Dikhabarkan bahawa Pixel 9 Pro XL mungkin memerlukan pengecas khusus untuk menyokong pengecasan pantas 37W.
Kaedah digunakan oleh Google ini, ialah dengan mengaplikasikan voltan yang lebih tinggi daripada arus biasa. Telefon ini boleh mencapai sehingga 18V, tetapi tidak semua pengecas di pasaran dapat memenuhi keperluan tersebut.
Banyak pengecas USB Power Delivery PPS, termasuk pengecas 45W Samsung, menyokong voltan yang diperlukan. Bagaimanapun, Google mengesyor kepada semua warga bumi agar menggunakan pengecas rasmi 45W mereka untuk memastikan keserasian penuh dengan Pixel 9 Pro XL.
Apa perbezaannya dengan SuperVOOC?
SuperVOOC juga menggunakan voltan yang lebih tinggi, tetapi dengan pendekatan yang sedikit berbeza. SuperVOOC biasanya menggunakan kombinasi voltan tinggi (biasanya sekitar 10V) dan arus tinggi (sehingga 5A) untuk mencapai kuasa pengecasan yang lebih tinggi, seperti 50W atau lebih. Dua sel bateri juga turut digunakan untuk pengecasan yang sangat pantas.
SuperVOOC pada peranti OPPO.Teknologi pengecasan pantas SuperVOOC juga sebenarnya adalah ‘proprietary”.
Bagaimanapun, Pixel 9 Pro XL menggunakan voltan yang lebih tinggi iaitu sekitar 18V, tetapi pada arus lebih rendah untuk mencapai kuasa pengecasan 37W, yang memerlukan sokongan pengecas USB Power Delivery PPS yang sesuai.
Kalau awak tanya abam, ok ke tidak, pada abam – diawalnya ok saja, kerana OPPO/OnePlus/realme turut menggunakan pengecasan proprietary iaitu SuperVOOC.
TETAPI, telefon-telefon pintar yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat ini menggunakan pengecasan pantas antara 80-100W.
Berbeza dengan Pixel 9 Pro XL yang hanya dapat memanfaatkan sehingga 37W sahaja. Jadi, agak sukar untuk abam menjustifikasikan spesifikasi ini, dengan penggunaan penyesuai (adapter) yang khusus seperti telefon-telefon SuperVOOC.
Ini bukan nak membahan ya, ini adalah fakta. Peminatnya nak butthurt atau tidak itu cerita kedua.
Agak ‘sayang’ juga kerana Google keluarkan pengecas berkelajuan 45W, tetapi telefon pintarnya pula tidak sampai kepada kelajuan itu.
Disk memanjang spike ke 100% kerana Windows 11 dan HDD memang ‘tak ngam’.
Orang dah bagitau sejak berkurun lagi, mereka yang masuk tender kerajaan janganlah berperangai sotong sangat. Letaklah SSD, mangkuk. Bila abam nak dapat buat kerja kalau macam ni jadinya? Tak guna CPU 12th gen sekalipun, tapi dalam masih hard disk.
Isk. Isk. Apalah guna i5 12th Gen ini.
Sesungguhnya mereka yang memanipulasi tender adalah golongan… (korang sambung sendiri).
Berita sedih sejak semalam. Banyak laman-laman utama dan popular bagi peminat anime untuk menonton anime telah ditutup. Laman-laman ini adalah tempat para peminat anime menonton anime kegemaran mereka. Walaupun begitu, laman ini akhirnya terpaksa ditutup kerana laman anime yang terlibat ini sebenarnya bukanlah laman rasmi dan sah untuk menayangkan siri anime.
Penutupan besar-besaran ini mungkin berkaitan dengan tindakan undang-undang daripada industri komik dan siri animasi Korea Selatan iaitu KaKao dan WebToon. KaKao telah menamakan 3 kumpulan utama dalam kes mahkamahnya yang membuat imbasan komik dan kemudiannya memuat naik secara percuma di internet setelah membuat terjemahan. WebToon pula, menyasarkan lebih daripada 170 domain utama laman perkongsian anime yang membuat tayangan tanpa lesen.
