Saturday, 21 February 2026
spot_imgspot_imgspot_imgspot_img
Utama Blog

POCO F8 Ultra: Peranti Terbaik Bagi Multimedia!

0

Saya berfikir agak lama juga sebelum membeli peranti ini. Maklum saja, tiada tajaan, semua pakai duit sendiri – tidak seperti ‘kawan-kawan’ media yang lain.

Tetapi saya akan ceritakan, kenapa di akhirnya saya memilih untuk mendapatkan POCO F8 Ultra ini, walaupun jujur cakap, saya memang tidak suka dengan HyperOS. Sangat-sangat tidak suka kerana ia tidak dioptimumkan untuk penggunaan bateri yang berhemah (poor battery usage optimization).

Namun, apabila mendengar beberapa ujian bunyi/audio melalui pembesar suaranya di YouTube, saya rasa barangkali berbaloi untuk mencubanya kesekian kali hanya semata-mata untuk ‘merasa’ pengalaman audio yang berbeza berbanding peranti-peranti lain yang pernah saya gunakan.

Jadi, apa yang saya nak cuba sangat tu? Lihat pada beberapa gambar berikut.

Ciri multimedia yang ada pada F8 Ultra ini, boleh dikatakan ‘penuh’. Dari pembesar suaranya hinggalah kepada paparan skrin, sokongan codec, dan sebagainya lagi.

Anda boleh lihat sendiri ciri-ciri yang ada pada paparan skrin. Hendak menikmati Netflix? YouTube? Ini ialah perantinya. Baik Dolby Vision, HDR10, HDR10+ – semuanya ada.

Peranti Xiaomi kebiasaannya sudah seringkali disertakan dengan Dolby Vision. Seingatnya sejak saya menggunakan model 13T Pro lagi, ciri ini memang ada. Cuma apabila boleh dikatakan ‘semua’ ciri menarik untuk paparan ada pada F8 Ultra, terasa puas melihat padanya (kecuali ia bukan dari jenis LTPO).

Berikut pula ialah ujian pembesar suara yang saya jalankan sendiri. Maaf kalau kurang enak didengar kerana mikrofon digunakan hanyalah versi amatur lagi ‘murah’. Heheh. Kombinasi antara Dolby Atmos dan talaan oleh BOSE, pembesar suara ini ialah satu-satunya yang unik dalam kategori gaming dan multimedia.

Kamera?

Saya ada ambil beberapa keping gambar, tetapi seperti biasa disebabkan ia terlalu baru dan masih ‘panas’ di tangan, maka hanya ada ‘beberapa keping’ sahajalah dalam simpanan (secara literal atau harfiahnya).

Namun, saya rasa dengan ‘beberapa keping’ ini pun sudah cukup untuk anda membuat penilaian sendiri.

Pada saya, kameranya memang bukan setaraf dengan peranti seperti OPPO X9 Pro, tetapi dengan ‘talaan kecil sendiri’, sedikit sebanyak ia dapat menyamai ‘feel’ yang ada pada peranti flagship lain. Ada yang mengatakan cukup sekadar turunkan sedikit exposure, maka foto-foto dihasilkan hampir kepada S25 Ultra (saya baca komen dalam YouTube saja, sejauhmana kebenarannya saya tidak kisah sangat pun).

Prestasi?

Pada kebanyakan masa, saya cuma memainkan permainan Diablo Immortal dengan tetapan grafik maksimum yang dibolehkan. Seingat saya ia tidak dapat menggunakan tetapan ‘Ultra’ atas pengehadan yang dibuat oleh pembangun permainan itu sendiri.

Apabila dimainkan dengan agak lama, telefon ini akan mula meningkat habanya, tetapi tidaklah terlalu panas hingga tidak selesa, cuma ia secara perlahan-lahan dapat dirasai.

Perkara sama terjadi jika anda tonton YouTube begitu lama, maka haba panas akan mula menyebar. Saya baca beberapa perkongsian dari pengguna lain, mereka juga sama, yang bererti pengalaman saya ini tidaklah ‘unik’ kepada satu peranti sahaja.

Bateri?

Seperti yang saya nyatakan di atas, HyperOS tidak boleh diharap untuk pengoptimuman terhadap penggunaan kuasa bateri. Walaupun kapasitinya agak besar iaitu 6500mAh, tetap saja dirasakan kuasa baterinya dengan segera kehabisan.

