Baru-baru ini, seorang ahli perniagaan dan tokoh usahawan rangkaian pasaraya terkenal di Malaysia ada menyuarakan pendapat beliau mengenai perniagaan dan jual beli atas talian sangat berbeza berbanding perniagaan secara ‘brick-and-mortar’ yang konvensional. Menurutnya lagi, jual beli dalam platform beli-belah atas talian sebenarnya membunuh peniaga secara terus berbanding perniagaan brick-and-mortar melalui potongan caj perkhidmatan yang terlampau tinggi terhadap peniaga.
Persoalannya, Apakah Perniagaan Secara ‘Brick-and-Mortar’ Ini?
Secara definisinya, brick adalah bata dan mortar adalah sejenis bahan mengeras yang digunakan untuk memegang bata, mengisi ruang, menampal lubang, meratakan beban keseluruhan bata dan juga memberikan bentuk dan rekaan terhadap bata.
Perniagaan brick-and-mortar adalah proses jual beli secara fizikal dan langsung di antara penjual dan pembeli. Ia melibatkan satu ruang niaga atau francais pada satu lokasi fizikal, dengan menjual produk fizikal dan para pelanggan juga boleh melihat produk secara fizikal dan berinteraksi pula dengannya. Juga secara fizikal.
Ini berbeza dengan proses dan jenis perniagaan secara atas talian di mana segalanya berada dalam bentuk digital. Pelanggan tidak berinteraksi secara terus dengan penjual, lokasi penjual tidak diketahui kecuali di dalam aplikasi, dan pelanggan hanya boleh melihat produk secara gambar atau video digital sahaja.
Dalam bahasa ringkasnya, perniagaan brick-and-mortar adalah perniagaan secara tradisional yang melibatkan penjual berada pada premis fizikal tidak kira samada dimiliki atau disewa. Mereka melakukan jualan secara langsung dan bersemuka dengan pelanggan mereka. Antara contoh perniagaan brick-and-mortar adalah pernigaan kedai roti, perniagaan gerai burger dan juga pejabat pos.
Di era globalisasi dan pendigitalan ini, perniagaan brick-and-mortar ini dilihat semakin diancam dan mengalami cabaran yang sangat kuat daripada perniagaan dalam talian. Ramai peniaga tradisional daripada perniagaan brick-and-mortar ini juga sudah mula beralih ataupun menggabungkan konsep perniagaan dalam talian dan juga perniagaan brick-and-mortar mereka untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam arus pemodenan.