5 Sebab Saya Bencikan Peranti Nirbingkai Tanpa Bezel

Dasawarsa ini, sudah menjadi trend bagi peranti pintar untuk hadir tanpa bezel. Lebih-lebih lagi bagi peranti flagship. Para pengeluar dilihat berlumba-lumba untuk mengeluarkan peranti mereka dengan rekaan tanpa bezel. Sebelum saya bermula, apakah itu bezel? Bezel ialah bingkai ataupun permukan hadapan bagi sesebuah gajet atau peranti yang selain daripada skrin.

Dalam erti kata mudah, bezel ialah badan atau bingkai yang mengelilingi skrin peranti anda. Antara faktor utama di dalam trend ini adalah faktor estetika. Di zaman kemajuan teknologi ini, hampir semua pengeluar sudah berupaya mengeluarkan peranti dengan spesifikasi tinggi dan kuasa pemprosesan yang pantas setaraf dengan pengeluar besar seperti Samsung dan Sony.

Jadi, antara strategi yang digunakan oleh para pengeluar bagi membezakan mereka dengan pesaing lain dan secara langsung menarik lebih ramai pembeli adalah dengan tidak lain dan tidak bukan, menghasilkan peranti dengan rekaan yang lebih menarik ataupun menghasilkan pelancar ataupun ROM sendiri. Untuk artikel pada kali ini, saya akan menyentuh perihal rekaan peranti tanpa bezel dan sebab-sebab mengapa saya tidak menyukainya.

Mod satu tangan oleh pengeluar bagi mengatasi masalah sentuhan tanpa sengaja dan kesukaran menaip pada peranti tanpa bezel

1) Kesukaran menaip dan kekerapan berlakunya sentuhan tanpa sengaja

Iklan Google

Dengan pengurangan saiz bezel di sisi dan bawah skrin, saya dapati terlalu kerap berlakunya kesalahan dalam menaip dan sentuhan tanpa sengaja terutama sekali apabila melibatkan aplikasi di dalam mode skrin penuh seperti ketika bermain permainan mudah alih. Mungkin ada yang tidak perasan, tapi ini adalah antara sebab kebanyakan pengeluar telefon dan pembangun aplikasi kini menyediakan mod satu tangan. Mereka sudah menyedari masalah yang dihadapi oleh pengguna yang timbul akibat daripada trend ini tetapi memilih untuk melindunginya dengan kaedah lain demi memenuhi permintaan pembeli.

Kedudukan jari dan genggaman tangan yang janggal ketika menggunakan peranti



2) Masalah kesihatan tangan akibat rekaan yang tidak ergonomik

Sebenarnya, rekaan tanpa bezel adalah tidak ergonomik. Ergonomik bermaksud rekaan alat kegunaan harian yang mematuhi dan mengikuti tahap dan keadaan optimum tubuh badan mengikut teori biomekanik.  Bezel yang lebih lebar pada sisi dan bawah skrin sepatutnya mampu merehatkan jari anda ketika menaip dan mengelakkan sendi jari bergerak dalam julat pergerakan yang terlalu kecil dan tidak selesa. Peranti tanpa bezel telah memaksa jari dan genggaman tangan anda berada dalam keadaan posisi yang janggal dan tidak selesa ketika menggunakan peranti. Maka, tidak hairanlah tahap kesihatan tangan rakyat Malaysia kini semakin menurun dan berlaku pertambahan kes penyakit tangan seperti Carpal Tunnel Syndrome, de Quervain’s Tenosynovitis dan Trigger Finger yang ketara.

Iklan Google
Peranti tanpa bezel lebih mudah pecah dan rosak

3) Bezel yang lebih kecil mengurangkan tahap ketahanan peranti

Sekiranya anda penggemar video ujian jatuh seperti saya, anda mungkin akan bersetuju dengan saya. Kerapkali juga saya mendengar keluhan daripada rakan sekerja tentang peranti yang baru sahaja dibeli mereka sudah rosak atau pecah gara-gara terjatuh dari poket, terlepas dari genggaman (saya dah kata, peranti ini tidak ergonomik), ataupun dibaling anak-anak. Antara model yang paling terkenal dengan masalah ini ialah Samsung Note Edge, dengan rekaan skrin melengkung di bahagian sisi sebelah kiri.

 

Kos alat ganti skrin peranti tanpa bezel biasanya hampir separuh harga peranti!

4) Penyelenggaraan peranti tanpa bezel memerlukan kos dan kemahiran yang tinggi

Seperti poin saya di atas, peranti tanpa bezel kerapkali mengalami kerosakan pada badan atau skrin peranti. Apabila rosak, sudah tentulah ia perlu dibaiki atau diganti. Anda boleh meninjau harga alat ganti ini. Kebiasaannya, alat ganti peranti tanpa bezel boleh mencecah hampir separuh harga peranti ketika baru dibeli! Tetapi bagi peranti dengan rekaan bezel yang besar dan “kurang menarik”, harga alat ganti skrin atau badan peranti selalunya jauh lebih rendah pada kadar 1/4 harga peranti ketika baru dibeli. Tambahan pula, pada peranti tanpa bezel, ruang bagi memuatkan komponen menjadi lebih kecil dan diletakkan sangat rapat di antara satu sama lain. Ketika proses membuka peranti dengan peralatan membaiki, sekiranya anda tidak berhati-hati, peranti akan mungkin akan mengalami lebih banyak kerosakan atau kepatahan pada komponen lain dalam proses merungkai peranti anda.

Saya merupakan pengguna Xperia Acitve suatu ketika dulu. Sangat selesa di tangan walaupun kecil.
-Gambar sekadar hiasan, jari saya lebih ketot. ???

5) Peranti dengan bezel lebih selesa dibawa

Iklan Google

Sekiranya anda pernah menggunakan peranti dengan bezel dan kemudiannya beralih kepada peranti tanpa bezel, hal ini akan lebih ketara. Sekiranya dahulu anda tanpa segan silu mencampakkan peranti anda ke atas katil ketika bergegas menanggalkan seluar untuk ke tandas, kini dengan peranti tanpa bezel, anda mesti lebih tertib dalam meletakkan peranti anda kerana bimbang ia akan rosak atau terjatuh. Kebimbangan ini sedikit sebanyak akan menganggu rutin harian anda. Malahan, tidak sihat untuk kesihatan mental anda kerana berkemungkinan akan meningkatkan stress dalam dunia yang sudah sedia ada mencabar di masa kini.

Dalam hal ini, bukanlah saya ingin mengatakan pengeluar bersalah. Pengeluar cuma menuruti kehendak pengguna berdasarkan kepada peraturan supply and demand. Jadi, sebagai pengguna, buatlah pilihan yang bijak. Adakah anda lebih mementingkan estetika ataupun kefungsian?

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img