Mpow M30: Ulasan Setelah Sebulan Penggunaan

Intro

Sebelum ini saya sudah pun menulis artikel tanggapan awal atau ‘first impression’ untuk Mpow M30. Jelasnya, dengan ‘sayap-sukan’ yang memantapkan lagi lekapan pada telinga, Mpow M30 sangat sesuai dibawa ketika liburan mahupun aktiviti kesukanan.

Awalnya, saya agak kecewa juga kerana codec ‘maksimum’ untuk TWS ini ialah AAC, menunjukkan tiadanya kewujudan chipset Qualcomm di dalam. Namun, sesuailah dengan harganya yang hanya mencecah RM100+ sahaja. Secara asasnya, M30 ialah model M30 Plus tanpa bekas pengecas yang dapat digunakan sebagai power bank.

Bekas untuk M30 pula adalah lebih kecil, lebih sesuai diletakkan dalam poket tanpa menimbulkan rasa kurang selesa. Cuma kelebihan bekas pengecas M30 plus, kapasitinya memungkinkan anda untuk turut mengecas telefon sekiranya terdesak. Untuk M30, bekasnya dapat mengecas earbuds sehingga 4 kali kitaran, manakala M30 Plus pula sehingga 20 kali!

Iklan Google

Dalam senarai TWS yang saya miliki, meskipun M30 hanya dapat memanfaatkan codec AAC, tetapi bentuknya yang ergonomik menyebabkan saya seringkali mengambil M30 berbanding yang lain. Tidak dapat dinafikan, reka bentuk juga memainkan peranan kerana kita hendak menggunakan TWS ini bukan hanya untuk mendengar lagu atau mendengar bunyi-bunyian lain, tetapi kita melibatkan ia dalam aktiviti seharian.

Cuma sedikit terkilan kerana silikon gantian/sandaran yang dibekalkan seperti melepaskan batok di tepi tangga semata, kerana ia hanya ada 3 saiz sahaja. Kepelbagaian saiz juga adalah penting bagi memastikan lekapan kemas dan bunyi lebih kedap ke dalam telinga daripada bunyian luaran terlepas masuk bersama audio yang sedang dinikmati.

Butang/Panel Kawalan

Terdapat panel kawalan sesentuh di sisi. Tahap sensitivitinya agak bagus. Tidak terlalu sensitif hingga menyebabkan kejengkelan, dan tidak pula terlalu culas hingga menyusahkan kawalan.

Seperti biasa, anda tekan sekali untuk memain atau menjeda, tekan dua kali untuk melangkau (atau dua kali pada sebelah kiri untuk kembali ke trak sebelumnya), dan tekan tiga kali untuk mengaktifkan pembantu suara maya. Saya jarang menggunakan fungsi pembantu suara, tetapi ciri ini dapat menjadi pintasan tanpa perlu tersipu-sipu menyerunya – “OK GOOGLE!”

Tapi kita tidak terhenti setakat itu sahaja. Mpow M30 dibuat dengan memikirkan keseluruhan aspek kawalan, yang mana apabila anda ingin menaikkan laras kekuatan bunyi, anda boleh tekan lebih lama sehingga anda rasa kekuatan bunyinya sesuai dengan tahap yang anda mahukan.

Kualiti Panggilan Suara

Saya jenis manusia introvert. Oleh itu, sebolehnya saya akan cuba elak dari membuat sebarang panggilan suara. Nak berurusan dengan saya? Mudah. WhatsApp/Signal/Telegram/ sahaja. Tak perlu dengar suara pun tak mengapa.

Iklan Google

Untuk menguji sejauhmana Mpow mengendalikan panggilan suara, saya buat juga satu panggilan keluar – kepada Maxis.

Setakat yang saya cuba, kualiti panggilan suara agak kurang bagus. Suara orang yang anda panggil boleh jadi sekejap kuat, sekejap perlahan (tenggelam). Barangkali ada kena mengena dengan telco digunakan, tetapi jika buat panggilan kepada telco sendiri pun sama, boleh jadi ada yang tidak kena dengan TWS ini.

Saya tidak boleh mewakili keseluruhan pengguna Mpow M30. Tetapi untuk diri sendiri, saya akan cuba gunakan TWS lain sekiranya hendak membuat panggilan keluar.

YMMV.

Iklan Google

Ketahanan Bateri

Sepanjang pengujian, jika ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki untuk model ini ialah jangka hayat kuasa baterinya.