Saya tidak sempat hendak membuat tetapan pengukuran penggunaan kuasa menggunakan aplikasi Battery Guru seperti yang selalu saya lakukan, cuma apa yang boleh saya katakan – ia bernasib baik kerana menyokong pengecasan pantas 100W. Jika habis pun dengan cepat ia dapat dicas semula.

Saya menjangkakan penggunaan sehingga lebih 6 jam ‘Screen On Time’ bagi F8 Ultra ini.

Selaku pengguna, saya tetap berharap suatu hari nanti tidak perlu terlalu berfikir tentang bateri (battery anxiety), seperti para pengguna OnePlus 15. Buat masa ini F8 Ultra masih belum dapat dijadikan sebagai peranti utama walaupun cipsetnya lebih berkuasa daripada OPPO Reno14 Pro yang sedang saya gunakan sekarang.

Jadi, kenapa saya beli juga?

Ini semua adalah kerana saya melihat F8 Ultra sebagai satu peranti multimedia terbaik setakat yang telah saya teliti – dalam julat harganya. Jika anda dapatkan varian 256GB pun ia masih berbaloi, dan anda perlu alami serta dengar sendiri kualiti pembesar suara talaan BOSE ini.

Saya dapat rasakan kolaborasi dengan BOSE mungkin akan diteruskan sekiranya jualan F8 Ultra menepati kehendak sasaran Xiaomi/POCO, apatah lagi ia melepasi sasaran tersebut.

Kamera ok? Checked.
Pembesar suara mantap? Checked.
Skrin ada semua ciri yang diinginkan (Dolby Vision dan semua berkaitanlah)? Checked.

Apapun, jika anda berminat hendak mendapatkannya, bolehlah sambar satu atau dua, atau tiga (ikut sukalah!) di pautan-pautan ini:

Shopee / Lazada

Terima kasih kerana telah setia membaca hingga akhir. Jumpa lagi di perkongsian seterusnya!

Views: 227

Iklan Newspaper Inline

Infinix Menutup Tahun Dengan Jualan ‘End Year Penuh Bergaya’: Diskaun Sehingga 50% Pada 12.12

0

KUALA LUMPUR, 1 Disember, 2025 — Infinix, jenama teknologi yang bergaya untuk pengguna muda, menutup tahun ini dengan penuh gaya melalui kempen End Year Penuh Bergaya 12.12, menawarkan pembeli diskaun sehingga 50% untuk pelbagai pilihan telefon pintar dan aksesori.

Promosi ini akan berlangsung dari 1 hingga 12 Disember di TikTok, dan 11 hingga 12 Disember di Shopee dan Lazada, memberikan pengguna pelbagai platform untuk menikmati penjimatan besar-besaran.

Kempen 12.12 tahun ini menonjolkan produk Infinix yang paling mendapat permintaan, diketuai oleh GT 30 Pro, Siri NOTE 50, Siri SMART 10, dan Siri XPAD 20 – setiap satunya direka untuk memberikan prestasi yang hebat, reka bentuk yang bergaya, dan nilai yang luar biasa.GT 30 Pro, dibina untuk pemain game dan pencipta kandungan, akan tersedia dari RM1,099 sepanjang tempoh promosi.

Dipercayai oleh pemain e-sukan profesional, GT 30 Pro telah dipaparkan dalam kejohanan utama, termasuk Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia Musim ke-15 dan ke-16, berkhidmat sebagai telefon pintar permainan rasmi untuk Musim ke-16.

Menunjukkan lagi kehebatan permainannya, GT 30 Pro juga digunakan dalam PUBG Mobile Global Championship (PMGC) yang sedang berlangsung. Dengan konfigurasi premium 12+256GB dan prestasi tahap perdana, GT 30 Pro kekal sebagai pilihan utama untuk pengguna yang mencari keupayaan kompetitif berprestasi tinggi.

Sementara itu, Siri NOTE 50 yang merangkumi NOTE 50 Pro+, NOTE 50X, dan NOTE 50S terus menyerlah dengan hayat bateri yang tahan lama, paparan yang lancar, dan kamera yang mengagumkan. NOTE 50 Pro+ akan tersedia di bawah RM1,439 dan disertakan dengan AI Buds percuma.

