Flyme OS adalah ‘ROM’ yang digunakan dalam telefon pintar Meizu. Mendapat julukan ‘400 Ciri’, saya tidak pasti sejauh mana kebenaran 400 ciri tersebut, namun ciri-ciri yang saya gunakan setiap hari sudah cukup untuk membuatkan saya ‘terpaku’ dengan ROM ini.
Sekali pandang ia nampak seakan banyak menyalin fungsi dan antaramuka iOS. Tetapi, ia bukan sesuatu yang ‘buruk’ sekiranya fungsi tersebut sangat berguna dan membantu dalam kepenggunaan harian.
Saya menggunakan Flyme sejak dari peranti Meizu M2 Note. Diakui, pada waktu itu ia bukanlah satu ROM yang menarik untuk digunakan. Tahun berlalu, Flyme berevolusi, dan kini versi terbarunya Flyme OS 6 memiliki keunikan yang dapat membezakan antara ia dengan ‘custom skin’ yang lain.
Antara ciri Flyme OS 6 yang membuat saya rasa amat senang dengannya ialah:
1. SmartTouch
Ya, saya rasa kita pun tahu dari mana Meizu mendapat idea untuk menghasilkan fungsi ini. AssistiveTouch – barangkali inilah sumber inspirasinya. Ia tidaklah 100% sama dengan ciri yang dimiliki oleh peranti Apple tersebut, tetapi sedikit sebanyak ianya agak serupa.
SmartTouch dari Meizu memanfaatkan sebuah butang kecil yang anda boleh seret dan letak di mana-mana ruang skrin telefon anda.
Buang ini akan bertindak memberikan respon kepada isyarat (gestures) yang anda telah tetapkan dan lakukan ke atasnya. Sebagai contoh seret ke atas untuk ke Home Screen, seret ke bawah untuk membuka notifikasi, tekan dua kali untuk membuka Task Manager, dan sebagainya lagi.
2. Aplikasi Security
Sekali imbas, ia tidak ubah seperti aplikasi ‘antivirus’ yang selalu dimuat turun di Google Play Store.
Tetapi ianya adalah lebih dari itu.
Aplikasi ini bukan sekadar pembersih, tetapi ia menempatkan semua ciri penjagaan keselamatan dan penyelenggaraan telefon pintar anda.
Apa yang saya suka, ia ada ‘Flyme payment protection’, yang mana ia akan menyekat proses hasad semasa anda membuat sebarang transaksi atas talian.
Ia juga mempunyai imbasan awan atau ‘cloud scanning’ untuk mengimbas aplikasi yang anda muat turun. Tidak lupa juga, segala ‘sampah sarap’ yang anda buat di siang hari akan dipadam secara automatik.
3. Screen Recorder
Sesetengah orang tak peduli dengan kewujudan fungsi ini. Ia kadangkala dipandang sebelah mata sahaja. Tetapi tidak buat saya, kerana saya berasa amat bersyukur adanya fungsi ini.
Saya dapat merakamkan apa jua yang saya lakukan pada telefon tanpa perlu memasang aplikasi lain. Kebiasaannya pada peranti yang saya gunakan sebelum ini, saya pasang DU Recorder. Dengan Flyme OS, kini DU Recorder hanya tinggal sejarah.
4. Vault
Vault ialah satu tetapan yang ditempatkan dalam aplikasi File Manager. Ianya berfungsi sebagai satu ruang penyimpanan fail yang dilindungi dengan kata laluan. Apa juga fail yang anda rasakan sulit atau rahsia, anda boleh masukkan di sini.
Ya, betul. Tidak perlu lagi aplikasi tambahan yang anda selalu muat turun dari Google Play Store. Cukup sekadar anda tetapkan kata laluan melalui bahagian tetapan, dan selepas itu anda boleh gunakan Vault sebagai kubu penyimpanan fail-fail bertaraf sulit.
Kalau anda mahu, anda juga boleh sembunyikan ikon Vault tersebut.
5. Tema Dan Wallpaper
Flyme mungkin bukan ‘custom skin‘ paling cantik dalam dunia. Cuma bezanya ia mempunyai satu hub tema dan wallpaper yang boleh anda muat turun secara percuma. Tema tersebut semestinya serasi dengan Flyme, dan dibuat oleh para peminat seluruh dunia.
