Pemansuhan 3G Tahun 2021: Sudahkah Kita Bersedia?

Kerajaan Malaysia mengumumkan Rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan infrastruktur digital negara, dalam fasa dari 2020 hingga 2025, dengan sasaran 100% liputan 4G dan kelajuan 5G melebihi 100Mbps.

Selaras dengan JENDELA, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rangkaian 3G di Malaysia secara berperingkat menjelang akhir tahun 2021. Ini bagi memberi ruang kepada capaian rangkaian 5G untuk dirangkainkan ke atas spektrum rangkaian yang sedia ada.

Iklan Google

Masalah yang paling ketara dalam proses ini sudah tentulah capaian bagi panggilan suara. Jika 3G dimansuhkan, maka panggilan dari rangkaian 3G tidak ada alternatif lain yang lebih baik. Melainkan, semua rangkaian di Malaysia mula menyokong panggilan suara di rangkaian 4G melalui VoLTE. Kita ada rangkaian 2G GSM, tapi seriuslah? Adakah kita perlu ‘downgrade‘ ke tahap serendah itu demi melaksanakan 5G yang tak pasti sama ada dapat dinikmati semua?

Masalah kedua adalah capaian. Umum mengetahui, capaian 3G adalah satu-satunya capaian yang ada untuk menggunakan internet terutama sekali di kawasan luar bandar. Bagaimana pula dengan nasib pelajar sekolah, IKS dan juga pengguna luar bandar sekirannya capaian ini dimansuhkan? Sudahlah tidak disediakan akses 4G, fiber pula masih berdolak-dalih. Jika 3G dimansuhkan untuk mereka, apa lagi sumber yang mereka ada untuk mendapatkan capaian internet?

Iklan Google

Untuk info, VoLTE membenarkan pengguna membuat panggilan suara berkualiti tinggi menerusi rangkaian 4G LTE pada peranti yang menyokong rangkaian 4G. Ini tiada masalah kerana boleh dikatakan hampir kesemua telefon pintar moden masa kini sudahpun sedia menyokong 4G dan LTE. Yang menjadi masalah adalah telco sahaja yang masih tidak memberikan sokongan VoLTE kepada semua pengguna.

Melihat kepada perkembangan semasa inisiatif JENDELA, masih lagi samar-samar siapa yang akan mengambil tanggungjawab dalam memasang infrastruktur 5G di seluruh Malaysia. Diharapkan akan proses ini akan dijalankan dengan lebih telus tanpa campur tangan ahli politik yang ingin mendapatkan keuntungan atas angin mahupun pihak swasta yang inginkan monopoli. Kita sudah cukup terseksa dengan monopoli fiber, jangan ditambah lagi monopoli telekomunikasi yang lain.

Saya juga tidak pasti sama ada saya yang tersalah baca atau matlamat dan rangka kerja JENDELA selalu berubah-ubah.  Pada awalnya, matlamat JENDELA adalah 100% capaian 4G ke seluruh negara dengan 5G akan siap sedia digunakan menjelang akhir 2021. Kini, merujuk kepada laporan suku pertama 2021 JENDELA, matlamat capaian telah diturunkan kepada 96.9% dan tempoh masa telah dianjak kepada tahun 2022.

Ini agak merisaukan dan menimbulkan persoalan sama ada matlamat ini dapat dicapai ataupun akan ada penurunan standard visi dan misi JENDELA di masa akan datang sekiranya tempoh masa masih gagal dicapai kelak. Walau apa jua perubahan politik yang berlaku, saya berharap agar setiap usaha baik untuk kepentingan rakyat akan terus berjalan tanpa perubahan setiap kali kementerian bertukar.

Ingat matlamat utama JENDELA, jadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga. Oleh itu, kami berharap agar kerajaan kekal menjadikan utiliti ini sebagai satu hak yang layak dinikmati semua tanpa mengira lokasi, bukannya sebagai satu alat korupsi dan ketamakan korporat.

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img