Apabila ‘copyright troopers’ mula menjalankan operasi secara besar-besaran, kita dapat lihat satu demi satu aplikasi lanun seperti Terrarium TV berkubur di memorial digital.

Bahkan laman-laman torrent juga satu demi satu terlingkup, tertutup. Tahun ini sahaja menunjukkan beberapa laman yang sudah pun ‘berehat dengan damai’.

Terkini, Showbox mengumumkan persaraannya dari medan lanun setelah dijejaki oleh pemilik Dallas Buyers Club melalui sebuah sepina.

Mereka mendapatkan sepina dari mahkamah yang mengarahkan Cloudflare supaya mendedahkan identiti pemilik dan pengendali Showboxbuzz.com, Showbox.software, Rawapk.com, Popcorn-time.to, Popcorntime.sh, YTS.ag, dan YTS.gg.

GoDaddy juga diarahkan untuk mendedah pendaftar domain Showboxappdownload.com.

Permintaan maklumat ini mencetuskan respon daripada pengendali. Pada hari yang sama bulan lepas, pengendali Showboxappdownload.com dan orang yang memuat naik aplikasinya ke Rawapk meminta mahkamah membatalkan sepina itu, supaya mereka boleh meneruskan penyelesaian di luar mahkamah.

Persetujuan antara pihak-pihak tidak diterbitkan secara umum. Namun, hasil daripadanya kita dapat melihat aplikasi Showbox telah dipadam dari laman Rawapk dan laman showboxappdownload.com kini memaparkan amaran kepada pengunjung-pengunjung supaya tidak lagi menggunakan aplikasi tersebut kerana mereka dapat diperhatikan.