Antara laman yang telah ditutup semalam:
filmoflix.to
papadustream.to
animesuge.to
vidsrc2.to
flix2day.to
2flix.to
theflixtor.to
mov2day.to
fboxz.to
cinezone.to
aniwave.to
anix.to
zoroxtv.to
Sebenarnya, kebanyakan anime yang ditayangkan di laman yang ditutup semalam tidak lagi mempunyai perlesenan yang aktif. Bermakna, ia telah ‘sah’ di sisi undang-undang hak cipta untuk ditayangkan kerana jatuh di bawah lesen kreatif. Namun begitu, laman strim seperti CrunchyRoll dan WebToon yang turut membuat servis langganan anime begitu aktif dalam serangan hakcipta terhadap laman strim terbuka. Mungkin kerana mereka ingin membolot hak penyiaran anime.
Apa pun, ia adalah hari yang menyedihkan buat para peminat laman strim haram anime. Usah bersedih kerana laman strim halal yang percuma masih lagi ada seperti saluran YouTube Muse Asia dan juga BiliBili.
Cip ini dikatakan mempunyai keupayaan ray tracing setanding dengan teknologi pada PC, terutamanya melalui penggunaan teknologi baru yang dikatakan 20% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Ia dibina berdasarkan proses 3nm TSMC dan dijangka mengalahkan pesaing seperti Snapdragon 8 Gen 4 dari segi prestasi GPU dan penjimatan tenaga.
Dimensity 9400 juga akan digunakan dalam peranti seperti Vivo X200, OPPO Find X8 dan Redmi K80 Ultra.
Wah Vivo, asal Dimensity flagship je, dia dah ‘chop’ dulu.
Google telah melancarkan Imagen 3, versi terkini penjana imej AI yang boleh digunakan secara percuma melalui perkhidmatan AI Test Kitchen.
Imagen 3 mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi hanya daripada arahan teks, melebihi pesaing seperti Midjourney dan DALL-E.
Versi ini juga memperkenalkan ciri penyuntingan imej seperti inpainting, membolehkan pengguna mengubah bahagian tertentu imej dengan lebih tepat. Walaupun masih terdapat beberapa sekatan pada jenis imej yang boleh dihasilkan, Imagen 3 menawarkan akses lebih luas untuk eksperimen AI kreatif.
Hasil logo OMG Hackers menggunakan Imagen 3.Hasil yang dikongsi oleh pembaca OMG Hackers.
Abam dah cuba dan ternyata walaupun masih ada beberapa elemen yang agak kurang tepat meskipun arahan yang jelas telah diberikan, namun begitu tidak dapat dinafikan lagi jika ia datang dari Google, maka model ‘text-to-image’ yang dicipta mampu menghasil imej berkualiti tinggi setanding model dari syarikat lain.
SoC Rekaan Sendiri dengan Kerjasama Unisoc itu Dirancang Untuk Dilancarkan pada Suku Pertama Tahun 2025
Cipset tersebut dibangunkan bersama Unisoc, menggunakan proses 4nm TSMC N4P, dan dilengkapi dengan modem 5G oleh Unisoc. Unisoc sebelum ini dikenali dengan nama Speedtrum adalah antara pemain industri yang meningkat naik. Unisoc adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Shanghai.
Prestasinya dijangka setara dengan Snapdragon 8 Gen 1. Xiaomi sebelum ini pernah mencipta cipset rekaan sendiri, seperti Surge S1 pada tahun 2017. Surge S1 pernah digunakan dalam peranti mereka, Mi 5c. SoC baru ini adalah percubaan terbaru mereka dalam pembangunan cipset untuk bersaing dalam pasaran.
Sekiranya berjaya, SoC ini akan jadi cipset 5G Xiaomi yang pertama dan mungkin juga cipset kelas flagship pertama Xiaomi. Menjadi trend di mana pengeluar telefon mula mereka SoC mereka sendiri untuk digunakan bersama peranti keluaran mereka untuk lebih banyak kawalan dan talaan yang lebih ketat. Seiring dengan kehendak fungsi dan prestasi yang dimahukan pengeluar.
Harapannya selepas ini, Unisoc sudah tidak ‘busuk’ lagi.
Tak Mampu Bersaing Dengan Pengeluar dari China dan Korea yang Menawarkan Produk Lebih Baik pada Harga Lebih Rendah
Pengeluar elektronik Jepun, SHARP mengambil keputusan untuk menutup operasi kilang panel LCDnya di Sakai,Osaka, Jepun. Kilang yang dioperasikan oleh syarikat subsidiarinya Sakai Display Products (SDP), akan menghentikan segala operasi menjelang September tahun ini.
Kilang SDP SHARP di Sakai, Osaka, Jepun.
