Cara Mengenal SCAM Dalam Pelaburan atau Aplikasi

“Hello admin, ini SCAM tak? Kawan ajak masuk”

“Admin, boleh tolong hack tak? Duit saya kena SCAM RM8,000”

Antara soalan paling popular yang saya selalu dapat adalah sama ada sesuatu skim atau aplikasi sekian-sekian scam atau tidak. Sebenarnya, bukan tak nak jawab tapi banyak skim dan aplikasi di Malaysia tumbuh macam cendawan. Macam-macam nama. Ada tu, memang dah jelas nampak dan modus operandinya scam, tapi kami pun tak boleh cakap scam sebab kabel mereka besar dan kami tak ada duit nak bauar saman. Bab ni, boleh tanya Pendakwah Teknologi sebab dia pun ada pengalaman naik turun mahkamah walaupun cakap benda betul.

Jadi hari ini, saya ambil inisiatif untuk tulis satu garis panduan ringkas untuk kita semua mudah mengenal sama ada sesuatu pelaburan itu scam atau tidak. Boleh baca dan kongsikan semula post ini pada ahli keluarga, kawan, jiran, kucing dan sebagainya. Elakkan orang terdekat kita terjebak dan rugi.

Baik, langkah pertama untuk kita mengenal scam adalah kenalpasti dulu jenis scam. Dalam konteks pelaburan dan dapat duit, biasanya ia adalah varian daripada ponzi scam. Tak kiralah sama ada MLM, palaburan, skim, aplikasi, kripto, token, task, kebiasaannya dalam konteks scam moden, ia adalah ponzi scam. Kenapa ponzi scam? Sebab ponzi scam adalah cara scam paling moden, paling mudah, paling nampak real dan paling senang tipu orang ‘terpelajar’. Ia juga scam yang tak nampak macam tipu sampailah saat-saat akhir. Dalam istilah Malaysia, TERSONTOT.

Sejarah kerugian skim ponzi terbesar dunia.

Ponzi Scam boleh dikenal dengan beberapa tanda amaran berikut:

  1. Pulangan yang tinggi tanpa risiko atau risiko rendah
  2. Keuntungan yang konsisten dan tetap
  3. Pelaburan yang tidak berdaftar dengan badan sekuriti
  4. Syarikat yang tidak berlesen
  5. Strategi dan sistem yang rahsia dan rumit
  6. Masalah dengan dokumentasi
  7. Kesukaran mendapatkan wang

Pulangan Tinggi Tanpa Risiko dan Keuntungan yang Konsisten

Ini tanda yang paling ketara malah merupakan nasihat rasmi daripada kerajaan melalui agensi seperti BNM, SSC dan MKN. Adalah mustahil untuk sesebuah pelaburan untuk menjanjikan keuntungan yang pasti dalam tempoh yang tetap dan tanpa risiko. Ini adalah perangkap yang paling besar dan banyak memperdaya golongan penjawat awam dan profesional seperti guru dan pensyarah. Golongan ini begitu mudah menjadi mangsa pelaburan scam kerana norma kerja mereka yang sentiasa ‘mengajar’ orang dan dilihat sebagai orang yang sentiasa betul dan sentiasa berpengetahuan dalam pelbagai bidang.

Iklan Google

Ponzi akan menggunakan iklan-iklan yang hebat dengan bahasa-bahasa yang moden seperti dana, bond, pelaburan, saham dan sebagainya. Malah, pelaburan ini akan disandarkan kepada aset yang biasa dijadikan pelaburan yang untung seperti hartanah, emas, kripto, bahan galian dan nilai tukaran matawang. Dalam bahasa pelaburan, ini dipanggil arbitaj.

Bank Negara pun dah selalu ingatkan suruh hati-hati. Masih lagi ada yang terpedaya.

Apa Itu Arbitaj?

Arbitaj adalah sejenis pelaburan yang mengambil peluang di atas perbezaan harga sesuatu barang di dua tempat berbeza. Seperti yang dikatakan tadi, contohnya emas, matawang dan sebagainya. Ponzi akan mengiklankan arbitaj mereka kononnya membuka peluang pelaburan untuk mengeksploit julat perbezaan harga ini sebagai keuntungan mudah dengan segala risiko ditanggun oleh syarikat, bukannya pelabur. Golongan terpelajar ini apabila mendengar perkataan-perkataan baru ini akan cuba untuk Google sendiri dan dapat membaca daripada sumber-sumber kewangan yang dipercayai lalu terus percaya kepada ponzi walaupun tidak faham pun lagi apa skim yang dibawa oleh ponzi tersebut.