Mpow M30 menawarkan penggunaan selama lima jam untuk setiap earbuds, dan jika dicampur dengan bekas pengecas, anda akan menikmati penggunaan selama 25 jam. Bukan hendak katakan ia tidak bagus, tetapi ada model TWS lain mampu menawarkan kadar penggunaan melebihi 30 jam.

Untuk bekas pengecasnya pula, walaupun bentuknya tidak terlalu besar (ertinya mudah untuk anda bawa ke mana-mana), dalam masa yang sama tiada apa yang istimewa padanya. Hasil akhir plastik, akan membuat anda terasa sungguh menggunakan TWS murah. Tetapi itulah dia apa yang dikatakan you get what you pay.

Iklan Google

Kualiti Audio

Kebiasaannya, untuk TWS bajet seperti ini, saya akan berpesan jangan terlalu berharap dan menjangka kualiti tinggi untuknya. Tetapi, Mpow M30 tidak menghampakan, sekiranya bajet anda agak ‘suam-suam kuku’, dan masih inginkan sesuatu yang dapat memberi kepuasan.

M30 menggunakan profil bunyi V-shape, yang biasa diaplikasikan pada kebanyakan produk-produk audio baru. Kebiasaannya bunyi seperti ini akan mengetengahkan bass yang berat dan vokal lebih terkehadapan.

Cuma, apa yang saya dapati dan perhatikan, treble untuk Mpow tidak kedengaran begitu runcing atau tajam, dan ini sesuatu yang baik. Untuk mengatakan profil audio adalah seimbang, tidak tepat sama sekali, kerana bahagian bass bagi TWS ini agak ketara beratnya, menyebabkan vokal sedikit terkebelakang.

Contohnya saya dengarkan lagu Michael Jackson – Billie Jean, vokal Michael agak mendap sedikit, manakala bass walaupun kedengaran begitu berat, ia bukanlah ‘punchy’, sebaliknya ‘muddy’.

Lagu lain seperti The Barden Bellas – Price Tag/Don’t You (Forget About Me)/Give Me Everything/Just The Way You Are/Party In The U.S.A/Turn The Beat Around – memperdengarkan hasil lebih kurang sama.

Cuma bahagian vokal untuk wanita agak lebih jelas dalam lagu Ester Dean, Skylar Astin – Since U Been Gone dan The Bellas – Toxic (sekadar beberapa contoh). Antara lagu yang dapat saya benar-benar nikmati dengan profil seperti ini. Jika anda ingin mendapatkan kadar kejelasan lebih jitu, anda perlulah membuat penalaan sendiri menggunakan equalizer atau aplikasi setara.

Malang sekali untuk peminat metal, treble menjadi frekuensi yang ‘dilupakan’ bagi TWS ini. Beberapa lagu seperti I Prevail – Scars, Cannibal Corpse – Red Before Black, dan Kataklysm – In Shadows & Dust menjadi bukti kepada apa yang saya perkatakan ini. Akibat bass berlebihan dan penalaan lalai, beberapa instrumen ‘terkorban’ seperti (lead) gitar dan rhythm. Audio didengari tidaklah seperti diinginkan oleh para pemuzik.

Sekiranya anda peminat Hip-Hop atau genre lain yang lebih ke arah vokal, Mpow M30 sesuai buat anda. Tetapi jika anda memang inginkan profil lebih seimbang tanpa perlu mengorbankan instrumen penting, anda harus menabung lebih lagi dan dapatkan TWS lain.

Pun begitu, dengan sedikit talaan equalizer, ia dapat ‘diubati’ tanpa modal besar. Seperti saya ingatkan dari awal artikel, pada julat harga bawah RM150, tidak banyak dapat kita jangkakan dari sudut audio. Mpow M30 masih sesuai dijadikan teman ketika anda sedang bersenam atau ketika bersendirian dalam taman sambil menikmati keindahan alam.

Jika anda berminat dengan sebahagian senarai main yang selalu saya gunakan, anda boleh ikut senarai main ini:

Konklusi

Iklan Google

Pada pendapat saya, setelah menilai dari sudut reka bentuk, harga, dan prestasi, Mpow M30 agak berbaloi untuk dimiliki, tambahan lagi harganya yang tidak menjejaskan perbelanjaan dapur menjadikan ia ‘auto’ – add to cart. Sesuai dijadikan teman sewaktu bersukan, dan menonton video, manakala bekasnya pula tidaklah terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam poket, Mpow M30 tidak mengecewakan.

Untuk pembelian, anda boleh ke:

Lazada:

Shopee:

Promosi:

Kod voucher Shopee untuk diskaun 10%: MPOWOMG1

Pautan voucher diskaun Lazada: 10% Voucher

Iklan Google
Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at arya@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img