“Jika inginkan kedamaian, bersedialah untuk berperang”.
Inilah dia tema yang dibawa sepanjang perjalanan filem ini berlangsung.
Sebelum saya ceritakan betapa hebatnya Keanu Reeves dalam menggambarkan jalan cerita ‘meja tinggi’, saya ingin katakan bahawa tiada istilah ‘insulting the intelligence of audiences’ (menghina kebijaksanaan penonton) dalam filem ini kerana:
1. Keanu amat menghormati seni beladiri. Beliau memahiri beberapa jenis seni beladiri sebelum menyiapkan penggambaran filem trilogi John Wick ini.
2. Keanu juga amat menghormati ‘seni’ persenjataan terutamanya senjata api. Bagi mereka yang sememangnya berada dalam bidang, mereka pasti berasa bangga apabila Keanu cuba sedaya upaya dalam menggambarkan situasi sebenar penggunaan senjata api ketika pertempuran.
Bukan sekadar adegan tembak-menembak tangkap muat semata.
3. Keanu tidak menggunakan ‘shaky cam’ atau kamera bergoyang dalam aksi tempur. Beliau cuba untuk menonjolkan babak aksi perlawanan dengan jelas, kerana hanya pelakon yang tidak mahir seni beladiri sahaja memerlukan ‘shaky cam’.
Keanu tidak termasuk ‘noob’ seni beladiri.
4. Keanu tidak buat penggambaran perlawanan/tempur dalam suasana gelap. Sedikit sebanyak mesti ada cahaya di sekitarnya. Dua teknik penggambaran ini, iaitu tanpa kamera bergoyang dan babak tempur yang jelas berkemungkinan diinspirasikan dari Jackie Chan.
5. Keanu tahu apa yang beliau cuba ceritakan kepada penonton. Beliau tidak terburu-buru dalam perceritaan. Babak dapat difahami dari satu jalan cerita ke satu jalan cerita. Ia akan buat anda terasa puas menonton.
Pendek kata, Keanu adalah seorang perfectionist. Peminatnya pasti tahu beliau juga merupakan seorang peminat motosikal berkuasa besar. Oleh itu babak-babak sewaktu kejar-mengejar di atas motosikal dapat dirasakan emosinya. Beliau adalah seorang rider sebenar!
Saya di sini bukan nak mengulas tentang plot, plot twist, mutu lakonan, bla bla bla. Saya bukan pakar perfileman seperti sesetengah insan dalam group di Facebook yang galak memberikan ulasan. Tetapi saya akan cuba kupas dan nukilkan dari beberapa aspek yang saya juga sangat cintai iaitu seni beladiri dan… seni perceritaan, kerana penulisan juga adalah satu bentuk perceritaan yang jarang dikisahkan orang.
Keanu cuba menceritakan perjalanannya sebagai John Wick selepas beliau membunuh Santino D’Antonio, iaitu ahli The High Table di Hotel Continental.
Hotel Continental adalah rangkaian hotel di seluruh dunia yang bersifat sebagai kawasan atau wilayah neutral bagi kesemua anggota kongsi. Ianya ibarat tempat berkumpul bagi pembunuh-pembunuh upahan dan ‘pembunuh bebas’.
Hotel ini adalah berada di bawah kawalan The High Table.
Apa Itu The High Table?
The High Table adalah sebuah majlis peringkat tertinggi bagi organisasi jenayah bawah tanah yang mempunyai pelbagai ‘peraturan dan ‘kesannya” (sekiranya ia dilanggar).
Ia lebih besar dari mana-mana kongsi gelap di seluruh dunia, dan Hotel Continental berada dalam ‘jajahan takluknya’. Majlis ini terdiri dari 12 kerusi dan setiap kerusi kebiasaannya dimiliki oleh sebuah keluarga besar mafia, sama ada dari Rusia, Itali, dan lain-lain lagi. The High Table boleh dikatakan sebagai sebuah kuasa tertinggi dan setiap peraturan, ‘pantun’, ‘buah’, kesemuanya diikuti oleh mana-mana kongsi yang bernaung di bawah perlindungannya.
