Views: 1
Sejak kebelakangan ini, ada segelintir rakyat Malaysia yang menghina dan memperlekeh usaha Global Sumud Flotilla (GSF), kononnya misi ini hanya menyusahkan kerajaan, mencari populariti, atau semata-mata agenda Melayu-Islam. Malah ada juga yang terang-terangan menyebelahi Israel dengan alasan bahawa Palestin bukan urusan kita. Pandangan seperti ini jelas tersasar daripada realiti sebenar.
Malaysia Konsisten Membantu Tanpa Mengira Agama
Fakta yang ramai lupa, Malaysia bukan hanya membantu Palestin. Negara kita sudah lama terlibat dalam misi kemanusiaan merentasi sempadan agama dan bangsa:
- Bosnia (1990-an): Tentera Malaysia berkorban jiwa dalam misi pengaman PBB semasa perang Balkan, melindungi etnik Bosnia yang majoritinya Islam, tetapi dalam masa sama turut menyelamatkan mangsa Kristian dan etnik lain.
- Rohingya: Malaysia antara negara pertama memberi perlindungan besar-besaran kepada pelarian Rohingya walaupun ramai rakyat tempatan mempersoalkan beban sosial.
- Nepal (2015): Pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) dihantar selepas gempa bumi besar, menyelamatkan mangsa tanpa mengira agama.
- Misi berisiko tinggi menyelamatkan warga Malaysia berbangsa cina, india dan bumiputra Sabah Sarawak dari sindiket di Myanmar juga telah banyak kali dibuat. Merentasi kumpulan jenayah antarabangsa dan kumpulan pengganas bersenjata di sana. Walaupun ada di kalangan mereka yang diselamatkan ini sebenarnya mereka yang kalah judi, jadi keldai dadah, berhutang dan bekerja sebagai scammer di sana. Ketua misi penyelamat juga orang berbangsa Melayu yang beragama Islam.
- Fiji, Papua New Guinea, dan Aceh: Bantuan kemanusiaan juga dihantar selepas bencana alam, semuanya bukan kerana mereka Islam, tetapi kerana mereka manusia. Jadi, jelas sekali Malaysia berprinsip, bukan bersifat pilih kasih.
Palestin Bukan Sekadar Isu Agama, Tetapi Isu Kemanusiaan Global
Mengaitkan Palestin semata-mata dengan agama Islam adalah hujah dangkal. Konflik Palestin adalah isu hak asasi manusia melibatkan penindasan, pengusiran, rampasan tanah, sekatan perubatan, dan pembunuhan orang awam.
Amnesty International, Human Rights Watch, bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berkali-kali melabelkan dasar Israel sebagai apartheid moden. Apabila Malaysia bersuara, ia bukan kerana sentimen agama, tetapi kerana Malaysia menolak kezaliman, sama seperti pendirian kita terhadap apartheid di Afrika Selatan dahulu.
Bagaimana mungkin hampir seluruh dunia Eropah, NGO antarabangsa, persatuan wartawan antarabangsa, Doctors Without Borders, Mahkamah Keadilan Dunia (ICJ) semuanya mengatakan penjajahan Gaza melanggar semua undang-undang dan keadilan tetapi ada lagi suara-suara sumbang di Malaysia yang masih terang-terangan berbangga menyokong Israel?
Kenapa hanya orang Islam saja yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia sedangkan negara-negara Kristian dan Liberal dari seluruh dunia dipenuhi dengan sukarelawan dari pelbagai anutan dan budaya?
Senator Ireland sendiri pun menyertai rombongan kapal GSF. Adakah Senator Ireland dan Gretta Thunberg juga seorang Islam?
Hipokrasi Segelintir Pengkritik
Ironinya, apabila Malaysia hantar bantuan ke Nepal, Aceh, atau Fiji, orang Melayu-Islam tidak pernah pula menghina usaha itu sebagai agenda agama lain. Kenapa bila giliran Palestin, tiba-tiba ada suara keji yang mengutuk dan menghina? Malahan, orang Melayu-Islam siap berbesar hati ikut turut serta jadi sukarelawan ke misi bantuan walau bukan ke negara Islam dan menyelamatkan mangsa yang bukan beragama Islam.
Kalau benar konsisten, mereka sepatutnya mengkritik semua misi kemanusiaan, bukan hanya Palestin. Hakikatnya, kritik sebegini lahir daripada sikap prejudis dalaman, bukan daripada hujah rasional.
Lebih melucukan, para penghina GSF ini tak ada pendirian langsung pun. Apabila isu melibatkan AS, meraka kutuk kerajaan kononnya mereka penyokong China dan berkiblatkan China. Chinalah negara kuasa besar dan pintar di pentas geopolitik global. Walhal, China sendiri pun banyak kali ‘sound tegak’ Israel depan-depan dalam setiap pertemuan. Bila bab GSF, eh pro AS (Israel) pula?
Paling tak boleh terima, banyak komen-komen rakyat Malaysia di portal berbahasa inggeris seperti di NST, SAYS, MalaysiaKini dan banyak lagi yang mengatakan rombongan GSF ini sebenarnya rombongan pengganas yang membawa senjata untuk Hamas?! Dari mana naratif ini datang?!
Antara komen pedas seorang profesor China kepada wakil Israel adalah “facts are not decided by you” (lebih kurang). Video ini dirakam ketika wakil kerajaan Israel cuba berdebat dengan seorang saintis politik China di sebuah konferen.
Malaysia Akan Terus Teguh
Malaysia tidak akan goyah dengan suara-suara sinis. Kita berdiri atas prinsip bahawa nyawa manusia tidak ternilai, dan keadilan mesti ditegakkan walaupun jauh dari tanah air kita. Palestin tetap isu bersama dunia, bukan isu eksklusif Melayu atau Islam.
Janganlah lupa diri dengan jasa kerajaan Malaysia. Ingat, Malaysia satu-satunya negara yang boleh masuk ke Ukraine ketika mereka masih lagi berperang dengan Russia untuk mengeluarkan mayat mangsa MH17 yang mana hampir majoritinya bukan Melayu-Islam. Ini semua kerana Ukraine dan Russia sendiri ‘segan’ dengan Malaysia, sebuah negara Islam yang kecil, tapi sangat aktif dan sering menghulurkan bantuan misi kemanusian di peringkat global walau di kawasan berisiko tinggi.
Zi0nist kecil ni, apa saja yang orang Melayu-Islam buat, semuanya tak kena. Yang Islam sendiri pun, ada lagi yang bebal mengatakan GSF ini hanyalah wayang PMX untuk jadi hero. Itulah pentingnya pendidikan. Biar tahu apa itu ‘Global’ dalam Global Sumud Flotilla. Barulah otak tak dipenuhi tahi politik kedunguan.
Bila didedahkan identiti, tahu pula menggelupur padam komen, tutup akaun media sosial. Ramai juga tak sangka teman sepejabat yang selalu bertepuk bertampar, makan sama-sama rupanya seorang yang maha rasis dan penuh kebencian terhadap apa sahaja yang berkaitan Islam. Ada juga yang miliki perniagaaan yang mana pelanggan mereka majoritinya orang Islam juga. Dasar!