Dah berkali-kali abam tulis mengenai hal ini. Namun disebabkan gejala penyebaran maklumat yang salah masih lagi berleluasa, maka abam terpanggil untuk memberikan sedikit pencerahan kepada sebuah kegelapan.Antara Enkripsi dan ‘Bypass Kuota’
Majoriti pengguna-pengguna VPN di Malaysia ini kalau disebut tentang VPN, tiada lainlah dalam kepalanya melainkan ‘aku nak bypass kuota’ Cikcom, Diji, Mekcis, mahupun i Mobile.
‘Fenomena’ atau suasana ini terjadi dek kerana MVNO masing-masing masih menetapkan kuota yang sedikit pada pelan-pelan mereka, dan ini menghasilkan ‘demand’ atau permintaan yang lebih terhadap ‘laluan internet tanpa kuota’.
Oleh itu wujudlah pelbagai jenis ‘servis’ VPN yang dikatakan mampu melepasi atau ‘bypass’ kuota yang telah ditetapkan. Sememangnya bukan salah pengguna terhadap kefahaman yang tidak benar ini, namun mereka juga harus mendidik diri supaya tidak terus menjadi alat yang dipergunakan sesungguhnya oleh para ‘penjual servis’ ini.
Kejahilan bukan alasan untuk berkecuali dalam hal kebenaran.
Sebab Utama VPN Diperlukan
Kita tahu ada pelbagai kaedah serangan sekiranya kita menggunakan rangkaian-rangkaian awam seperti Man In The Middle yang mampu untuk terus memanipulasi akaun-akaun yang berjaya dicerobohi.
Jadi salah satu kaedah untuk melindungi rangkaian kita daripada ditembusi oleh para penggodam ialah dengan menggunakan VPN.
Selain itu, VPN juga berperanan penting untuk melepasi sekatan dari firewall/perisian sekatan oleh ISP terhadap laman-laman sosial atau lain-lain laman tertentu. Disebabkan alamat IP berubah, maka ia juga mampu melepasi sekatan geo-lokasi yang ditentukan kepada negara khas sahaja, contohnya sesetengah kandungan yang hanya boleh diakses dari negara Amerika Syarikat.
Bagi yang pentingkan privasi, VPN boleh menghentikan kemampuan ISP untuk memantau setiap kegiatan anda, khususnya untuk VPN yang mempunyai ciri Anti Deep Packet Inspection (Anti-DPI).
Bolehkah VPN Bersambung Kepada Rangkaian Tanpa Melanggan Data/Pelan, Bolehkah VPN ‘Bypass’ Kuota?
Secara teknikalnya, adakalanya VPN boleh bersambung kepada rangkaian tanpa memerlukan sebarang langganan data, dan boleh juga ia melakukan pelangkauan atau bypass kepada sebarang jumlah kuota yang telah ditetapkan, hanya disebabkan terdapat kerentanan (loophole) atau rangkaian tersebut sedang melakukan penyelenggaraan yang membolehkan peranti untuk menggunakan data internet tanpa langganan, baki kuota, ataupun kredit.
Sebagai contoh seandainya ISP anda secara tidak sengaja telah membuka satu port yang tidak dipantau untuk sesuatu tujuan, katakan ia port 53 yang mana ia biasa digunakan untuk pelayan DNS. Kebiasaannya ISP tidak akan memantau port ini dan membenarkan pengguna untuk menghantar paket UDP melalui port tersebut tanpa mengenakan sebarang caj atau kuota kepada pengguna kerana port tersebut pada waktu-waktu yang ‘normal’ hanya digunakan untuk ‘urusan’ DNS.
Hanya apabila ISP mula memantau port tersebut, maka pengguna tidak lagi akan dapat menggunakan data internet secara ‘percuma’ atau tanpa kuota.
Maka, R.I.P trik, R.I.P unlimited.
Konklusi
Jadi, adalah diharapkan dengan pencerahan kali ini dapat menyelesaikan kabut dalam kebuk kepala anda, yang seringkali terfikir tentang situasi ini, iaitu apabila selalunya anda sedang seronok menggunakan data internet masing-masing dengan gembira tanpa memikirkan apa-apa, ketika itulah mesej ‘Anda telah menggunakan kuota sebanyak 80%” sampai ke telefon pintar.
Jangan terperanjat. Ia bukan situasi ajaib atau luar biasa. Ia hanyalah keadaan di mana ISP anda sudah mula ingin meningkatkan hasil jualan mereka melalui jumlah topup dan langganan pelan data yang berganda pada bulan tersebut.
Selesai.