Peranti Kelas Bawahan Akan Lebih Berkuasa, Lebih Bersinar Pada Tahun 2021
5G akhirnya dilancarkan secara rasmi pada tahun 2020. Namun, peranti dengan sokongan 5G pada tahun lepas masih lagi agak mahal. 5G termurah tahun lepas, Samsung Galaxy A51 dengan Snapdragon 765G masih lagi berharga dalam lingkungan harga RM1000.
Hari ini, Qualcomm mengumumkan pelancaran SoC baru mereka dalam siri 400, Snapdragon 480 yang menjanjikan sokongan 5G pada harga mampu milik. Seperti yang kita semua tahu, siri 400 adalah siri bawahan dalam SoC Qualcomm Snapdragon. Biasanya hadir bersama telefon pintar murah seperti siri Redmi daripada Xiaomi.
Tidak hanya hadir dengan sokongan 5G tambahan, Snapdragon 480 juga membawakan teknologi baru pemprosesan imej daripada 3 sensor kamera serentak. Sama seperti yang terdapat pada Snapdragon 888 mereka yang baru. Pemprosesan imej pada Snapdragon 480 akan menggunakan 3 Spectra 345 ISP untuk memproses 3 imej serentak. Berkemampuan untuk mengambil 3 gambar 13MP serentak dan merakam 3 video pada kualiti 720p serentak. Ia juga menyokong 25MP + 13MP atau 64MP dengan Zero Shutter Lag. Tidak menyokong video 4K, tapi anda mampu merakam video perlahan dengan kualiti 720p pada 120 fps dan video biasa pada 1080p 60fps.
Snapdragon 480 akan dibina menggunakan proses daripada Samsung dengan saiz binaan 8nm. Tidak begitu memberangsangkan dari segi penggunaan kuasa tapi untuk julat harganya, sangat sangat berbaloi. Ia juga menyokong dwi-frekuensi GNSS untuk isyarat navigasi yang lebih pantas dan tepat.
Spesifikasi Snapdragon 480 :
- CPU 8 teras dengan 2 ARM Cortex-A76 2.0GHz + 6 ARM Cortex-A55 1.8GHz
- LPDDR4X RAM sehingga 2133MHz
- Bluetooth 5.1
- Qualcomm Adaptive aptX & Qualcomm TrueWireless
- Qualcomm Sensing Hub untuk aplikasi bantuan suara sentiasa berfungsi
- Qualcomm Signal Boost untuk kualiti rangkaian lebih baik
- QuickCharge 4.0+
- GPU Adreno 619
- Pemproses audio Hexagon 686 DSP
- Pemproses imej 3 X Spectra 345 ISP
- Cip simpanan UFS 2.2
- Sokongan skrin FHD sehingga 120Hz kadar segar semula
- USB-C
Daripada senarai spesifikasi ini, agak mengujakan juga memikirkan apakah peranti mampu milik yang akan dilancarkan pada tahun ini. Mungkin kita akan melihat peranti kelas bawahan juga akan hadir dengan kamera 64MP dan skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Dan yang paling penting, DENGAN sokongan 5G!