Kilang SDP ini menghasilkan panel LCD untuk televisyen. Dengan penutupan kilang ini, keupayaan Jepun untuk menghasilkan skrin panel LCD bersaiz besar pastinya akan terjejas. SHARP telah mengalami kerugian yang berterusan sejak 2012 kerana prestasi SDP yang buruk. Pada tahun 2016, SDP telah dibeli oleh syarikat Taiwan, Hon Hai untuk diselematkan. Namun, ia telah dijual kepada pegangan asing hanya 3 tahun selepas itu. Pada tahun 2022, Hon Hai menyerahkan semula SDP kepada SHARP.
Bandai Sakai, Osaka, Jepun.
Dengan peralihan industri skrin yang kini mula memilih teknologi baru seperti LED dan OLED, pengeluaran LCD kini dilihat tidak lagi menguntungkan. LCD, walaupun lebih mampu bertahan lama berbanding OLED tidak menjadi pilihan utama pembeli. Dengan penyertaan China dan Korea dalam pengeluaran panel paparan, pilihan LED dan OLED kini lebih murah dan berkualiti berbanding paparan LCD.
Logo syarikat Sharp Display Technology, SDTC.
SHARP juga turut mempertimbangkan untuk memindahkan pekerjanya di kilang Sharp Display Technology (SDTC) yang berpengkalan di Kameyama City, Mie ke kilang yang dimiliki oleh SONY. SDTC menghasilkan panel bersaiz kecil dan sederhana di kilang Kameyama dan dua lagi kilang di Jepun. SHARP memilih untuk mengecilkan bilangan stafnya dalam penghasilan panel paparan.
Istana Kameyama, pusat tarikan pelancong popular di bandar Kameyama, Jepun.
Dasawarsa ini, semakin ramai orang yang berminat untuk menjaga kesihatan dan kecergasan diri. Selain untuk menjaga penambilan, kesedaran juga semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia untuk lebih sihat dan bebas daripada senarai negara paling tinggi obesiti di ASEAN. Pelbagai jenis diet muncul dengan kelebihan tersendiri untuk penurunan berat badan, pembinaan otot, atau kesihatan secara keseluruhan. Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai beberapa jenis diet yang paling popular, termasuk prinsip, manfaat, dan kelemahannya. Mari kita belajar apa itu jenis-jenis diet yang popular sekarang.
Jam jadual Intermittent Fasting.
1. Intermittent Fasting (IF)
Apa Itu:
Intermittent Fasting (IF) ialah kaedah pemakanan yang melibatkan selang waktu makan dan berpuasa. Antara kaedah yang popular ialah 16/8 (berpuasa selama 16 jam dan makan dalam tempoh 8 jam), 5:2 (makan seperti biasa selama lima hari dan mengurangkan kalori secara drastik selama dua hari), dan kaedah eat-stop-eat (berpuasa selama 24 jam sekali atau dua kali seminggu).
Manfaat:
Membantu penurunan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori.
Meningkatkan kesihatan metabolik, termasuk sensitiviti insulin dan pembakaran lemak.
Mudah dan fleksibel, tanpa sekatan makanan tertentu.
Kelemahan:
Mungkin sukar untuk diikuti, terutama sekali semasa bulan puasa.
Boleh menyebabkan makan berlebihan semasa tempoh makan jika tidak diurus dengan baik.
Tidak sesuai untuk semua orang, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai sejarah gangguan pemakanan.
Menu tanpa karbohidrat.
2. Diet Tanpa Karbohidrat
Apa Itu:
Diet tanpa karbohidrat membuang semua jenis karbohidrat dalam diet anda. Sebaliknya, lebih menumpukan kepada pengambilan protein dan lemak. Ini adalah versi ekstrem diet rendah karbohidrat, di mana makanan dengan karbohidrat yang sedikit seperti sayuran juga tidak diambil.
Manfaat:
Penurunan berat badan yang cepat kerana badan beralih kepada pembakaran lemak untuk tenaga (ketosis).
Mengurangkan keinginan makanan dan meningkatkan kawalan gula darah.
Berkesan untuk mereka yang mempunyai masalah rintangan insulin atau diabetes jenis 2.
Kelemahan:
Sangat ketat dan sukar untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang.
Boleh menyebabkan kekurangan nutrien, terutamanya serat, vitamin, dan mineral.
Kesan sampingan termasuk keletihan, pening, dan mudah marah.
Contoh makanan yang tinggi protein.
