Heart Attack (Freelancer) : Komedi Romantik Yang Buatkan Anda Ketawa dan Menangis

Apa khabar semua pembaca? Untuk artikel kali ini, saya lebih selesa menggelarkannya sebagai “Imbas Kembali” kerana filem ini sudah terlalu lama keluar untuk saya berikan review. Bagi saya, saya memang amat menggemari filem-filem dari jiran kita Thailand kerana filem mereka sarat dengan pelbagai elemen tanpa perlu menggunakan elemen-elemen tarikan seksual bagi membuatkan filem mereka menarik. Filem yang menjadi pilihan saya pada kali ini adalah filem Heart Attack (Freelancer).

Filem ini bermula dengan membawa kepada pengenalan penonton kepada watak utama filem ini iaitu Yoon yang sudah tidak tidur selama 3 hari bagi menyiapkan tugasannya sebagai pereka grafik bebas. Kita juga telah dikenalkan dengan ejen Yoon iaitu Je yang kelihatannya sedang tidur di rumah Yoon. Pada awalnya, kita menyangka Yoon dan Je merupakan pasangan kekasih kerana pada awal cerita kita dapat melihat mereka sangat rapat dan saling memahami antara satu sama lain.

Belum pun siap kita berspekulasi mengenai hubungan mereka, kita telah meyaksikan konflik walaupun di awal cerita. Majikan tidak berpuas hati dengan hasil kerja Yoon walaupun Yoon telah berusaha selama 4 hari tanpa tidur untuk menyiapkan projek di saat-saat akhir ketika penyerahan projek. Jadi, Yoon terpaksa membuat perubahan di pejabat majikannya juga dengan serta merta dan berjaya.

Habis sahaja konflik pertama, Yoon menghadapi pula konflik kedua. Ayah kepada kawan rapatnya telah meninggal dunia di saat Yoon mempunyai masa yang sangat terhad untuk menyiapkan projek lain. Yoon berbelah bahagi untuk menggunakan masanya kepada siapa. Melawat rakannya atau menyiapkan kerja. Jadi, Yoon telah menghadiri majlis pengkebumian ayah rakannya dan pada masa yang sama, menyiapkan kerjanya sekali lantas membawa kepada babak yang sangat lucu tetapi cepat sekali bertukar sedih kerana kawannya kecewa Yoon dilihat datang kerana terpaksa ke majlis pengkebumian ayahnya.

Iklan Google

Seterusnya, kita dikenalkan pula dengan watak sampingan iaitu Peng dan Jerd. Menariknya dengan watak ini, mereka cuma muncul di skrin dengan masa yang sangat singkat dan sangat jarang. Tetapi, mereka memainkan peranan yang sangat besar di dalam penceritaan plot filem ini walaupun masa skrin mereka sangat sedikit. Di sinilah terlihat kualiti dan kekuatan plot dalam filem ini.

Konflik sebenar bermula apabila kita mendapati Yoon mula mengalami bintik-bintik gatal dan menganggu prestasi kerjanya. Demi menjimatkan masa, Yoon telah pergi ke klinik swasta dan akhirnya terpaksa menghabiskan kesemua gajinya kerana kos rawatan swasta yang mahal. Tetapi Yoon tidak sembuh malahan penyakitnya semakin teruk. Jadi, Yoon telah ke klinik kerajaan demi mendapatkan rawatan dengan harga yang jauh lebih murah. Masalahnya, di klinik kerajaan barisan menunggu tersangat panjang dan Yoon telah terlepas giliran kerana tertidur. Saya terketawa ketika babak ini kerana perkara ini jugalah yang sering menjadi ejekan netizen Malaysia mengenai hospital kita. Padahal, kalau di Thailand, keadaannya jauh lebih teruk!

Di sini, kita diperkenalkan degan heroin filem ini iaitu Dr Imm. Antara perkara lain yang saya sangat suka dengan filem ini ialah butiran yang terperinci di dalam dialog dan lakonan tanpa kita terasa terlalu banyak maklumat sedang dilontarkan. Yoon, sebagai pereka grafik yang sentiasa sibuk, hanya memakai baju t, seluar trek dan berselipar dan kadang-kadang memakai jaket sepanjang filem ini. Dr Imm sebagai doktor, cuma memakai blaus dan kot putih, sesuai dengan imej doktor. Dan Je sebagai ejen pereka grafik bebas sering membawa beg yang besar bagi menggalas muatan kerja. Mungkin bagi orang biasa, perincian ini tidak membawa apa-apa makna. Tetapi bagi saya, perincian ini sangat menyenangkan mata dan melepaskan tekanan kepada otak saya dalam menonton filem tidak seperti filem dan drama yang sering menggambarkan watak dengan keterlaluan contohnya arkitek yang sering mengusung pelan kerja, doktor yang sering memakai stetoskop di telinga ataupun ahli perniagaan yang sering membawa beg. Kadang-kadang, less is more.

