Monday, 3 November 2025
spot_imgspot_imgspot_imgspot_img
UtamaEditorialMeter Kereta Guna Skrin Petak Adalah Meter Pondan!

Meter Kereta Guna Skrin Petak Adalah Meter Pondan!

Skrin digital adalah wabak pandemik yang melanda dunia otomotif. Menjadikan jurutera rekabentuk menjadi dungu, tidak imaginatif dan malas berusaha atas tekanan pengurusan bagi menjimatkan kos.

Meter dan sistem infotainment kereta yang guna skrin petak adalah satu ciptaan yang pondan, pemalas, miskin kreativiti dan lemah inovasi. Tak kiralah apa jenama dan berapa harga kereta tersebut.

Langsung tak ada rekaan tambahan, fairing, housing, ataupun aksesori tambahan. Infotainment tanpa butang kawalan merupakan satu faktor risiko kemalangan di jalanraya. Ia manifestasi perangai buruk dan kedekut pengeluar kereta untuk menjimatkan kos kenderaan tapi meletakkan harga premium. Terpacak hodoh di atas papan muka kereta seperti papan tanda di jalanraya.

Meter digital ala smartphone wujud kerana pengeluar dan pasukan rekabentuk sudah malas dan tidak mahir mereka paparan antaramuka meter yang kemas dan elegan dalam satu ruangan yang terhad. Jadi, mereka letak saja satu skrin petak dan suruh pengguna pilih sendiri paparan maklumat yang mereka mahu yang direka dengan sangat minimal dan tidak berkarakter.

“Nak cantik beli kereta mahal lah!”

Sebelum anda kata saya hanyalah pemuja kereta mahal, ANDA SALAH. Kerana meter pondan ini tidak hanya berada di kereta murah dan marhaen saja, malah kereta eksotik pun ada! Sebaliknya, meter digital yang dibina elegan dan cantik boleh pula ada dalam kereta marhaen dan malahan kereta yang banyak dibeli di kalangan rakyat biasa di Malaysia. Saya akan berikan anda beberapa contoh.

Tengok contoh pertama di bawah. Koenigsegg Gemera. Ya, kereta ekostik, kereta mahal. Tapi tetap menggunakan meter pondan. Meter macam pacak smartphone di stereng. Infotainment macam tampal tablet anak di dashboard. Nampak tak tumpah macam radio android kereta murah di Shopee. ‘Butang’ kawalan di stereng pun sama, guna skrin sentuh. Eloklah tu, masa bawa laju-laju, mata kena tengok dulu nak tekan di mana. Tahu-tahu dah sampai ke alam di sebalik mata.

Ini Koenigsegg Gemera. Apa dia ni? Macam pacak smartphone saja atas stereng! Skrin infotainment pulak macam tampal tablet anak atas dashboard. Nampak sama macam radio android kereta murah dalam Shopee.
Seriuslah! Melekat di stereng boleh pusing-pusing? Nak tahu yang lebih teruk? Ya butang kawalan ibu jari di kedua sisi stereng pun menggunakan skrin sentuh juga!

Contoh lain kereta mewah pondan adalah Mercedes-Benz EQB. Kereta elektrik. Meter hanyalah sepapan skrin panjang segi empat. Tanpa ada kemasan tambahan dan rekaan lain.

Mercedes-Benz EQB. Nampak macam cermin pandang belakang Mr DIY dah.
BMW 330i M Sport 2025. Cermin bilik air ke tu?

Kereta Mewah dengan Rekaan Yang Bagus

Ada juga kereta-kereta mewah yang mampu buat skrin digital dengan cantik dan masih mengekalkan fungsi serta ciri sentuhan fizikal yang menjamin keselamatan pemandu. Meter kluster diletakkan di dalam ruangan khas atau hud peneduh yang nampak benar-benar seperti meter. Skrin digital juga tidak segi empat petak semata-mata. Pemandu juga hanya perlu merasa tekstur, lekukan dan butang fizikal tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada jalanraya ke stereng hanya semata-mata untuk mengubah suhu penghawa dingin, menukar siaran radio atau menguatkan lagu.

