Saintis telah berjaya membuktikan lebah sebenarnya memahami konsep masa dengan beberapa siri eksperimen dan kajian. Walau ditentang hebat dan eksperimen demi eksperimen dikritik, majoriti saintis akhirnya menerima hakikat akan kehebatan lebah ini.
Eksperimen pertama telah dijalankan dengan meletakkan air gula di luar sarang lebah pada setiap pukul 4 petang. Setelah beberapa hari, koloni lebah tersebut mula belajar untuk keluar pada setiap jam 4 petang untuk mengambil air gula.
Saintis mendapati koloni lebah ini tetap keluar sarangnya tepat jam 4 petang. Eksperimen ini dibantah kerana saintis lain membuat hipotesis lebah sebenarnya melihat arah sudut matahari, bukannya masa.
Eksperimen kedua pula dijalankan. Kali ini, eksperimen dibuat di dalam bilik gelap menggunakan lebah yang sama. Kali ini, hasilnya tetap sama. Koloni lebah berkenaan tetap keluar tepat jam 4 petang. Walaupun di dalam gelap, dan tanpa sebarang cahaya matahari sebagai panduan.
Sekali lagi, eksperimen ini dibantah dengan dakwaan lebah menggunakan haba matahari sebagai ukuran untuk keluar dari sarang.
Oleh kerana terlalu banyak bantahan lebah boleh memahami konsep masa, eksperimen serba baru telah dilakukan.
Kali ini, mereka menjalankan eksperimen ini di bawah tanah, dalam sebuah gua garam. Kali ini pula, eksperimen ini bebas daripada sebarang gangguan cahaya matahari mahupun haba.
Namun, sekali lagi eksperimen di dalam gua garam ini turut dibantah. Kali ini, hipotesis lain telah dibawa. Bagaimana jika lebah sebenarnya mengukur putaran bumi, atau mengesan gelombang elektromagnetik bumi dan bukannya sedang mengukur masa?
Sehinggalah seorang saintis lain melakukan eksperimen yang sama dengan lebah. Lebah ini kemudiannya telah dibawa terbang daripada Paris ke New York.
Di New York, saintis mendapati lebah telah keluar daripada sarang mereka pada jam 10 pagi. Lebah yang sudah biasa keluar pada jam 4 petang di Paris telah keluar pada jam 10 pagi di New York. 10 pagi di New York bersamaan dengan jam 4 petang di zon waktu Paris. Ini kerana lebah tersebut telah mengalami jet lag kerana perbezaan zon waktu!
Dengan ini, saintis akhirnya bersetuju lebah sebenarnya memahami konsep masa dan boleh mengikut jadual.