Ponzi pula akan sentiasa menanamkan keyakinan bahawanya pelaburan mereka tidak akan pernah rugi. Ia akan disulami dengan beberapa contoh yang moden juga dan mungkin akan disaluti dengan sentimen lain seperti sentimen agama dan bangsa. Contohnya, pelaburan kripto tidak akan rugi kerana Elon Musk juga melabur dalam kripto dan pelaburan emas tidak akan rugi kerana ia matawang akhir zaman. Golongan terpelajar ini akan merasakan bahawa merekalah yang paling pandai mengambil peluang dan merupakan sebahagian daripada sebilangan kecil umat manusia terpilih untuk mengaut keuntungan daripada sistem ini.

Pelaburan yang Tidak Berdaftar dan Syarikat yang Tidak Berlesen

Ini juga strategi yang kerap digunakan dan mudah menipu mangsa yang agak ‘tech savvy’. Saya akan berikan contoh dalam bentuk sebuah senario.

Katakan saya menubuhkan sebuah syarikat dengan nama Wongso Maju. Saya kemudiannya akan mendaftarkan syarikat saya Wongso Maju dengan SSM. Jika saya ligat, saya boleh juga mendaftarkan syarikat saya sebagai syarikat yang disahkan sebagai status bumiputera. Proses ini tidak sukar cuma perlu banyak dokumen dan birokrasi. Seterusnya, katakan saya ingin berniaga dengan sah di sisi undang-undang. Maka saya akan melancarkan sebuah pelaburan, katalah dengan nama Wongso Fund. Wongso Fund ini pula akan saya ikuti segala garis panduan BNM, AMLA dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Nak lagi best, saya boleh usaha dapatkan panel syariah dan dapatkan sijil pematuhan syariah.

Wongso Fund ini akan saya jalankan selama beberapa tahun dan dapatkan kredibilti. Mungkin boleh buat majlis tahunan dan jemput nama-nama besar termasuk selebriti dalam majlis rasmi. Model perniagaan Wongso Fund sememangnya bersih, telus dan berkredibilti. Sehinggalah suatu hari, saya tubuhkan satu lagi skim pelaburan. Katalah, skim Murung Rich Academy (MRA). Saya akan jaja kata MRA ini adalah skim baru dan tempat adalah terhad tapi keuntungan dapat dijamin kerana ia tidak terbuka kepada ramai. Dalam setahun, pulangan yang diterima adalah di antara 100% ke 700%.

Saya akan jaja segala macam penarafan dan gambar-gambar majlis bisnes halal saya, Wongso Fund tadi. Bila sudah ada pelabur yang masuk MRA saya, segala kerja propaganda ini akan dilakukan secara automatik oleh pelabur MRA termasuklah lokasi syarikat utama, sijil SSM, BNM, gambar perasmian majlis dan sebagainya. Walaupun kaunter urusan MRA tiada, tapi oleh kerana MRA telah dikaitkan dengan syarikat saya yang sah, maka pelabur baru yang masuk berduyun-duyun. Selepas itu, saya bolehlah kenalkan skim sampingan yang lain seperti Murung Gold Account (MGA), Murung Cash, MurungFX dan sebagainya. Tak perlu syarikat, tak perlu daftar baru, tak perlu buat kenyataan rasmi. Segala dakwaan, saya biarkan peserta yang sebarkan sendiri.

Maklumat ini apabila sampai ke lingkaran mangsa pelaburan yang tidak kenal pun bisnes asal saya, tidak akan mencari maklumat sendiri. Yang mereka tahu, kawan mereka tunjuk syarikat saya selalu buat majlis dan dihadiri oleh pelbagai VVIP. Tak kan lah VVIP nak menipu dan mudah kena tipu? Jadi, dengan angan-angan untuk jadi kaya seperti VVIP, mereka tanpa berfikir panjang terus melabur sama.

Iklan Google
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Strategi dan Sistem yang Rahsia dan Rumit

Ini antara perangkap yang paling ampuh. Biasanya ponzi akan pancing mangsa dengan emosi seperti impian melancong dan bina rumah idaman. Bila ditanya cara bisnes, mereka banyak berdalih dan mengelak dari bercerita di tempat awam seperti media sosial. Nak tahu? Kena masuk group WhatsApp, kena masuk kelas, kena masuk Telegram. Dia ingat di James Bond? Mat Bond? Penyelamat dunia?

Bila kita masuk ‘personal coaching’ mereka, mereka akan mula melemparkan pelbagai jargon dan perkataan-perkataan besar bagi menampakkan pelaburan mereka ini sangat wow. Compounding, blockchain, trade, exchange, dan ada pelbagain sistem dan pangkat yand boleh dicapai dalam sistem ini. Biasanya, mereka ada aplikasi ataupun laman web sendiri. Orang yang tak ada ilmu pembangunan laman web, akan mudah taksub dengan laman web ponzi. Walhal, laman web ponzi ini biasanya guna templat percuma saja. Laman web pun berat. Ada tu siap guna domain .xyz lagi dengan maklumat WHOIS yang entah apa-apa. Adalah mustahil untuk sebuah perniagaan berbilion ringgit menggunakan laman web dan server cap ayam. Ingat tu.

