatu yang boleh menyebabkan sesiapa saja bergelar ibu-bapa boleh mengalirkan air mata.

Maaf, bukan nak kongsi spoiler, tetapi hanya ingin memberi makluman awal. Sediakan tisu sebelum menangis.

Ia boleh distrim di Netflix: Home for Rent

Iklan Newspaper Inline

Guru Kantoi Menciplak Hasil Inovasi Orang Lain dan Menang Anugerah?

0

Saya tertarik dengan isu yang baru tular semalam. Menurut pengadu, projek inovasi tahun 2023 yang menang anugerah ini sebenarnya telah menciplak ideanya pada tahun 2020.
Dalam hantaran sama, pengadu mengaku bahawa kit warna dalam kit asal dan kit “ciplak” sebenarnya memang sudah dijual lama dalam Shopee dan pasaran antarabangsa. Bagi mengukuhkan dakwaannya, beliau menunjukkan surat pendaftaran MyIPO bagi projek asalnya di tahun 2020 dahulu.

Sebagai “orang inovasi”, ataupun orang yang selalu “dipaksarela” sertai inovasi, saya terpanggil jugalah untuk memberi sepatah dua kata. 😂

  1. Daftar MyIPO bukanlah daftar paten. Ia hanyalah sebagai daftar atau “cop tempat” bagi sebuah milikan atau tanda dagang. Bayaran hanya sekali saja semasa pendaftaran dan boleh dibuat online. Hanya perlu sediakan dokumen sedikit bagi membuktikan kita “memiliki” nama yang ingin didaftar.
  2. Jika ingin melindungi keseluruhan produk anda daripada ditiru atau dijual, anda perlu mendaftar Harta Intelek dan membuat permohonan paten. Prosesnya lebih rumit dan perlu lebih banyak bukti bahawasanya andalah yang mencipta produk anda. Pendaftaran perlu dibuat by-hand atau berdepan di pejabat pendaftaran. Mungkin perlu buat sedikit pembentangan jika diminta.

Perlu sediakan blueprint dalam cakera untuk diserahkan kepada pendaftar harta intelek. Jika lulus, barulah produk anda dilindungi dan anda berhak penuh ke atas produk anda. Kalau ada orang tiru, boleh pasang peguam dan dakwa di mahkamah atas pelanggaran paten.

Dalam kes ini, saya tengok hanya gambar saja yang sama dengan kit asal. Susuan petak berbeza. Walau ideanya sama, tapi ada penambahbaikan. Produk baru hadir dalam kotak yang lebih kemas dan nampak komersial. Produk asal nampak lebih seperti alat bantu mengajar di dalam kelas. Kit asal nampak ringkas dan hanya mempunyai 3 petak warna. Kit baru nampak lebih tersusun dan mempunyai 6 petak warna. Walau sakit hati, sudah jelas ada inovasi.

Tambahan lagi, idea ini saya dah lama nampak dalam laman kraf seperti Etsy dan Pinterest. Bukanlah benda yang baru dan original. Kit warna tu pun memang dah meluas dijual pun sebelum ini. Melainkan penulis boleh membuktikan gambar itu pun beliau yang lukis sendiri, barulah kuat sedikit untuk membuat saman plagiat. Tapi, saya tengok produk baru ini sudahpun ada daftar Harta Intelek. Makanya, boleh kata kalau saman pun mungkin auto kalah sebab pengadu asal tiada daftar paten, hanya daftar nama di MyIPO.

Perlu faham apa itu inovasi dan apa itu rekacipta. Walaupun ubah sedikit, sudah menjadi inovasi. Samalah macam Apple dan Android. Walau fungsi asalnya di Android, tapi Apple tiru dan buat lebih baik. INOVASI.