Lamborghini Urus. Cemerlang. Artistic, modern and functional.
Bugatti Tourbillon, ini baru meter. Tak perlu pacak skrin telefon untuk dapatkan meter yang kecil dan minimalis. Kawalan stereng menggunakan butang analog yang memuaskan deria sentuhan di jari.
Honda Civic Type R. Kejuruteraan Jepun tak mengecewakan. Skrin digital sepenuhnya tapi direkabentuk supaya nampak sporty dalam fairing yang kemas. Lampu indikator di kiri dan kanan skrin berikan perasaan analog.

Kereta Tempatan/Bajet Yang Mengecewakan…

Kita lihat pula di mana meter pondan digunakan pada kereta bajet yang memang jelas nampak digunakan untuk menjimatkan kos.

Proton Saga MC3. Meter dan skrin infotainment digabungkan menjadi satu. Macam papan cermin kedai cermin mata. Meter kluster tidak diletakkan dalam fairing. Ada ruang kosong besar di antara skrin meter dan infotainment. Mungkin boleh buat tampal stiker.
BYD Seagull 2024. Skrin petak. 1 smartphone, 1 tablet.
Nissan Sakura 2024.
Nissan Roox 2026. Panjanggg…

Kereta Tempatan/Bajet dengan Rekaan yang Bagus

Tapi tidak bermakna kereta tempatan semuanya tidak bagus. Ada juga beberapa contoh kenderaan tempatan yang menggunakan skrin digital tapi masih lagi direkabentuk dengan baik.

Proton S70. Walau skrin hanya petak segi empat saja, tapi diletakkan dalam hud/fairing. Skrin infotainment walaupun ada kawalan butang, kesemua butang bersaiz dan bebentuk sama. Ini satu masalah kerana anda tetap kena mengalihkan mata ke butang untung tahu butang apa yang ditekan. Pelaras suhu penghawa dingin sepatutnya menggunakan tombol bagi saya.
Perodua Alza baru. Meter pun sama diletakkan di dalam fairing. Skrin infotainment terletak cantik tidak terlalu terpacak di atas awan.
Perodua Axia 2025. Meter digital penuh. Sama kemas macam Alza baru. Terletak cantik dalam fairing/cowling. Tak menganggu pandangan ke depan.
DAIHATSU Tanto Mini 2019. Kei-car bajet. Skrin yang panjang pada meter tapi direkabentuk sedaging dengan papan pemuka kereta. Butang kawalan analog yang selamat dan mudah digunakan.

Seni dan Kejuruteraan Ruang

Seni meter kluster kereta hampir sama dengan seni rekaan jam tangan. Anda diberikan satu kanvas dengan saiz yang terhad tapi mesti memaparkan maklumat yang lengkap dalam permukaan yang kecil. Bagaimana anda menyusun komponen dan paparan maklumat tersebut jadi ukuran kehebatan dan tahap kehebatan kejuruteraannya.

G-SHOCK GWN-1000 GULFMASTER lengkap dengan 3 sensor dalam satu pakej kecil. Kompas, barometrik, altitud dan suhu. Boleh juga disambungkan ke telefon pintar. Satu seni kejuruteraan ruang, seni dan bahan yang unggul.
FATEH WATCHES The Legacy Series Navy Blue. Jam tangan mewah bertaraf global. Jenama dan rekaan asli dari Malaysia.

Meter pondan adalah satu pemandangan yang menyakitkan mata dalam dunia yang semakin ketandusan inovasi dan seni. Semua benda nampak sama. Rekabentuk dijana dari komputer dan AI yang mementingkan penjimatan kos dan bahan binaan. Maka tak hairanlah kenapa produk dari dua jenama berbeza boleh nampak hampir sama. Komputer tiada kemahiran berfikir yang unik.

Menggunakan meter pondan, ia umpama anda bawa kereta anda ke kedai membaiki kereta kerana meter anda rosak. Dan pomen memasang skrin LCD di atas stereng kerana anda mahukan alat ganti yang paling murah di pasaran.

“Asal keluar nombor sajalah tauke!”

Views: 702

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttps://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com
Artikel Berkaitan
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
- Advertisment -

Paling Popular

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x