Manakala NOTE 50X dan NOTE 50S akan dijual di bawah RM609 dan RM749 masing-masing, dan setiap satunya akan disertakan dengan sarung atau tali telefon percuma.Bagi pengguna yang mencari fungsi serba boleh dengan harga yang berpatutan, Siri SMART 10 turut disertakan dalam promosi ini, dengan harga bermula dari RM299.

Siri ini menawarkan RAM yang ditingkatkan dan prestasi yang boleh dipercayai, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian. Siri XPAD 20 yang baru dikeluarkan menyediakan pengalaman skrin yang lebih besar untuk hiburan, pembelajaran, dan produktiviti. Harga bermula di bawah RM789, dengan XPAD 20 Pro tersedia di bawah RM999.

Walaupun telefon pintar dan tablet ini menjadi tajuk utama kempen, jangan lepaskan dua aksesori jenama yang sangat popular: Infinix XP03 Wireless Powerbank dan Infinix GT20 Pro Gaming Kit. Kedua-dua XP03 Wireless Powerbank dan GT 20 Pro Gaming Kit akan tersedia pada harga hanya RM12.12, menjadikannya item yang mesti direbut semasa tempoh jualan.

Dengan nilai yang tiada tandingan merentasi pelbagai barisan produk, kempen 12.12 End Year Penuh Bergaya Infinix memastikan peminat di Malaysia menutup tahun ini dengan bergaya – sama ada mereka menaik taraf peranti utama mereka, mengambil hadiah, atau menambah aksesori penting kepada persediaan mereka.

Views: 91

Iklan Newspaper Inline

Infinix GT 30 Pro: Setelah Setengah Tahun, Masih Relevan!

0

Infinix GT 30 Pro cuba tampil sebagai ‘gaming phone‘ bajet dengan spesifikasi yang nampak gah. Cuma, adakah ia layak digelar ‘Pro’.


Reka Bentuk & Paparan

Infinix kali ini cuba bermain dengan identiti baharu – ‘Cyber Mecha Design‘ yang jelas mahu menampilkan imej gaming.

Ada console-style gaming triggers di sisi, sesuatu yang jarang kita jumpa dalam kelas pertengahan. Skrin pula 6.78 inci AMOLED, resolusi 1.5K, refresh rate 144Hz, dengan kecerahan puncak sehingga 1600 nits. Untuk kaki game dan binge Netflix, paparan ini memang sedap mata memandang.

144Hz – mengingatkan saya kepada Xioami 13T Pro yang pernah saya gunakan dulu.

Prestasi Dalaman

Dikuasakan oleh cip Mediatek Dimensity 8350 Ultimate (4nm) bersama GPU Mali G615-MC6, ia lebih daripada sekadar cukup kerana cip ini telah direka untuk satu sesi gaming yang panjang. Dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan 256/512GB, multitasking terasa lancar.

Oh ya, storannya pula adalah dari UFS 4.0, sesuatu yang jarang kedengaran untuk telefon dalam julat harga seperti ini.

Sistem operasi XOS 15 berasaskan Android 15 pula menunjukkan Infinix serius mahu membuang imej ‘murahan’ yang dulu melekat pada jenama ini apabila reka bentuk dan animasinya hampir menyamai reka bentuk OS lain seperti ColorOS dari OPPO dan OriginOS dari vivo.

Pendapat saya, jika Infinix ‘polish’ lebih sedikit, XOS mungkin boleh menjadi pesaing dalam kategori OS kegemaran para techies. Saya cuma tak suka ia tiada Google Discover apabila kita swipe ke kanan pada home screen. Urgh.

Kamera & Audio

Bahagian kamera bukan fokus utama, tapi tetap diberi perhatian. Sensor utama 108MP mampu menghasilkan gambar yang cukup ketajamannya (dalam keadaan cahaya yang optimum), walaupun prestasi malam masih terdapat kompromi.

Bab gambar-gambarnya, nantilah kalau rajin saya muat naik kemudian, ya? Sebab sekarang (ketika artikel ini ditulis) musim hujan. Agak sukar nak dapatkan gambar-gambar yang menarik.