3. Diet Tinggi Protein
Apa Itu:
Diet tinggi protein menekankan makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, telur, produk tenusu, kekacang, dan suplemen protein sambil mengurangkan pengambilan karbohidrat dan lemak. Diet ini menyokong pertumbuhan otot dan penurunan berat badan dengan meningkatkan metabolisme badan apabila perut sentiasa rasa kenyang.
Manfaat:
Menyokong pemeliharaan dan pertumbuhan otot, terutama apabila digabungkan dengan latihan kekuatan seperti angkat berat.
Membantu penurunan berat badan dengan mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran kalori.
Mungkin meningkatkan kesihatan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis.
Kelemahan:
Pengambilan protein yang berlebihan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang, terutama bagi individu yang mempunyai masalah buah pinggang.
Boleh menyebabkan ketidakseimbangan nutrien lain jika karbohidrat dan lemak terlalu sedikit dalam sistem badan.
Agak mahal kerana kos makanan yang tinggi protein tidak murah.
Diet OMAD memerlukan anda makan hidangan yang besar setiap hari.
4. Satu Hidangan Sehari (OMAD)
Apa Itu:
Diet Satu Hidangan Sehari (OMAD) adalah versi ekstrem intermittent fasting di mana individu hanya makan satu hidangan sehari dan berpuasa selama 23 jam. Pendekatan ini direka untuk mengurangkan pengambilan kalori secara drastik dan mendorong penurunan berat badan dengan pantas.
Manfaat:
Pengurangan kalori yang ketara, menyebabkan penurunan berat badan.
Mudah diikuti tanpa perlu merancang banyak hidangan.
Boleh membantu meningkatkan daya tahan mental dan fokus semasa tempoh berpuasa.
Kelemahan:
Boleh menyebabkan kekurangan nutrien jika hidangan tersebut tidak seimbang.
Boleh menyebabkan rasa lapar yang ekstrem, menyebabkan makan berlebihan atau pilihan makanan yang kurang sihat.
Sukar untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang dan mungkin mengganggu corak makan sosial.
Penggemar diet 2MAD biasanya mengambil hidangan sarapan dan makan malam sahaja.
5. Dua Hidangan Sehari (TMAD/2MAD)
Apa Itu:
Diet Dua Hidangan Sehari melibatkan pengambilan dua hidangan besar dalam jangka masa tertentu, biasanya sarapan dan makan malam, dengan tempoh berpuasa yang lebih panjang di antara keduanya. Pendekatan ini menggabungkan elemen intermittent fasting dan perancangan makanan.
Manfaat:
Memudahkan perancangan makanan dan mengurangkan pengambilan kalori keseluruhan.
Lebih fleksibel daripada OMAD sambil tetap mendorong penurunan berat badan.
Boleh membantu menstabilkan paras gula darah dan mengurangkan snek.
Kelemahan:
Masih boleh menjadi cabaran bagi mereka yang biasa makan banyak kali dalam sehari.
Memerlukan perancangan yang teliti untuk memastikan hidangan seimbang dan kaya dengan nutrien.
Rasa lapar dan penurunan tenaga mungkin berlaku, terutama antara hidangan.
Diet tanpa gula membuang semua jenis gula dan gula tambahan dari pemakanan. Hanya gula semulajadi seperti buah-buahan sahaja yang dibenarkan.
6. Diet Tanpa Gula
Apa Itu:
Diet tanpa gula membuang semua bentuk gula dan gula tambahan dalam kehidupan anda. Ini termasuklah minuman bergula, pencuci mulut, dan makanan yang diproses. Fokusnya adalah pada pengambilan makanan yang asli, tidak diproses dengan gula semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Manfaat:
Membantu mengurangkan pengambilan kalori dan mendorong penurunan berat badan.
Boleh meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dengan mengurangkan risiko obesiti, diabetes, dan penyakit jantung. Penyakit 3-serangkai.
Mengurangkan ketagihan gula dan menstabilkan tahap tenaga.
Kelemahan:
Sukar untuk dikekalkan dalam masyarakat di mana gula banyak terdapat dalam makanan. Orang Kelantan mungkin terima cabaran dan godaaan lebih berat.
Memerlukan pembacaan label makanan yang teliti untuk mengelakkan gula tersembunyi. Banyak label makanan menggunakan nama saintifik pada gula tiruan mereka. Menyebabkan anda selalu terambil gula tambahan tanpa sengaja. Contohnya dalam produk biskut tenaga dan tenusu.
Sesetengah orang mungkin mengalami kejutan pada tubuh mereka seperti sakit kepala dan mudah marah ketika baru memulakan diet.
