Nokia 9 sepatutnya diumumkan pelancarannya oleh HMD Global pada acara Mobile World Congress 2018 baru-baru ini di Barcelona. Atas sebab-sebab tertentu, mereka melancarkan model Nokia 8 Sirocco.
Tetapi apabila spesifikasi Nokia 9 terbocor keluar, dan jika ianya sahih, jelaslah ada sebab mereka menangguhkan pengumumannya.
Antara spesifikasi Nokia 9 yang bakal menjadi bualan blog-blog dan saluran-saluran teknologi di YouTube ialah trikamera (seperti Huawei P20/P20 Pro) dan pengimbas jari dalam skrin (in-display/in-glass fingerprint reader).
Spesifikasi umumnya pula ialah ia bakal mempunyai pemproses Snapdragon 845, RAM sebanyak 8GB, perlindungan skrin Gorilla Glass 5, kemasan emas 18 karat pada panel belakang dan penarafan IP68.
Selain itu, ia juga akan mempunyai skrin selebar 6.01 inci, QHD + AMOLED dengan aspek nisbah 18:9, serta dijalankan dengan Android 8.1. Storannya pula adalah 256GB.
Semua aspek spesifikasinya anda boleh rujuk gambar yang dipapar di bawah.
Semua spesifikasi itu boleh kita letak ke tepi dahulu, kerana meneliti segala aspeknya adalah membosankan. Tetapi paling penting sekali apa yang bakal menjadi suatu inspirasi yang menonjol pada model Nokia kali ini ialah kameranya.
Selain kerjasama dengan Zeiss dalam penghasilan optiknya, spesifikasi untuk kamera sahaja sudah cukup mengagumkan.
Ia akan dikuasakan oleh sensor 41MP, dengan saiz pixel sebesar 1.4-micron, OIS, lensa sudut lebar, dan aperture boleh ubah (variable aperture) dari f/1.5 kepada f/2.4. Digabungkan dengan kamera lensa telephoto 20MP beserta OIS, pixel 1-micron, dan aperture f/2.4. Sementara lensa terakhir mempunyai sensor monochrome, 9.7MP.
Tidak dapat dipastikan sejauhmana kebenaran spesifikasi ini, kerana ia datang dari sumber yang tidak beberapa kukuh. Jika berita ini sememangnya benar, maka persiapkan modal, tunggu masa dan ketika, apabila ia dilancarkan sahaja teruslah dapatkan sebuah.
Sumber dari: SuomiMobili
Amboi RAM 8GB. Amboi lagi ROM 256GB. Tiba2 terkenang Windows XP. Bagai pinang dibelah berkali. Makin tak bergigi. Walau disapu polident tebal 2 inci. Gusi pun dah tak sudi nak melekat lagi …