Sebab tu lah saya rasa pertandingan inovasi kerajaan ni buang masa. Kita masuk hanya sebab dipaksa. Setiap tahun perlu buat produk baru. Dengan kerja hakiki tak siap, anda ingat kami ada masa nak buat kajian, uji cuba dan masuk bengkel? Akhirnya, google dan beli saja produk sedia ada. Buat dokumentasi, ubah sana, ubah sini sikit. Tahun depan ulang benda sama untuk produk lain dan pertandingan lain. Tambah pula sekarang zaman Canva, lagilah senang bab “ubah-mengubah” ni. Klik-klik saja dah siap.

Kenapa staf kerajaan selalu tak ada di pejabat? Kadang-kadang tu sebab terlibat dengan benda ni lah. Buang masa dan tak mencapai matlamat pertandingan pun.

Iklan Newspaper Inline

Kenapa Pengurusan Kerajaan Malaysia Payah Nak Maju?

0

Saya tak pandai nak berdebat atau buat esei panjang-panjang macam ahli politik. Jadi saya akan cerita saja apa yang berlaku, apa yang diceritakan kepada saya, dan apa yang saya lihat sendiri sepanjang berkhidmat 10 tahun dalam bidang kerajaan. Bukanlah nak kata saya ni bekerja dengan penuh sempurna dan hebat. Tapi marilah kita semua ambil iktibar dan berazam untuk jadi lebih baik.

Bagi saya, perancangan kerajaan semuanya baik belaka. Tambah-tambah lagi kalau melibatkan pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan. Setiap keputusan yang ingin dibuat dan diluluskan, akan melalui proses dan perbincangan yang panjang di banyak peringkat. Bila sudah diluluskan dan ingin dilaksana, semua peringkat pegawai akan dipanggil dan akan diberi kursus dan latihan dengan sistem baru.

Bila bab kursus ni, macam biasalah. Kalau anda pegawai, kursus lah tempat best. KLCC, Genting, PWTC, dan macam-macam lagi. Yang peringkat pelaksana ni, kalau dapat kursus di luar pejabat pun dah kira untung. Biasanya online Google Meet atau Zoom saja. Pendek kata, latihan dan penerangan sistem baru akan diberi secara menyeluruh sebelum sesuatu perubahan dilaksanakan kepada rakyat jelata.

Apa yang menjadi masalah? Bila buat kursus tempat best, para pegawai akan masuk kursus dan tandatangan. Lepas tandatangan kehadiran, maka bergerombolanlah keluar bersiar-siar. “Tak apa, nanti kita tanya mereka yang masuk kursus.” Habis kursus, nak tanya pun tak boleh sebab tak kenal dan tak ada contact orang lain yang masuk berkursus. Maka baliklah dia ke tempat asal dan teruskan saja cara lama walaupun kerajaan sudahpun laksanakan sistem baru.

Begitu juga dengan kursus online. Ada yang berdedikasi, tapi ada juga yang sekadar log masuk dan tidak mendengar pun penerangan kursus. Sekadar ambil kehadiran. Bila tak dengar, macam mana nak faham? Habis sesi online, kembali bekerja dengan cara lama.

Sebab tu lah, bila ada benda baru dalam kerajaan kita boleh dengar menteri bercakap dengan sangat hebat. Tapi bila turun ke lapangan, rakyat tidak merasai pun ‘kehebatan’ tersebut. Apa yang menteri sebut dan apa yang berlaku, tak sama. Ya, kelemahan kerajaan seperti pengabaian infrastruktur dan keluhan golongan pelaksana juga menjadi penyumbang utama pembaharuan-pembaharuan agresif kerajaan gagal dilaksanakan. Tapi, anda tak boleh nafikan yang masalah ‘ponteng kelas’ ini juga turut menyumbang.

Tak kan lah nak semak roadtax dalam sistem pun sampai kena bersidai tepi jalan 2 jam kan? Kalah orang seludup beras kena tahan lama-lama. Menteri kata penguatkuasa boleh semak dalam sistem mereka, tapi bila kena tahan penguatkuasa suruh print letak dalam kereta.

Iklan Newspaper Inline