Pada 11 Oktober 2018 yang lalu, laman Facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung gangguan siaran dan perkhidmatan Televisyen Terestial Digital (DTT), MyTV. Pengguna dan kawasan yang terjejas akan mendapati dekoder MyTV mereka akan menunjukkan kod ralat dan pemberitahuan tiada signal.
Pada mereka yang terjejas, anda tidak perlu bimbang samada dekoder anda rosak, ataupun membuat perkiraan untuk menukar antena. Hal ini kerana, masalah siaran ini berpunca daripada masalah di pusat siaran DTT, dan bukan daripada masalah perkakasan pengguna. Pada yang masih belum biasa dengan terma “siaran digital” ini, siaran digital adalah siaran televisyen dengan format baru yang akan menggantikan format penyiaran televisyen tradisional iaitu format siaran analog.
Siaran digital adalah lebih baik dan moden berbanding siaran analog yang sudah ketinggalan zaman. Siaran digital memberikan gambar siaran yang lebih jelas dan terang berbanding siaran analog. Selain kualiti gambar, kualiti bunyi juga mempunyai penambahbaikan yang ketara. Dengan perkakasan elektrik di rumah yang semakin maju, siaran analog tidak lagi sesuai untuk digunakan bersama peralatan baru.
Contohnya, saiz televisyen. Rata-rata daripada pengguna sudah beralih daripada televisyen Tiub Sinaran Katod (CRT) yang lama kepada televisyen samada Paparan Hablur Cecair (LCD) atau Diod Pancaran Cahaya (LED). Malahan, hampir kesemua televisyen moden sudah dihasilkan menggunakan skrin LED. Televisyen dengan skrin LCD atau LED mempunyai saiz dan definisi yang jauh lebih tinggi daripada televisyen dengan skrin CRT.
Dengan siaran analog, paparan dan definisi yang tinggi ini akan terbazir kerana siaran analog tidak berupaya memancarkan isyarat gambar pada definisi dan kejelasan yang tinggi. Anda akan menonton siaran televisyen dengan gambar yang kabur walaupun anda telah membeli televisyen LED yang mahal!
Begitu juga dengan bunyi. Rata-rata pengguna juga memasang set pembesar suara tambahan pada televisyen mereka untuk bunyi yang lebih jelas dan kuat. Dengan siaran analog, keupayaan pembesar suara tambahan ini juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana definisi dan ketajaman bunyi yang rendah daripada siaran analog berbanding dengan siaran digital.
Menurut sumber tidak rasmi, gangguan perkhidmatan ini berpunca daripada kelewatan pembayaran kepada vendor penyiaran DTT di kawasan yang terlibat. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat dipastikan kerana masih tiada pengesahan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Walau bagaimanapun, kami di Omg? Hackers! Berharap insentif kerajaan terdahulu ini akan diteruskan demi menuju Wawasan 2020 yang gemilang. Wawasan 2020 adalah buah fikiran bernas Perdana Menteri ke-4 kita. Diharapkan Perdana Menteri ke-7 kita akan memastikan agar insentif DTT ini dapat diteruskan sehingga ke tahap 100% liputan di seluruh negara seiring dengan harapan baru kerajaan untuk menghapuskan monopoli kapitalis dalam pelbagai bidang termasuklah bidang penyiaran televisyen.