Diet Atkins terbahagi kepada 4 fasa utama.
7. Diet Atkins
Apa Itu:
Diet Atkins adalah diet rendah karbohidrat dan tinggi protein yang bermula dengan pengurangan karbohidrat yang sangat rendah dan meningkatkannya secara beransur-ansur dari masa ke semasa. Diet ini dibahagikan kepada empat fasa: induksi, pengimbangan, penyesuaian, dan penyelenggaraan.
Manfaat:
Berkesan untuk penurunan berat badan yang cepat, terutama pada fasa awal.
Boleh meningkatkan kawalan gula darah dan menurunkan tahap trigliserida.
Menekankan makanan asli, tidak diproses, dan lemak yang sihat.
Kelemahan:
Fasa awal boleh menjadi ketat dan sukar diikuti.
Boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening, keletihan, dan masalah pencernaan semasa fasa induksi.
Sukar untuk dikekalkan dalam jangka panjang bagi mereka yang menggemari karbohidrat.
8. Diet Mesin Pembakar Lemak (FBM)
Apa Itu:
Diet Mesin Pembakar Lemak (Fat Burning Machine) menumpukan kepada peningkatan metabolisme dan pembakaran lemak melalui gabungan makanan tinggi protein, rendah karbohidrat, dan senaman yang kerap. Diet ini menekankan protein tanpa lemak, lemak sihat, dan sayur-sayuran tanpa kanji sambil mengurangkan karbohidrat dan gula.
Manfaat:
Mendorong penurunan lemak badan sambil mengekalkan jisim otot.
Meningkatkan metabolisme dan tahap tenaga.
Menggalakkan diet seimbang dengan makanan yang kaya dengan nutrien.
Kelemahan:
Mungkin memerlukan perubahan gaya hidup yang besar, termasuk senaman yang kerap dan perancangan makanan.
Boleh menjadi cabaran untuk dikekalkan dalam jangka panjang jika terlalu ketat.
Hasilnya boleh berbeza-beza bergantung pada metabolisme individu dan kepatuhan kepada pelan.
Kesimpulan
Setiap diet ini menawarkan manfaat dan cabaran yang unik dan berbeza-beza. Pilihan terbaik bergantung kepada matlamat, keutamaan, dan keadaan kesihatan individu. Sama ada anda ingin menurunkan berat badan, membina otot, atau meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Penting untuk memilih diet yang boleh anda kekalkan dalam jangka masa panjang dan kaya nutrien yang diperlukan oleh badan anda. Berundinglah dengan pakar kesihatan atau pakar diet untuk membantu anda memilih pendekatan yang sesuai untuk keperluan khusus anda. Ingat, tidak semua diet sesuai dan ada tindak balas dengan setiap orang. Cuba dan lihat sendiri hasil setiap diet sama ada sesuai atau tidak dengan badan anda.
CapCut adalah aplikasi penyuntingan video yang dibangunkan oleh Bytedance, syarikat yang sama yang mencipta TikTok. CapCut menawarkan pelbagai ciri penyuntingan video canggih tetapi mudah digunakan, menjadikannya pilihan popular bagi pengguna yang ingin mencipta video berkualiti tinggi tanpa memerlukan kemahiran penyuntingan yang mendalam.
Sebelum ini, abam ialah pengguna tegar VideoProc Vlogger, Shotcut dan DaVinci Resolve, tetapi hati terasa agak rindu pada Filmora, namun tidak mampu untuk melangganinya. Apabila alternatif demi alternatif dicuba, maka terjebaklah dengan CapCut.
Pada mulanya agak ‘jenuh’ juga hendak menggunakan aplikasi ini terutamanya pada telefon, kerana jika di telefon abam sudah biasa menggunakan KineMaster. Pelbagai ciri KineMaster yang sudah biasa digunakan, tiada pada CapCut kecuali berbayar. Maka tangan yang gatal ini pun mulalah mencuba versi Pro, lalu secara tanpa rela hati menjadi ‘melekat’ pada aplikasi ini.
Pertama, kerana cirinya yang mudah untuk difahami. Tak perlu mendalami tutorial yang terlalu kompleks pun sudah mampu menghasilkan video sendiri.
Kedua, kerana paparan antara muka penggunanya yang mirip Filmora terutama di desktop.
