Yamaha sering mendominasi segmen permotoran dengan menawarkan pelbagai kategori motosikal untuk peminatnya. Terkini, Yamaha sedang cuba melangkah ke arah alaf baru dengan membina skuter elektrik dengan kod nama E01.
Yamaha E01 merupakan satu model penggantian kepada skuter berkuasa 125cc, yang bermaksud ia akan mempunyai penarafan pengeluaran kuasa lebih kurang 11kW (15hp) supaya sesuai dengan undang-undang di Eropah yang memastikan pelajar untuk lulus terlebih dahulu ujian tunggangan motosikal.
Asalnya, E01 ialah sebuah motosikal konsep, tetapi nyatanya versi pengeluaran sedang dibangunkan. Awal tahun ini Yamaha memfailkan aplikasi tanda dagang untuk nama ‘E01‘, khusus untuk “Motosikal elektrik dan bahagian dan kelengkapannya.” Ini memberikan petanda bahawa Yamaha sedang merancang untuk memasarkan skuter tersebut.
Disebabkan motosikal elektrik dinilai dengan daya pengeluaran kuasa berterusan, iaitu tahap yang dapat dihasilkan oleh kenderaan tanpa menjadi terlalu panas untuk jangka masa tidak terhad, kebanyakan kenderaan jenis ini mempunyai tahap kuasa puncak yang jauh lebih tinggi dari penarafannya, sehingga dua kali lebih tinggi.
Meskipun paten baru bagi skuter ini baru sahaja diterbitkan melalui pejabat paten Jepun, ia sebenarnya telah diserahkan pada akhir tahun 2019. Ini menunjukkan bahawa Yamaha merancang menawarkan skuter ini sebagai suatu kenyataan dan bukan sekadar konsep.