Beberapa maklumat awal mengenai model baru OnePlus, OnePlus 9RT mula tersebar di beberapa laman web. Hal ini berikutan kemaskini maklumat di laman Geekbench dengan kod nama “lahaina“. OnePlus 9R pula dikenali dengan nama “kona“.
Berdasarkan bacaan skor pada Geekbench, kelajuan pemproses pada model baru ini lebih menyamai skor pada pemproses Snapdragon 888 yang menguatkan lagi pendapat peranti ini adalah peranti mercu terbaru daripada OnePlus.
OnePlus 9RT juga dikatakan akan menerima kemaskini kamera dengan menggunakan lensa 50MP Sony IMX766. Sensor yang sama juga turut digunakan pada model OnePlus 9 dan juga siri Oppo Find X3.
Spesifikasi lain termasuklah RAM sebesar 12GB dan bateri sebesar 4500mAh. Jika dilihat dari maklumat ini, ia hanyalah kemaskini kecil daripada model OnePlus 9R sedia ada. Tidak dapat dipastikan sama ada ini akan jadi model global ataupun model ekslusif pasaran India seperti OnePlus 9R.
Kepada mereka yang mengidam untuk mendapatkan OnePlus 9 ataupun OnePlus 9R, apa kata tunggu dahulu? Tarikh pelancaran model ini dijangkakan pada 15 Oktober ini.
Sumber: GizmoChina