Seterusnya, audio stereo dengan sokongan Hi-Res memberi pengalaman lebih imersif, terutama bila main game tanpa headset. ‘Tuned by JBL’ dipertaruhkan, cuma saya merasa ia masih belum cukup ‘boom’, dan kadar bass agak sedikit ‘tame’. Ia kedengaran seperti pembesar suara telefon pintar dalam niche gaming yang lain, dalam erti kata lain tiada apa yang terlalu istimewa.

Bateri & Pengecasan

Bateri 5500mAh dengan sokongan 45W fast charging – cukup untuk penggunaan sehari penuh bersama gaming ringan, atau separuh hari kalau anda rajin bermain Genshin Impact tanpa henti.

Bab bateri, saya tidak boleh terlalu ‘menghentam’, kerana ia menggunakan Dimensity 8350, satu generasi terkebelakang berbanding Dimensity 8450 yang digunakan pada OPPO Reno14 Pro. Apa pun, ia masih boleh dipuji dan setakat ini bagi mana-mana aktiviti gaming yang saya lakukan, ia boleh diharap.

Ini belum lagi saya sebutkan tentang ‘GAMING KIT‘ yang saya dapat bersekali dengan telefon. Apa dia gaming kit tersebut? Ia adalah sebuah magnetic case, dan Magcharge Cooler yang juga bertindak sebagai wireless charger!

Kelebihan

  • Skrin AMOLED 144Hz yang terang dan responsif.
  • Cip Dimensity 8350 Ultimate – cukup berkuasa untuk gaming.
  • Rekaan dengan gaming triggers (GT Trigger) yang unik dalam kelas pertengahan.
  • Bateri besar beserta pengecasan pantas.

Kekurangan

  • Kamera malam masih belum setanding pesaingnya.
  • Rekaan ‘Cyber Mecha’ mungkin terlalu niche, tidak semua orang suka.
  • XOS walaupun bertambah baik, masih ada bloatware yang menyakitkan mata.

Konklusi

Infinix GT 30 Pro ialah percubaan berani untuk menempatkan diri dalam segmen gaming mid-range. Ia bukan sempurna, tapi jelas menunjukkan hala tuju Infinix – dari jenama bajet ke jenama yang dihormati dalam dunia mobile gaming.

Untuk pengguna yang mahu telefon gaming tanpa perlu jual buah pinggang, GT 30 Pro adalah pilihan yang patut dipertimbangkan.

Namun, kalau anda jenis cerewet bab kamera atau mahukan pengalaman perisian yang benar-benar bersih, mungkin ada alternatif lain yang lebih sesuai.


Ringkasnya: Infinix GT 30 Pro ialah telefon yang cuba ‘mengangkat darjat’ jenama Infinix, dengan fokus pada gaming, paparan mantap, dan harga yang masih mesra poket. Ia tidaklah sempurna, tapi cukup untuk buat pesaing lain rasa panas.

Infinix GT 30 Pro boleh dibeli di: Shopee, Lazada.

Views: 157

Iklan Newspaper Inline

Kuari Jadi Penghapus Sejarah!

0

Adakah ini modus operandi penghapusan strategik sejarah bangsa dan kependudukan azali negara? Kerapkali kita lihat, di mana ada peninggalan dan bukti sejarah, secara ajaibnya ada yang berminat untuk melakukan kerja-kerja pemusnahan alam dan pengambilan sumber asli.

Di mana silapnya? Kenapa dapat kelulusan? PBT dan pihak berkuasa buta sejarah kah? Tak ada kajian dan konsultasi dibuat sebelum beri kelulusan?

Views: 23

Iklan Newspaper Inline

Dari Filem ke Piksel Pintar: Perjalanan Menarik Sejarah Kamera Telefon Bimbit

0

Anak-anak zaman sekarang tak akan pernah tahu ‘perjalanan susah-senang’ tahun 80an untuk mendapatkan beberapa keping gambar. Gambar perlu ‘dicuci’ terlebih dahulu sebelum dapat dilihat. Kalau tak nak ‘rugi’, cuci habis segulung ‘Kodak’ hingga dijadikan album fizikal.

Namun, tahukah anda bahawa sejarah kamera yang ada pada telefon pintar kita bermula lebih awal lagi daripada itu? Sejak bilik gelap digunakan untuk menangkap imej kaku, dunia fotografi telah menyaksikan lonjakan teknologi yang menakjubkan.