Dari aplikasi ini anda juga boleh tetapkan gambar yang anda suka untuk dijadikan sebagai wallpaper pada Home Screen mahupun Lock Screen.
6. Game Mode
Walaupun saya bukan seorang gamer tegar, namun ciri Game Mode seperti ini adalah amat dialu-alukan. Selain ia akan mempertajam dan meningkatkan prestasi telefon ketika berada dalam permainan, ia juga akan mengaktifkan DND (Do Not Disturb) serta menyahaktif fungsi-fungsi yang tidak diperlukan ketika anda sedang fokus bermain.
Jadi, anda akan merasai kepermainan yang lancar dan tidak pula diganggu oleh SMS mahupun panggilan telefon yang tidak penting. Ya, apa juga panggilan telefon adalah tidak penting ketika anda perlu memenangi sesebuah permainan bukan?
Fokus itu adalah kunci kemenangan.
7. mBack Dan Isyarat
mBack mungkin bukan untuk semua orang. Trend yang menjadi tular ketika akhir 2017 dan awal 2018 ini ialah skrin nirbingkai atau bezelless screen. Kehadiran butang mBack hanya menjadi penghalang untuk mencapai ratio skrin penuh yang diinginkan oleh pengguna masa kini.
Hanya pada saya, keunikan Flyme terletak kepada mBack dan isyarat-isyarat (gestures). Pengguna akan dapat melakukan navigasi ke seluruh antaramuka dengan hanya satu butang, dan isyarat-isyarat yang telah ditetapkan (oleh anda).
Butang tersebut boleh diklik, dan menempatkan pengimbas jari di situ. Dengan sekali ketik, ia akan mengarahkan antaramuka untuk kembali ke belakang manakala jika ditekan pula ia akan mengarahkan anda ke Home Screen.
8. Root Dengan Mudah
Ini antara ciri yang menenangkan akal fikiran saya. Tidak lagi perlu dicari dan dibaca tutorial yang rumit. Untuk root peranti Meizu beserta Flyme adalah amat mudah apabila fungsi ini disertakan sekali dalam ruang tetapan sekuriti. Cuma dalam kemas kini versi terbaru, ianya disembunyikan.
Barangkali untuk mengelak dari kejadian root yang tidak diingini.
Kelakar pula bunyinya.
9. Low Power Mode
Kebiasaannya bateri pada M6 Note ini dapat bertahan lebih dari sehari. Jadi selalunya saya akan kembali mengecaj pada waktu malam, dan akan membiarkan bateri yang penuh tidak digunakan sehingga keesokkannya. Apa yang saya buat untuk menjaga kelangsungan bateri ialah menetapkan Low Power Mode dari pukul 12 malam hingga pukul 6 pagi esoknya.
Low Power Mode bertindak membantu mengawal fungsi Bluetooth, GPS, bunyi, getaran (haptic feedback) dengan bantuan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Ia akan mengurangkan efek visual dan prestasi sistem agar tiada pembaziran kuasa berlaku sewaktu anda sedang tidur.
10. One Mind AI
Saya telah mengulas mengenai fungsi ini pada ulasan Meizu M6 Note. Anda boleh baca ulasan penuh mengenai One Mind AI di artikel tersebut. Secara ringkas, Meizu menggelarnya sebagai ‘thinking engine’, yang mana kecerdasan buatan ini akan mempelajari bagaimana anda menggunakan peranti anda, seterusnya ia akan melakukan pelarasan bagi meningkatkan prestasi peranti serta aplikasi.
Inilah satu-satunya ciri Flyme OS 6 yang menjadi penanda aras kepada kemajuan pembangunan perisian oleh Meizu. Di sebalik sebuah firmware, ada satu kepintaran/kecerdasan buatan yang memantau, mengendali, dan menyelaras peranti.
11. Bonus: mCharge, Pengecasan Pantas Versi Meizu
Berapa lama masa yang diambil oleh Google Pixel 2 XL untuk mengecaj baterinya yang bersaiz 3520mAh? 2 jam 15 minit.
Berapa lama pula masa yang diambil oleh Meizu M6 Note untuk mengecaj baterinya yang bersaiz 4000mAh?
2 jam 5 minit.
Ok, itu sahaja yang saya ingin tulis sebagai penutup. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca.