Tanggal 31 Januari 2018 iaitu hari ini, seluruh dunia kecoh memperkatakan fenomena besar yang akan berlaku pada malam ini. Mana tidaknya, 3 fenomena bulan akan berlaku serentak pada masa yang sama. Super Moon, Blue Moon, dan Blood Moon akan berlaku serentak yang akan dikenali sebagai Super Blue Blood Moon. Mengikut kepercayaan zaman gelap, pada malam ini, keturunan Serigala Jadian ataupun Werewolf akan mendapat kekuatan luar biasa dan akan memburu sarang-sarang puntianak dengan rakus. Tapi cerita itu saya biarkan terpendam di dalam fikiran peminat siri filem Underworld sahaja lah. Penulisan saya pada hari ini akan memfokuskan kepada sisi astronomi fenomena ini.
Super Moon
Fenomena Super Moon adalah fenomena yang berlaku apabila bulan berada dalam keadaan paling dekat dengan bumi apabila mengelilingi orbitnya. Orbit bulan menglilingi bumi tidak berbentuk bulat sepenuhnya, tetapi sebaliknya, berbentuk sedikit bujur. Apabila berada di titik paling dekat dengan bumi, kedudukan tersebut dipanggil Perigee dan apabila berada pada titik kedudukan paling jauh, ia dipanggil Apogee. Apabila berada di titik Perigee, pada ketika itulah fenomena Super Moon terjadi. Pada fenomena ini, bulan akan kelihatan 12% lebih besar, dan 30% lebih terang daripada kebiasaannya.
Blue Moon
Jangan tertipu dengan namanya. Ia tidak bermaksud bulan akan kelihatan berwarna biru. Blue Moon adalah fenomena di mana telah berlaku 2 purnama penuh dalam bulan yang sama di dalam kalendar masihi. Bak kata pepatah inggeris, “once in a blue moon” yang bermaksud perkara yang sangat jarang berlaku, fenomena Blue Moon ini juga satu fenomena yang jarang sekali berlaku. Untuk bulan ini, purnama penuh telah pun berlaku pada 2 Januari 2018 yang lepas dan sekali lagi pada hari ini iaitu 31 Januari 2018.
Blood Moon
Tidak seperti Blue Moon, Blood Moon sememangnya mencipta nama dengan rupanya yang seakan berdarah. Pada fenomena ini, bulan akan kelihatan agak kemerahan daripada biasa. Akan tetapi, jangan terpedaya. Fenomena ini bukanlah kerana bulan sedang berdarah, atau berlaku peperangan di atas permukaan bulan, atau berlakunya reaksi pada permukaan bulan mahupun oleh kerana konspirasi badan angkasa. Bulan seperti yang kita ketahui, tidak menghasilkan cahayanya sendiri seperti sebuah bintang. Sebaliknya, bulan memantulkan cahaya matahari pada permukaannya yang putih dengan debu angkasa. Pada fenomena Blood Moon, cahaya matahari akan sedikit terhalang di sebalik bayang bumi dan akan mengurangkan jumlah cahaya matahari yang terpantul pada permukaan bulan. Peristiwa ini berlaku semasa gerhana bulan.
Gerhana bulan akan berlaku dalam 3 tahap iaitu Penumbra awal, Umbra, dan akhir sekali Penumbra akhir. Pada Penumbra, gerhana separuh akan berlaku pada awal dan akhir kitaran gerhana. Gerhana penuh akan berlaku pada tahap Umbra. Bulan akan kelihatan merah sepenuhnya pada tahap Umbra.
Rakyat Malaysia, Jangan Lepaskan Peluang!
Seperti yang telah saya ceritakan, peristiwa ini sangat jarang berlaku. Mungkin kita tidak akan mampu melalui peristiwa ini lagi dalam 100 tahun akan datang sekali pun. 3 peristiwa sekaligus adalah kegilaan para peminat astronomi dan ahli kaji bintang. Kita bertuah kerana mampu mengalami peristiwa ini di Malaysia. Gerhana akan bermula pada pukul 6:51 PM dan berada pada gerhana penuh pada pukul 8:51 PM – 10:57 PM. Gerhana akan tamat pada jam 12:08 PM. Sila rujuk poster rasmi daripada Agensi Angkasa Malaysia di bawah untuk lebih maklumat.