Walau bagaimanapun, tiada inovasi yang mengubah cara kita merakam momen secepat dan sefundamental integrasi kamera ke dalam telefon bimbit. Evolusi ini, bermula dari idea yang kelihatan mustahil telah membawa kita kepada peranti berkuasa kecerdasan buatan di poket kita.

Intro: Era Filem dan Permulaan Digital (Sebelum Telefon)

Sebelum kamera muncul dalam telefon, fotografi dikuasai oleh filem. Eastman Kodak merevolusikan bidang ini pada tahun 1888 dengan memperkenalkan kamera ‘Kodak Number One’.

Pengguna hanya perlu menekan butang dan kemudian menghantar seluruh kamera tersebut kembali ke Kodak untuk proses pencucian filem dan pencetakan gambar. Ini menjadikan fotografi mudah diakses oleh orang ramai buat kali pertama.

Lonjakan terbesar ke arah era digital berlaku pada tahun 1975, apabila jurutera Kodak, Steve Sasson, mencipta kamera digital pegang tangan pertama di dunia.

Peranti seberat 3.6 kilogram ini merakam imej 0.01 megapiksel (100×100 piksel) ke pita kaset, satu proses yang mengambil masa 23 saat. Walaupun Kodak mempatenkan teknologi ini, mereka bimbang ia akan menjejaskan perniagaan filem mereka yang menguntungkan, lalu menyimpannya buat sementara waktu.

Kelahiran Kamera Telefon Pertama

Idea untuk menggabungkan kamera dengan peranti komunikasi muncul beberapa dekad kemudian.

Detik penting berlaku pada 11 Jun 1997, apabila usahawan dan pencipta Perancis, Philippe Kahn, berjaya merakam foto digital isterinya yang baru melahirkan anak perempuan dan menghantarnya serta-merta kepada 2,000 rakan dan keluarga.

Philippe Kahn

Kahn merancang sistem yang menggabungkan kamera digital, mikropengawal, dan telefon selular, sekali gus mencipta konsep ‘perkongsian gambar segera’. Kamera digital mula menggantikan filem. Dua teknologi sensor utama muncul: CCD (Charge-Coupled Device) dan CMOS (Complementary Metal-Oxide Semiconductor).

Pada mulanya, banyak kamera digital menggunakan sensor CCD. Walau bagaimanapun, saintis di Jet Propulsion Laboratory (JPL) NASA diketuai oleh Eric Fossum, membangunkan sensor CMOS yang lebih baik pada tahun 1993.

CCD menghasilkan kualiti imej tinggi tetapi mahal dan menggunakan tenaga yang besar. CMOS pula lebih murah, lebih jimat tenaga, dan mudah diintegrasikan dalam peranti mudah alih. Perkembangan CMOS membuka jalan untuk kamera dalam telefon, kerana saiznya kecil dan kosnya rendah.

Telefon berkamera yang dipasarkan secara massa pertama kali muncul di Jepun.

Kyocera VP-210 Visual Phone (1999) dan Sharp J-SH04 (2000) adalah antara perintis, membolehkan pengguna menghantar gambar melalui rangkaian selular, satu ciri yang dikenali sebagai ‘Sha-Mail’.

Kyocera VP-210
Sharp J-SH04

Memasuki 2010-an, saiz sensor dan keupayaan optik meningkat. Telefon seperti iPhone 4, Galaxy S5, dan Huawei P20 Pro memperkenalkan sistem multi-kamera iaitu telefoto, ultralebar, dan makro untuk meniru fungsi kamera DSLR.

Sensor seperti Sony IMX586 dan Samsung ISOCELL GN2 membawa kualiti imej yang setanding kamera profesional, dengan keupayaan ISO tinggi dan pengurangan hingar (noise) yang baik.

Era Fotografi Komputasi

Pada pertengahan 2010-an, persaingan dalam perkakasan kamera telefon pintar menjadi sengit, dengan tumpuan beralih daripada sekadar resolusi megapiksel kepada perisian dan pemprosesan imej.

Inilah permulaan era fotografi komputasi.

Fotografi komputasi menggunakan algoritma perisian dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti imej secara drastik, mengatasi batasan fizikal sensor kecil pada telefon.

Teknik-teknik utama termasuk:

Penggabungan Imej (Image Stacking):

Mengambil berbilang foto dengan pantas dan menggabungkannya untuk mencipta satu imej dengan julat dinamik (HDR) dan perincian yang lebih baik.