Paparan Antara Muka Pengguna
CapCut menampilkan antara muka pengguna yang mesra pengguna dan intuitif, ala Filmora – menjadikannya mudah difahami walaupun oleh pengguna baru. Berikut adalah komponen utama UI CapCut:
1. Laman Utama (Home Screen)
Projek Baru (New/Create Project): Di sini, pengguna boleh memulakan projek suntingan baru. Butang ini besar dan jelas di bahagian tengah skrin.
Templates: Tab ini menawarkan pelbagai template siap guna yang boleh diakses dan diubah suai dengan mudah.
Menu Alat (Tools Menu): Di bahagian bawah, terdapat pilihan seperti ‘Projects’ untuk menyemak projek yang disimpan, dan terdapat juga akses kepada ciri-ciri lain seperti ‘Upload to space’, ‘Rename’, ‘Duplicate’, dan ‘Delete’ (Menu ini terdapat dalam aplikasi mudah alih).
Paparan tangkap layar di bawah ini ialah antara muka pengguna aplikasi desktop (Windows).
Ini pula ialah paparan antara muka pengguna pada aplikasi mudah alih (mobile):
Versi Percuma
Versi percuma CapCut sudah cukup hebat untuk kebanyakan pengguna. Ia menyediakan pelbagai fungsi seperti:
– Alat Penyuntingan Asas: Potong, gabung, dan sesuaikan klip video dengan mudah.
– Efek dan Transisi: Terdapat banyak pilihan efek visual dan transisi yang menarik.
– Muzik dan Audio: Akses ke pustaka muzik percuma serta kesan bunyi yang boleh digunakan dalam video.
– Teks dan Pelekat (Stickers): Pilihan teks dengan animasi dan stiker yang berwarna-warni.
– Penggunaan AI: Beberapa ciri seperti penghapusan latar belakang dan efek auto.
Kelebihan utama versi percuma adalah tiada tanda air (watermark) pada video yang dihasilkan, dan ini jarang ditemui dalam aplikasi penyuntingan video percuma.
Versi Berbayar (Pro)
CapCut Pro menawarkan lebih banyak fungsi dan kandungan premium seperti:
– Template Eksklusif: Akses ke lebih banyak template yang kreatif.
– Stok Muzik Premium: Lagu dan muzik yang lebih luas dan berkualiti tinggi.
– Ciri Lanjutan AI: Alat AI yang lebih canggih untuk suntingan automatik.
– Tanpa Iklan: Versi Pro bebas iklan untuk pengalaman suntingan yang lebih lancar.
Adakah Versi Pro Berbaloi?
Bagi kebanyakan pengguna biasa, versi percuma sudah memadai. Versi Pro hanya berbaloi jika anda kerap menghasilkan kandungan video dengan keperluan kualiti tinggi, memerlukan akses kepada ciri-ciri lanjutan, atau jika anda mahu lebih fleksibiliti dalam menyunting video tanpa sekatan. Namun, bagi pengguna kasual atau pencipta kandungan baru, versi percuma sudah cukup kuat untuk kebanyakan projek.
Alternatif Percuma Lain
Selain VideoProc Vlogger, ShotCut dan DaVinci Resolve, untuk alternatif percuma yang lain kita juga ada:
– InShot: Aplikasi yang juga popular dengan alat penyuntingan video asas hingga pertengahan, walaupun ia meletakkan tanda air pada video versi percuma.
– VN Video Editor: Alternatif yang baik dengan antara muka mudah digunakan dan ciri-ciri hampir setara dengan CapCut.
– KineMaster: Versi percuma KineMaster menawarkan pelbagai ciri tetapi meletakkan tanda air pada video.
Konklusi Abam
CapCut menonjol sebagai aplikasi penyuntingan video serba boleh yang menawarkan fungsi komprehensif walaupun dalam versi percuma. Abam langgan versi Pro kerana ingin tahu serta tertarik dengan pelbagai ciri lanjutan yang ditawarkan. Pun begitu selepas menggunakan versi Pro, agak ‘sukar’ juga hendak berpatah balik ke versi percuma kerana kepebagaian ciri berbayar yang amatlah menyeronokkan, untuk diguna pakai pada projek-projek video di YouTube OMG Hackers.
Versi Pro mungkin berbaloi bagi pencipta kandungan profesional yang mencari lebih banyak ciri lanjutan dan kebebasan dalam penyuntingan. Namun, bagi kebanyakan pengguna biasa, CapCut versi percuma sudah cukup memuaskan. Jika anda mencari alternatif lain, abam boleh syorkan VideoProc Vlogger sebagai salah satu pilihan yang hampir setara dari segi fungsi dan kemudahan penggunaan.