Dalam pelaburan, jangan semakkan kepala dan mudah termakan dengan sistem. Ingat asas utama perniagaan dan pelaburan. Apa yang dijual, apa yang dibeli dan mana aset yang dibeli. Aset mestilah berbentuk fizikal. Jika emas, mana emasnya? Jika tanah, mana tanahnya? Sijil dan gambar yang dicetak sendiri tak ada nilainya. Nak tahu ada nilai atau tidak? Cuba anda pajak ke bank sijil pelaburan anda, diterima atau tidak?

Iklan Google

Masalah Dokumentasi dan Kesukaran Mendapatkan Wang

Paling akhir, bagaimana kita nak tahu skim ponzi itu sudah nazak dan sudah di hujung nyawa? Kita masuk ke point terakhir iaitu masalah dokumentasi dan kesukaran mengeluarkan wang. Apabila sudah ada masalah ini, maka beringatlah. Anda bakal TERSONTOT. Itu tandanya syarikat sudah mula bersedia untuk cabut lari membawa baki wang yang ada dalam tabung skim. Masa ini, pelabur-pelabur awal yang dah biasa bermain ponzi akan mula berdrama. Nak pencen, nak berehat, nak balik kampung, dah rasa cukup berjaya, nak hidup sederhana, ada tekanan perasaan dan sebagainya.

Iklan Google

Masalah dokumentasi ni bila kita dah susah nak dapatkan rekod pelaburan kita. Kononnya sistem tengah maintenance, server tengah upgrade, ramai sangat orang buat pelaburan (taktik nak besarkan tabung scam sebelum cabut lari) dan macam-macam lagi alasan. Peliknya, bila kita nak tambah modal pelaburan, sistem tak jem pula? Masa ni syarikat akan kata jangan risau, pelaburan baru tetap akan ada rekod cuma lambat sikit. Siapa yang nak tambah modal, kena cepat-cepat sebab makin ramai orang masuk skim sampai server jem. Jangan lepaskan peluang kononnya.

Bila dah ada masalah dokumentasi, maka bermulalah episod susah nak keluarkan duit dari skim. Kena tunggu 3 hari, kemudian tunggu 7 hari, kemudian tunggu 14 hari dan tunggu sampai abang jamil tidak hidup. Para pentaksub dan orang atas akan mula buat propaganda supaya sabar dan jangan risau kerana jumlah duit dalam akaun skim masih ada dan tak berubah. Ayat-ayat biasa yang paling popular dalam skim ponzi Malaysia fasa hujung seperti “kita boleh sabar bertahun-tahun tunggu keuntungan, tak kan tunggu seminggu dua tak boleh?”. Lagi best, “syarikat kena akur dengan perintah BNM. Buat masa ni bursa ada masalah”. Tak pasal-pasal BNM dan bursa kena fitnah. Dia ingat bursa tu macam drive-thru McD ke ada buka tutup sampai berminggu-minggu?

Ada juga skim yang lebih berani dan mengambil risiko dengan menggantikan nilai duit kepada benda lain seperti koin, bintang, mata ganjaran, matawang kripto dan sebagainya dengan alasan penambahbaikan sistem baru. Sudahlah duit tak dapat keluar, digantikan pula dengan barang sampah yang tak ada nilai pun di dunia sebenar. Awak ingat koin tu boleh buat bayar beras di Mydin ke? Baik lagi eMadani, boleh juga buat beli makanan. Ada juga ponzi yang meminta anda membayar jumlah tambahan jika ingin keluarkan duit pelaburan. Sudahlah duit kena pegang, nak ambil semula kena bayar lagi?

Kenapa masalah ini terjadi? Biasanya sebab skim ponzi ini sudah mula popular dan dapat perhatian pihak berkuasa dan pakar-pakar kewangan dan penipuan di media sosial. Apabila banyak kritikan dan amaran dikeluarkan, persepsi dan pengikut tegar skim akan goyah. Pelabur baru akan berhenti dan ini akan meruntuhkan sistem ponzi yang pada asasnya hanyalah sebuah skim piramid. Orang baru akan bayar duit kepada orang lama. Apabila tiada lagi orang baru, maka tiadalah bayaran kepada ahli lama. Sebab itulah segala pengiklanan skim mereka dibuat secara rahsia dengan sistem yang sangat kompleks. Untuk melengahkan masa daripada dikesan oleh pihak berkuasa dan pakar-pakar kewangan untuk mengkaji skim mereka.

Iklan Google

Jadi, sentiasalah ikuti agensi kewangan dan media sosial pakar kewangan yang banyak memerangi jenayah scam ini bagi mengenalpasti sebarang skim ponzi yang baru. Akhir tulisan, ingatlah dialog paling lagenda ketua peleburan Malaysia,

“Nama pun pelaburan, mesti ada untung rugi! Tak nak rugi, masuklah ASB! Aku tak paksa korang masuk dulu!”

Rujukan berguna:

  1. Ponzi Scheme
  2. Arbitrage
Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img