Image Stacking

Mod Malam (Night Mode):

Menggunakan pendedahan yang panjang dan AI untuk mencerahkan gambar dalam keadaan cahaya malap tanpa memerlukan tripod.

Night Mode

Kesan Bokeh Potret:

Menggunakan algoritma untuk mensimulasikan kedalaman medan yang cetek (latar belakang kabur) seperti yang dihasilkan oleh kamera DSLR profesional.

Bokeh

Hari ini, kamera telefon pintar bukan sahaja menangkap cahaya, tetapi mentafsir dan memprosesnya menggunakan kuasa komputasi yang luar biasa, membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan foto berkualiti studio dengan hanya satu sentuhan butang.

Perjalanan dari filem yang perlu dicuci ke pemprosesan AI di poket kita benar-benar satu evolusi teknologi yang menakjubkan. Sekarang keupayaan perkakasan pada peranti digabungkan bersama AI.

Evolusi kamera kini menuju ke arah penglihatan mesin (machine vision). Dengan bantuan cip seperti Qualcomm Spectra ISP dan MediaTek Imagiq, telefon mampu mengenali objek, membaca teks, dan mengukur jarak dalam masa nyata.

Fotografi tidak lagi sekadar untuk manusia melihat, tetapi juga untuk mesin memahami dunia di sekeliling.

Akan datang, mungkin filem-filem akan dirakam sepenuhnya menggunakan kamera yang lebih mobil? Apa pun, buat para penggemar fotografi kini anda boleh lebih menghargai teknologi canggih lagi moden yang berada di tangan.

Perjalanan teknologi kamera menunjukkan satu perkara: manusia sentiasa mencari cara untuk merakam dan memahami realiti dengan lebih sempurna.

Views: 17

Iklan Newspaper Inline

Luka Melecur Akibat Disimbah Kopi Panas?

0

Kopi yang panas di kafe, dibru segar oleh barista biasanya bersuhu di antara 70°C-90°C. Jika terkena kulit, boleh menyebabkan luka melecur tahap 2 atau tahap 3. Tahap ketiga adalah luka melecur yang paling teruk sehingga sampai ke bawah kulit. Isi dan tendon boleh “masak” kerana suhu yang panas dan meresap ke bawah kulit.

Mangsa dengan kecederaan terbakar atau melecur memerlukan penjagaan rapi dan perlu berehat secukupnya. Pergerakan berlebihan dan rehat yang tidak mencukupi boleh menyebabkan luka kulit semakin teruk, koyak, terbuka, dan sel-sel tidak dapat sembuh dengan sempurna.

Masa penyembuhan untuk melecur tahap 2 boleh mengambil masa di antara 1-3 minggu untuk sembuh. Manakala luka melecur tahap 3 memerlukan sekurang-kurangnya 3 minggu untuk sembuh bagi luka kecil. Luka bersaiz lebih besar boleh mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun untuk sembuh serta risiko kecacatan kekal jika luka di bahagian kritikal.

Untuk kes pekerja Zus disimbah kopi panas, Zus mendakwa pekerja tersebut telah diberikan cuti. Yang marah kenapa pekerja tersebut tak ada di kedai kenapa? Awak nak dia datang kerja dengan tangan melecur ke?

Tak payahlah nak jadi terpaling. Guna otak juga. Buat benda biarlah ada fakta dan ilmu. Barulah orang dengar apa kita kata.

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Netizen dan Rakyat Tempatan Jadi Barua, Anak Muda Kita Jadi Mangsa

0

Kenapa kejadian 1 berlaku? Sebab kejadian 2 dilayan macam kes besar. Semua media lapor dan semua netizen marahkan pekerja. Kononnya “customers are always right.”

Bila pekerja dibuang, semua gembira kononnya mereka dah buat satu jasa besar dalam dunia. Dah jadi pejuang. Sememangnya ramai orang akan gembira jika dapat buat orang menerima kesusahan di media sosial tanpa muka dan nama. Tanpa perlu dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan mereka.

Walhal, segala komen di media sosial dan laporan media tempatan diambil dan tular di China sana. Orang Malaysia ramai perasan kononnya merekalah jaguh media sosial. Mereka rasa suara mereka di media sosial besar dan kuat sampai boleh buatkan orang diberhentikan kerja.

