Capaian Internet Lemah Adalah Hasil Sebuah Pembodohan

Pandemik Covid-19 nampaknya masih lagi belum berakhir. Pelbagai strategi dirangka namun hasil penurunan belum kelihatan. Dalam darurat ini, pekerjaan masih perlu dilakukan dan pembelajaran masih perlu diteruskan. Melalui pematuhan SOP, kebanyakan aktiviti dijalankan secara tidak berdepan. Yakni, melalui capaian internet.

Ini membawa kepada suatu luka lama kita semua. Capaian internet yang maha lemah terutama sekali di luar bandar. Membaca berita mengenai keluhan ibu bapa di surat khabar tentang capaian internet yang lemah, saya hampir tergelak. Satu permasalahan yang sudah lebih 10 tahun saya deritai, hanya kini surat khabar dan wartawan ingin bawa ke hadapan. Selama ini mereka semua ke mana? Sibuk mengejar sensasi dan bukannya sebuah berita?

Tertarik saya pada keluhan seorang bapa di Pasir Puteh, Kelantan melalui keratan laporan akhbar Sinar Harian. Keluhnya, anaknya banyak kali terpaksa ponteng sesi PDPR kerana masalah capaian internet. Jika dahulu, anak-anak tidak mampu ke sekolah kerana tinggal di pedalaman, kini masalah yang sama juga berlaku. Anak-anak tidak mampu ke sekolah kerana gagal mencapai akses atas faktor kegagalan infrastruktur. Jika dahulu jalan ke sekolah adalah dalam bentuk turapan aspal, kini jalan ke sekolah dijelmakan dalam bentuk capaian jalur internet. Tiada internet=tiada sekolah.

Kebetulan juga, kampung ibu saya juga di Pasir Puteh, Kelantan. Jika berada di kampung, jangankan kata capaian internet, panggilan suara juga sukar didapati. Sebut sahaja telco mana, semuanya sudah saya langgan untuk urusan di kampung ibu saya. Semuanya sampah.

Iklan Google

Kini, SKMM mendabik-dabik dada ingin menghapuskan rangkaian 3G dan beralih ke rangkaian baru 4G. Kononnya, lingkungan 4G di seluruh negara sudah mencapai 93%. Statistik ini saya tak tahu lah SKMM petik daripada mana. Hanya sebuah ketawa besar mampu saya ucapkan. Mungkinlah 7% yang masih belum mencapai 4G itu adalah jumlah keluasan Pasir Puteh, Kelantan dan juga Sabah dan Sarawak. Ataupun, kawasan yang saya sebutkan itu tak termasuk pun dalam pengiraan kawasan rangkaian SKMM?

Apa-apa pun, permasalahan capaian internet ini bagi saya adalah hasil daripada sebuah pembodohan turun temurun. Masyarakat secara umumnya masih lagi buta IT. Di kampung ibu saya, sudah saya siapkan surat untuk memohon pencawang baru dan serahkan kepada penghulu kampung tapi penghulu menyuruh saya pula yang membayar dan menghantar sendiri surat tersebut. Saya ingatkan surat tersebut akan diuruskan oleh pusat khidmat DUN, tapi balik-balik saya juga yang kena. Sudah lah surat pun saya yang buat. Mungkin pusat khidmat DUN gunanya hanya sekadar pusat makan laksa dan laksam sahaja.  Jangan kata surat untuk memohon pencawang, QR Code MySejahtera yang sudah saya cetak siap-siap dan diserahkan kepada beliau untuk masjid juga tidak digantung atas alasan “tak ada orang bawa telefon ke masjid“.

Iklan Google

Bila diadukan masalah dalam WhatsApp ataupun Facebook, maka ramailah akan marah-marah dan memerli kononnya di kampung lain pun sama sahaja masalah capaian internet. Pelik juga saya, jika semua kawasaan sama, tidakkah ini menunjukkan permasalahan ini serius dan menyeluruh? Adakah hanya kerana masalah ini adalah masalah lama dan menyeluruh maka saya kena redha dan menerima sahaja ia sebagai sesuatu yang normal?

Tak kurang juga ada yang marah-marah dan menyuruh saya berusaha dengan memasang parabola dan tidak mengadu domba masalah saya. Mereka-mereka inilah yang saya katakan hasil daripada sebuah pembodohan. Tidak tahu membezakan antara yang hak dan batil. Tidak tahu hak pengguna. Sebarang aduan dianggap adu domba yang perlu disenyapkan.

Lebih menghairankan, ada juga komen-komen dan pernyataan daripada kononnya seorang guru bahawa modul telah diagihkan dan pelajar sepatutnya berusaha dan saya petik komennya “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” unutk menyertai PDPR. Komen individu ini saya kira sebagai kejahilan tahap tinggi dan saya tidak mahu mengulas lebih. Adakah hanya kerana pelajar ini pelajar di Pasir Puteh, Kelantan maka mereka tidak layak menikmati sesi PDPR secara langsung dengan komunikasi dua hala?

Apakah cukup dengan hanya memberikan modul? Walhal ini masalah yang dialami semua. Sewajarnya, guru itu patut memahami masalah pelajarnya. Bukankah guru juga memerlukan capaian internet yang bagus untuk turut mengajar? Kenapa anda pula yang sibuk-sibuk ingin menjadi jurucakap telco dan ADUN? Anda dibayar gaji oleh telco kah?

Tak menghairankan sekiranya ada di kalangan anda yang ingin berkunjung ke kampung ibu saya ini dipenuhi dengan lubang-lubang di jalanan, lampu jalan yang tidak menyala dan longkang yang tersumbat kerana tak ada siapa yang berani membuat aduan takut diugut dan diherdik. Dalam WhatsApp kampung ibu saya juga, hanya kerana saya mengadu lembu memakan tanaman ayah saya, orang-orang kampung menyebarkan gambar ayah saya kononnya ingin mengatakan saya sebagai anak ‘kurang ajar’. Tuan lembu lepas tangan dan boleh pula menunggang agama dengan mengajar saya ‘adab berjiran’.

Bayangkan, sudah bertahun-tahun masalah capaian ini dialami, tapi tiada langsung pihak individu, NGO atau pertubuhan ingin menyaman telco kerana gagal menyediakan perkhidmatan yang diiklankan. Orang politik pula, tidak membantu langsung dalam hal ini. Mana tidaknya, yang menderita hanyalah anak mukim. Mereka yang berjawatan tidak merasai susahnya capaian internet kerana tinggal di kawasan dengan infrastruktur yang lengkap.

Iklan Google

Jadi? Apa tindakan kita dan anda semua? 4G Malaysia? Mimpi sajalah. Capaian internet fiber ke seluruh Malaysia? Kiamat pun belum tentu ada.

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img