Salah satu peraturan yang dibuat ialah tiada pembunuhan boleh berlaku di Hotel Continental atau mereka gelarkannya sebagai ‘tanah Continental’. Sekiranya mana-mana anggota melanggar peraturan ini, mereka akan dilucutkan dari menjadi majlis , digugurkan perlindungan serta-merta, dan terus dijadikan sebagai sasaran kesemua pembunuh upahan. Pesalah dipanggil sebagai excommunicado.
Sebaik ‘nama’ ini dijatuhkan kepada ‘pesalah’, dia dikehendaki supaya dibunuh dan pembunuhnya akan diberikan ganjaran. Inilah yang dihadapi oleh John Wick dalam Chapter 3: Parabellum.
Disebabkan John sudah hilang status perlindungan oleh High Table, tiada sesiapa dibenarkan untuk membantunya, atau mereka juga akan dikenakan hukuman. Setiap ahli majlis sudah berjanji untuk berkhidmat dan memberikan taat setia kepada High Table, dan atas sebab itu jika John dibantu, ini bererti si pembantu juga dianggap sebagai penentang dan pengkhianat kepada majlis High Table.
The Adjudicator – Juri/Pengadil/Penilai The High Table
Ini adalah watak terbaru dari High Table yang dilakonkan oleh Asia Kate Dillon. Beliau hadir dengan tujuan menilai situasi semasa dan memberikan hukuman kepada sesiapa yang membantu John.
Akibat dari ‘penilaiannya’ itulah yang akan anda tonton dan ‘nilaikan’ pula sendiri kesusahan yang perlu dihadap oleh John disebabkan High Table mahu dirinya mati.
Apa yang saya suka tentang filem ini ialah Keanu cuba memberitahu bahawa apabila berjumpa dengan ‘orang-orang tertentu’, terutamanya dengan mereka yang kita ingin dapatkan perlindungan, maka ada ‘pantun’ yang perlu diucap, ada ‘buah’ yang perlu dibuka, dan ada tiket yang mesti dikoyak serta dilangsaikan.
Tidak lupa juga, Keanu membawa elemen baru dalam pertempuran iaitu haiwan. Ada kuda dan anjing (anda boleh lihat dalam trailer) yang akan memberikan impak berbeza kepada emosi ketika mereka juga ikut bertempur.
Halle Berry walaupun sudah berusia 52 tahun, tetapi lagak dan aksinya seakan-akan di awal usia 30an. Keanu pun apa kurangnya, usia sudah menjangkau 54 tahun, namun geraknya seperti pembunuh upahan awal 40an.
Tetapi pada saya watak paling menakutkan adalah dua pesilat Indonesia yang telah menempah nama dalam filem The Raid dan The Raid 2. Siapa mereka? Anda perlu tonton sendiri.
Watak Mark Dacascos kelihatan agak aneh kerana hendak dikatakan orang Cina, bukan orang Cina. Hendak dikatakan orang Inggeris, nampak seperti orang Asia. Memegang watak ‘Zero’, siapa sangka hero filem Only The Strong ini dapat bawa karakter penjahat pula.
Jika anda peminat filem John Wick dan John Wick Chapter 2, anda perlu pergi menonton Chapter 3: Parabellum di panggung wayang kerana percayalah, kualiti audio tembak menembak kali ini adalah sangat luar biasa. Itu belum dicampur dengan elemen-elemen baharu yang ditonjolkan oleh Keanu.
Anda pasti tidak akan menyesal membayar tiket wayang dan berkemungkinan, anda akan ulang tonton kerana terasa seakan tidak puas hanya menonton sekali.
And to Keanu Reeves,
Please make Chapter 4! We can never have enough of John Wick!