Apa Dalam Kotak
Vortex VIBE adalah papan kekunci dengan pembungkusan yang paling unik pernah saya miliki. Mana tidaknya, bila kali terakhir anda membeli papan kekunci dan pengilang menghantar anda papan kekunci di dalam tin? Bukan itu sahaja, papan kekunci ini berada selamat di dalam tin dengan padding span yang tegap. Span ini memegang papan kekunci dengan kemas di dalam tin. Kualiti dan keselamatan papan kekunci semasa penghantaran anda pastinya tidak akan menjadi kerisauan apabila menempah Vortex VIBE anda sendiri.
Rekaan dan corak pada tin masih lagi minimalis. Paling mahal pada rekaannya sudah tentunya penjenamaan Cherry MX pada permukaan tin. Seperti Vortex Pok3r, Vortex VIBE ini juga hadir bersama suis mekanikal Cherry MX.
Di dalam tin, anda menerima sebuah papan kekunci, kabel USB Mikro, kaki papan kekunci tambahan, dan beberapa butang kekunci tambahan pelbagai warna. Semuanya dimasukkan ke dalam plastik kecil tersendiri.
Kualiti Binaan
Melihat kepada papan kekunci ini sepintas lalu, ia hadir dalam layout yang agak unik iaitu 78%. Nak dikatakan TKL, ia ada numpad. Nak dikatakan layout penuh, ia tiada butang kekunci fungsi dan anak panah. Saya masih lagi tidak menjumpai mana-mana papan kekunci lain di pasaran dengan layout ini.
Vortex VIBE mempunyai ketinggian yang rendah dengan rekaan papan kekunci tanpa bingkai. Ia juga nipis dan rendah yang berbeza dengan kebanyakan papan kekunci di pasaran. Anda boleh meniggikan sedikit papan kekunci ini menggunakan kaki yang dibekalkan bersama, tapi pilihan anda hanyalah pasang kaki atau biarkannya rata sahaja.
Hadir dengan binaan plat alumunium nipis sebagai tapaknya. Tiada kaki pelaras ketinggian, tetapi anda dibekalkan dengan dua tapak getah yang boleh diskru di bawah untuk menambah sedikit ketinggian papan kekunci ini.
Sama seperti Vortex Pok3r, anda juga boleh menukar layout papan kekunci ini kepada Dvorak, Colemak ataupun QWERTY. Bezanya, anda boleh menukarnya melalui butang kekunci sahaja, tidak lagi dengan suis DIP seperti Vortex Pok3r.
Sambungan
Vortex VIBE menggunakan sambungan berwayar dengan kabel mikro USB. Ia tidak menyokong sambungan bluetooth ataupun sambungan tanpa wayar. Kabel sambungan disediakan bersama-sama papan kekunci.
Lubang USB pada Vortex VIBE ini dibina dengan kemasan yang kemas tanpa lekukan. Sekiranya anda ingin menggunakan kabel sendiri, anda tidak perlu risau dengan saiz dan kedudukan lubang USB ini kerana ia tidak dihalang dengan mana-mana alur.
Butang Kekunci dan Suis
Vortex VIBE hadir dengan suis mekanikal Cherry MX. Untuk unit saya, ia dilengkapi dengan Cherry MX Brown. Bagi saya, Cherry MX Brown adalah satu suis yang ‘ok’, terutama sekali bagi papan kekunci dengan saiz yang besar seperti ini.
Jangan terlalu mendengar pendapat orang lain yang membenci suis ini. Bagi saya, anda perlu cuba dahulu untuk merasai dan menilai sendiri sama ada anda sesuai ataupun tidak dengan suis ini. Secara peribadi, bagi saya Cherry MX Brown adalah relevan dan ‘masuk akal’ sebagai suis yang paling ‘selamat’ buat pemula.
Butang kekunci Vortex VIBE juga daripada PBT dengan cetakan dakwat selaman. Cetakan huruf dan nombor pada butang kekunci ini dijamin tidak akan pudar kerana warnanya telah tertanam di dalam plastik PBT. Ini memberikan butang kekunci ini jangka hayat yang panjang.
Butang kekunci pada papan kekunci ini tidak mempunyai bahagian telap cahaya kerana papan kekunci Vortex VIBE ini tidak dilengkapi dengan pencahayaan pada suis ataupun papan utamanya.
Penstabil butang kekunci pada Vortex VIBE ini adalah penstabil khas daripada Vortex Keyboards sendiri. Dengan warna oren yang terang, sememangnya penstabil ini akan jelas kelihatan apabila anda mencabut butang kekunci. Besi penstabil juga telah dipralincir daripada kilang. Secara purata, bunyi dan kelancaran menaip sudah cukup cemerlang untuk sebuah papan kekunci stok.
Satu-satunya lampu LED yang ada pada Vortex VIBE adalah pada butang CAPS LOCK nya sahaja. LED merah menandakan CAPS LOCK, LED hijau menandakan Num Lock, dan LED kuning menandakan kedua-dua CAPS LOCK dan Num Lock sedang diaktifkan.
Sekiranya Vortex VIBE anda tidak mempunyai mod LED ini, jangan risau kerana anda hanya perlu mengemaskini firmware terbaru untuk mendapatkan mod LED ini. Firmware lama hanya akan menyalakan lampu apabila CAPS LOCK dihidupkan dengan LED berwarna putih. Firmware boleh didapati di laman web rasmi Vortex Keyboards.
Kesimpulan
Vortex VIBE adalah antara papan kekunci paling unik di pasaran. Dengan layout 78%, ia berbeza dengan layout papan kekunci popular di pasaran yang kebiasaannya hadir dalam 60%, 65%, TKL atau papan kekunci penuh.
Pun begitu, setelah sebulan menggunakannya, layout 78% ini terasa begitu lengkap. Saya boleh menggunakan butang anak panah dan juga numpad dengan hanya menekan satu butang pilihan.
Untuk menukar butang kekunci pula, tiada masalah kerana anda boleh sahaja membeli set butang kekunci untuk papan kekunci penuh dan ia sesuai untuk Vortex VIBE ini. Tapi secara peribadi, saya rasa butang kekunci asal sudah cukup bagus dengan plastik PBT tebal dan fon yang cukup jelas. Tambahan pula, Vortex sudah pun memberi beberapa butang kekunci tambahan sekiranya anda ingin mengubah gaya sendiri.
Kekurangan pada Vortex VIBE ini adalah ia tiada mod sambungan tanpa wayar, tiada keupayan hotswap pada suis kekunci dan tiada RGB. Namun begitu, sebagai sebuah papan kekunci di pejabat dan tempat kerja, ia sememangnya cukup sempurna. Binaan besi penuh, suis Cherry MX dan juga layout 78% yang sangat berguna. Sememangnya ini antara papan kekunci yang wajib dimiliki.
Ia ringan, kecil, dengan layout unik yang mengekalkan ciri minimalistik tanpa mengorbankan kefungsian. Menaip dengan menggunakan Vortex VIBE sememangnya satu pengalaman yang menyelesakan.
Galeri Gambar