Mereka tak tahu, orang China sana hidup mati semuanya menggunakan media sosial. Mereka sudah belajar dari kes 2, betapa rakyat Malaysia “memuja” pelanggan dari tanah besar. Salah sikit pun sampai masuk media arus perdana. Itulah persepsi mereka sekarang.

Takziah, petugas kaunter hadapan yang selalu berdepan dengan mereka ini.

Views: 7

Iklan Newspaper Inline

Hentikan Fitnah Terhadap Motosikal Tempatan!

0

Ini adalah motosikal keluaran tempatan yang pertama di Malaysia. MODENAS Kriss 110. Dilancarkan tahun 1996. Brek depan dan belakang pun pakai brek dram lagi. Memang motosikal yang jadi bahan kutukan dan ejekan masa tu. Rekabentuk pun tak menarik dan dikatakan guna “enjin reject”.

Rekabentuk memang hodohlah kalau nak dikatakan. Tahun yang sama, kita ada Honda EX5, Yamaha Y100, Yamah RXZ, Kawasaki KR150, dan Suzuki RG110 yang menampilkan rekabentuk yang jauh lebih menarik, nipis dan futuristik.

Apa pun, ia tetap menjadi pilihan pakcik-pakcik di kampung, penoreh getah, penanam padi, dan golongan berpendapatan rendah secara amnya kerana harganya yang terendah di pasaran. Lagipun, waktu itu, kempen sokong barangan tempatan dan produk bumiputera memang menebal. Sanggup lintas 2 stesen minyak semata-mata nak isi minyak di PETRONAS.

Hari ini, Kriss sudah menempuh pelbagai cabaran zaman dengan evolusi dari brek dram kepada brek cakera, peningkatan isipadu enjin dan beberapa model naik taraf seperti Kriss MR1, Kriss MR2 dan Kriss MR3.

Walaupun sudah melalui pelbagai zaman dan masih lagi kekal sebagai motosikal “termurah” di pasaran, penggunanya kini berkembang kepada golongan pekerja yang mahukan sebuah motosikal berharga rendah tapi boleh diharap dan juga golongan pelajar sekolah yang mahukan sebuah motosikal dari ibu apa mereka.

Model Kriss tetap menjadi pilihan para petani dan mereka yang selalu ke kebun. Ramai di kalangan jiran dan rakan keluarga saya sendiri yang merupakan petani dan pekebun juga masih setia menggunakan Kriss mereka selama bertahun-tahun lamanya. Kriss menjadi pilihan kerana ketahanan enjinnya san kuasa kilasan yang tinggi untuk mendaki bukit. Badannya berat dan stabil, selesa dibawa.

Jadi, bila tengok budak-budak muda kata kononnya Kriss ini tak berkualiti, enjin lemau, body mudah hancur, plastik mengandungi mudah pecah ini hairan juga saya. Orang yang bawa motor ke kebun dan hutan pun elok lagi motor mereka. Awak yang pergi balik sekolah dan melepak di warung pula sampai hancur lebur motor.

Jujurlah. Kriss yang tak berkualiti, atau sendiri yang hancurkan sebab nak paksa mak ayah beli motor jenama lain?

Views: 8

Iklan Newspaper Inline

Makin Ramai Pelajar Biadap dengan Pensyarah Kerana AI; Salah Teknologi atau Cara Kita Berfikir?

0

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar bukan lagi perkara luar biasa. Ia telah menjadi alat harian sama seperti kalkulator, enjin carian atau buku rujukan digital.

Namun, kebelakangan ini semakin kerap juga kita melihat video dan cerita pelajar yang berdebat, meninggi suara bahkan memperlekeh pensyarah apabila disoal tentang tugasan yang disiapkan menggunakan AI. Ada yang mempertahankan jawapan AI sedangkan mereka sendiri tidak faham isi ditulis dalam tugasan yang dihantar.

Hakikatnya masalah ini bukan kerana AI itu wujud, tetapi kerana cara manusia menggunakannya. AI tidak pernah memaksa manusia menyalin jawapan bulat-bulat. AI tidak pernah menyuruh kita daripada berhenti berfikir.

