Tertarik dengan pelbagai ulasan positif, saya tertarik untuk mencuba QKZ VK4. Dengan harga yang mesra poket, saya berfikir, apa salahnya? RM40, pejam mata dan pesan saja. Setelah beberapa siri ujian, saya boleh katakan, ini mungkin IEM terbaik yang anda boleh dapat dengan julat harga RM40.
PANDANG PERTAMA
Pembungkusan QKZ tampak lebih jimat berbanding KZ. Nampak sama, tapi tak serupa. Acuan pemegang IEM pada QKZ VK4 dibuat daripada plastik hitam, berbanding kertas tebal pada KZ EDX. Nampak lebih murah pada pandangan saya.
Komponen lain adalah standard. Anda akan mendapat sepasang IEM QKZ VK4, seutas kabel dengan pin 0.75mm, 3 saiz getah telinga, dan klip. Tiada dokumen untuk jaminan dan maklumat produk diberi bersama. Aneh.
Kabel yang hadir bersama QKZ VK4 adalah kabel hitam biasa daripada QKZ. Menggunakan pin 0.75mm dan 4 teras. Bukanlah kabel perak ataupun emas, tapi sudah memadai mengambil kira harganya. Bicu 3.5mm disadur emas untuk kualiti sambungan yang lebih baik dengan format 3 pin untuk digunakan bersama telefon pintar bersama sokongan mikrofon.
Pemakaian adalah selesa. Mudah untuk mendapat kemasan yang bagus dan getah telinga asalnya berfungsi dengan baik. Ia hadir dalam dua skema warna;- Hitam Karbon atau Ungu Jernih. Saya pilih warna ungu kerana bekas jernih nampak lebih cool dan saya boleh melihat komponen di dalam IEM ini.
KUALITI BUNYI
Seperti biasa, ujian telah dilakukan dengan Foobar player untuk FLAC, TIDAL Master dan juga DAC dengan ALC5636 . Secara peribadi, saya tidak gemar dengan trend yang memerlukan saya menggunakan DAC tambahan untuk mendapat bunyi terbaik daripada IEM kerana seperti yang kita semua tahu, IEM pada fungsi asalnya adalah untuk memantau bunyi semasa persembahan. Ia sepatutnya berbunyi dengan optimum terus daripada kotak tanpa pemproses tambahan. IEM bukannya headphone.
Apa pun, ujian telah dibuat, dan hasilnya… SANGAT MEMUASKAN. Ia berharga RM40, ia tak akan jadi lebih baik daripada abang-abangnya dengan tag harga yang lebih mahal. Ia sebaik yang mampu diberikan dengan nilai RM40. Seimbang, dengan penekanan yang enak didengar pada julat bunyi yang seimbang.
QKZ VK4 dibina dengan satu pemacu audio tunggal dinamik. Karakter bunyi keseluruhan agak natural. Jika anda suka, ya QKZ VK4 ada bass yang kuat. Soundstage tidak begitu besar. Dengan lagu yang sarat dengan instrumen, kadangkala lagu kedengaran seperti dihimpit dalam ruang yang sempit dan bunyi akan bergelut sesama sendiri. Tapi, secara keseluruhan, ia sepatutnya tiada masalah terutama sekali dengan EDM dan Pop.
Low : bass, bass, bass. Apa jua gajet audio, soalan pertama yang akan ditanya pastinya bass. Saya pun tidak faham dengan kegilaan bass. Tapi, jika bass yang anda mahukan, maka bass yang anda akan dapat. Bass berdentum dengan bersih, karakter bass juga sampai dan diluahkan dengan baik. Talaan pada QKZ VK4 lebih memberikan anda bunyi bass yang berdentum tapi kurang detakan. Ia terasa lebih seperti subwoofer berbanding IEM. Anda akan dapat banyak ‘boom boom’ dan kurang ‘tup tup’.
Mid : mid agak warm kerana dipengaruhi dengan bass. Vokal kedengaran selesa dan landai. Kurang perincian pada vokal tinggi. Talaan rata pada mid dengan bass yang agak dominan menjadikan mid agak datar. Instrumen agak bergelumang. Terkadang anda tercari-cari perincian pada instrumen terutama sekali dengan lagu yang sarat dengan bass.
High : high pada QKZ VK4 pada saya cemerlang. Tidak tajam seperti KZ EDX. Simbal dan gitar tidak terlalu keras. Sibilance terkawal dengan baik. Cukup pengasingan di antara frekuensi. Mungkin agak bright bagi sesetangah orang, tapi bagi saya ia baik-baik sahaja. Secara peribadi, ia agak ditekan dan berbunyi datar. Tapi itu hanya pandangan peribadi saya.
KESIMPULAN
Untuk RM40, QKZ VK4 adalah antara yang terbaik untuk dimiliki buat masa ini. Bass yang mantap, mid dihasilkan dengan baik dan high yang natural. Sememangnya sedap digunakan untuk lagu dengan bass yang sarat dan juga menonton filem-filem aksi dengan letupan dan tembakan. Ia selesa dipakai dan boleh bekerja dengan baik walau tanpa DAC tambahan. Untuk RM40, anda tidak akan silap dengan QKZ VK4.