Xiaomi memang terkenal kerana mampu memasarkan produk berkualiti dengan harga bajet. Jadi apabila Xiaomi mula memasarkan perkakasan audio, saya agak teruja kerana menyangkakan boleh membeli produk audio berkualiti dengan harga yang murah. Saya dapatkan Mi Piston Basic ini dengan harga RM28.
PANDANG PERTAMA
Mi Piston Basic hadir dalam pembungkusan yang sangat minimal dan murah. Hanya sebuah kotak kecil. Ia masih mampu memberikan beberapa jajan berupa getah telinga gantian dan kertas dokumentasi. Saya kira ia agak malas kerana Mi Piston
Basic ini berharga RM28. Sebagai perbandingan, QKZ AK6 hadir dengan lebih banyak pakej walau berharga lebih murah.
Binaan utama MI Piston Basic adalah daripada besi. Terasa sejuk besi pada kedua-dua belah fon telinga ini. Kemasan cat pada kedua-dua belahnya juga cantik dan kemas. Tidak banyak elemen tapi cukup untuk memperlihatkan rekabentuk yang segar dan moden. Kabelnya dibaluti dengan getah anti kusut. Tidak terasa terlalu murah kerana getah kabelnya terasa lembut dan kukuh pada pegangan tangan saya.
Mi Piston Basic juga dilengkapi dengan mikrofon. Kualitinya ok sahaja. Cukup jelas untuk panggilan telefon dan permainan video tetapi agak tenggelam. Saiznya kecil dan sangat ringan di telinga. Pemakaian sangat selesa walau untuk sesi yang lama. Pengasingan bunyi juga agak baik ketika memakainya. Dengan kelantangan separuh, hampir semua bunyi bising di luar tidak dapat didengari.
Bicu audio 3.5mm pada Mi Piston Basic ini tiada saduran emas. Jadi, boleh dikatakan Mi tiada usaha untuk menjadikan fon telinga mereka ini sebagai produk bagi penggemar audio.
KUALITI BUNYI
Mi Piston Basic bukanlah produk untuk audiophille. Ia hadir dalam pakej yang biasa-biasa dengan kualiti bunyi yang biasa-biasa. Untuk pengguna kasual atau sebagai hadiah kepada rakan yang tidak menggemari produk-produk audio, Mi Piston Basic mungkin nampak dan rasa premium dengan bass yang agak ketara berbanding fon telinga pasar malam yang biasa.
Low : bass pada Mi Piston Basic agak memuaskan. Jelas dan terperinci. Tapi tidak berapa berdetak. Bass nya juga tidak pecah dan terkawal dengan baik. Selesa didengar tapi tidaklah sebersih QKZ AK6 dan KZ EDX.
Mid : mid pada fon telinga ini kurang cemerlang. Vokal kehilangan karakter dan tenaga. Bagi peminat lagu akustik dan balada, mungkin patut menghindari fon telinga ini. Ia menjadikan suara artis kegemaran anda kehilangan elemen unik mereka. Bagi saya, mid pada Mi Piston Basic ini agak tawar.
High : high pada Mi Piston Basic ini boleh dikatakan seimbang. Dengan equalizer, anda boleh berikan high sedikit bantuan tapi ia masih terhad. Tiada masalah piercing sepanjang percubaan saya. Boleh dikatakan Mi Piston Basic agak cemerlang dalam low dan high.
KESIMPULAN
Untuk harga dalam julat RM10-RM15, Mi Piston Basic boleh jadi sempurna dalam kelasnya. Binaan besi, kabel bersalut getah anti kusut dan pemakaian yang selesa. Bass nya ada tapi tidaklah begitu berkuasa. Vokal kedengaran lemah dan high yang agak rata. Mungkin sesuai sebagai hadiah kepada rakan kasual anda yang tidak cerewet tentang kualiti audio. Untuk harga RM28, saya rasa ia terlalu mahal dan tidak berbaloi.