Apa yang menjadikan tulisan itu kosong jiwa ialah apabila pelajar hanya menekan butang ‘generate’ dan menyalin semula tanpa faham lalu mendakwa itu hasil kerja mereka. Di sinilah bermulanya hilang adab apabila seseorang merasa cukup hanya dengan hasil segera tanpa usaha dari akal dan hati.

Pensyarah bukan menolak teknologi. Ramai daripada mereka turut menggunakan AI untuk menyemak tatabahasa, mencari rujukan atau merancang pengajaran. Apa yang mereka pertahankan ialah nilai ilmu itu sendiri.

Mereka mahu melihat cara pelajar berfikir dan bukan hanya hasil tulisan. Tulisan manusia ada ‘getar’ pengalaman, ada sedikit kesilapan yang jujur dan ada cara penyampaian yang datang dari hati. Ia punyai ‘roh tersendiri’.

Manakan sama penulisan kita dengan penulisan yang datang dari AI. ‘Hamburan’ dari jiwa dan susunan kosa kata bermakna dititip penuh teliti, bukan sekadar menyusun jargon aneh agar orang yang membaca terasa ‘wow’ dengan hasil akhir.

Tulisan AI boleh dilihat sebagai tersusun dan kemas tetapi sering kali ‘hambar’. Atas kerana itulah pensyarah boleh mengenal pasti perbezaannya walaupun sekilas pandang.

Dalam dunia hari ini, kita tidak boleh melarang penggunaan AI. Ia ada dalam telefon, komputer, kamera, malah dalam cermin mata serta aplikasi harian.

Tetapi kita masih boleh memilih bagaimana ia digunakan. Gunakan untuk memahami, bukan menggantikan pemahaman. Gunakan sebagai alat untuk membantu, bukan sebagai pengganti otak.

Apa gunanya karangan sempurna jika pemiliknya tidak mampu menjelaskan semula isi kandungan apabila ditanya di hadapan kelas? Betul tak?

Masalah menjadi lebih besar apabila pelajar merasakan mereka lebih pintar daripada pensyarah hanya kerana mereka tahu menggunakan teknologi. Di sinilah lahirnya sikap biadab apabila teknologi dijadikan alasan untuk mengabaikan adab.

Pensyarah bukan musuh kemajuan. Mereka hanya mahu melihat kejujuran dalam proses menuntut ilmu. Mereka tidak marah jika pelajar menggunakan AI tetapi kecewa apabila para pelajar tidak lagi mahu berfikir dan tidak menghargai usaha sendiri.

Isu ini bukan tentang menolak atau menerima AI. Ia tentang menjaga nilai ilmu dan maruah seorang pelajar. Dunia akan sentiasa berubah, teknologi akan semakin maju, tetapi adab dan pemikiran asli tetap menjadi asas seseorang manusia berilmu.

AI boleh menjawab, menulis dan merancang, tetapi ia tidak boleh menggantikan kejujuran, rasa hormat dan kemampuan manusia untuk berfikir secara tuntas.

Selagi kita sedar hakikat ini, AI akan kekal sebagai alat. Tetapi jika kita lupa, kitalah yang akan menjadi alatnya.

Yang sekali-sekala menulis,

Arya.

Views: 72

Iklan Newspaper Inline

Orang Melayu Pernah ‘Berperang’ Dengan Viking

0

Tahun 2017 dulu gempar dunia arkeologi apabila sebilah keris dijumpai di River Towy, Wales. Antara teori para pengkaji ketika itu adalah, keris tersebut telah dibuang ke dalam sungai berdekatan Pelabuhan Carmarthen setelah menyelesaikan satu ‘tugasan’. Teori lain mengatakan ia terjatuh dari kapal yang belayar dan berlabuh.

Pelabuhan Camarthen adalah pelaburan penting dan merupakan tapak bersejarah yang menyaksikan beberapa peperangan besar dan pertembungan dengan Viking.

Kalau ikut logik orang yang claim kapal purba yang dijumpai di Melaka berasal dari China kerana ada dijumpai mangkuk China, makanya adakah boleh kita kata orang Melayu adalah penduduk asal di Wales kerana ada keris dijumpai di dalam sungainya? Kiranya hebat orang Melayu dulu-dulu berperang dengan Viking sampai ke Wales untuk meluaskan empayar.

Sumber: The Independent UK

Views: 3

Iklan Newspaper Inline