Iklan Google

Dialog-dialog dalam filem ini juga kedengaran sangat cerdik. Banyak disebut terma-terma dan perkataan yang sesuai dan tepat seperti Photoshop, Stamp Tool, Paracetamol dan sebagainya. Yoon juga tak henti-henti menggaru di klinik dan ketika berkerja dan Dr Imm sering menegahnya dari menggaru setiap kali babak mereka mucul di skrin. Seperti yang saya kata tadi, perincian ini sangat menyenangkan otak saya dalam menikmati filem ini. Pada pertemuan pertama mereka juga, Dr Imm telah meminta Yoon menukar rutin harian bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya terutama sekali tidur dengan cukup. Ini merupakan dilema terbesar bagi Yoon.

Yoon gagal mematuhi arahan Dr Imm dan ini menyebabkan kerjanya terganggu dan penyakitnya bertambah teruk. Ini mengakibatkan Yoon terpaksa berjumpa Dr Imm berulang kali dan Dr Imm dapat meneka Yoon tidak mengikuti nasihatnya walaupun Yoon cuba menipunya. Sama seperti doktor di dunia sebenar yang dapat tahu anda tidak memakan ubat anda walau anda memberitahu mereka anda telahpun makan. Akhirnya Yoon dan Dr Imm telah berjanji untuk membantu satu sama lain kerana Yoon terpaksa terus bekerja atau hilang pekerjaan manakala Dr Imm perlu memastikan Yoon sembuh atau dia akan gagal sebagai doktor pelatih.

Di pertengahan cerita kita dapat tahu sebenarnya Je mempunyai teman lelaki dan hubungan di antara Je dan Yoon adalah umpama adik beradik yang sangat rapat. Pada saat Yoon tidak keruan kerana keliru tentang perasaannya terhadap Dr Imm, Je merancang untuk berkahwin dan meletakkan tekanan terhadap Yoon kerana Yoon bimbang akan kehilangan kerja selepas ini. Babak demi babak berlalu, dan Je akhirnya berkahwin dan Yoon telah sembuh sepenuhnya. Dalam proses perubahan rutin dan perpisahan dengan Je, Yoon seolah-olah memberontak seperti anak kecil dan ini membuatkan Je serba salah. Tetapi akhirnya Yoon mengaku Yoon terasa kehilangan yang sangat besar kerana Je adalah Je, dan takkan ada Je 2 bagi Yoon.

Yoon telah menggunakan masa terluang di hari cuti dengan melancong ke pantai dan beriadah walaupun baginya aktiviti itu sangat membuang masa dan tiada manfaat. Tiada shot menarik dalam filem ini. Tetapi lontaran emosi dan keindahannya jelas bagi yang menghayati dan mampu memahami filem ini menerusi dialog-dialog bersahaja dan monolog yang jujur dan kadangkala mencuit hati.

Cerita ini berakhir dengan Yoon akhirnya terpaksa berjumpa semula Dr Imm untuk mendapatkan rawatan penyakit kulitnya setelah hampir mati akibat tidak tidur selama 12 hari berturut-turut kerana telah dimanipulasi oleh Peng untuk menyiapkan kerja. Ketika ini, Yoon telah menyesali pelbagai perkara dalam hidupnya. Barulah Yoon sedar bahawa dia belum bersedia untuk mati.

Iklan Google

Kesimpulannya, sekiranya anda mahukan filem yang mempunyai sinematografi yang hebat serta pelakon-pelakon yang seksi, filem ini bukan untuk anda. Pelakonnya cuma berbaju kasual dan bersahaja. Sekiranya anda memerlukan babak bercumbu untuk merasai elemen cinta, filem ini juga bukan untuk anda. Kesemua pelakon tetap kekal dalam karakter masing-masing. Yoon sebagai seorang introvert yang mementingkan logik, Dr Imm sebagai seorang doktor yang profesional dan Je sebagai seorang yang tegas tetapi memahami. Tidak ada sepotong ayat cinta pun yang dituturkan oleh Yoon mahupun Dr Imm di dalam filem ini kepada satu sama lain. Namun, walaupun tanpa mimik muka dilamun cinta dan kata cinta, tarikan di antara dua karakter ini dapat dirasai oleh penonton. Anda perlu tonton sendiri kerana terlalu banyak untuk diulas tetapi terpaksa saya padatkan untuk artikel pada kali ini.

Selamat menonton!

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img