Dry Box ataupun kotak kering adalah peralatan yang paling penting bagi mereka yang memiliki kamera. Tidak kiralah sama ada jurufoto profesional ataupun hanya sekadar hobi, kotak kering adalah peralatan yang wajib anda miliki.
Kamera adalah peralatan elektronik yang sangat sensitif. Bukan sahaja sensitif, ia juga sangat mahal! Selain daripada kamera itu sendiri, lensa kamera juga tidak kurang mahalnya. Malahan, untuk gred profesional, lensa kamera sahaja boleh mencapai harga berkali ganda daripada harga kamera.
Pertama sekali, apa itu kotak kering? Seperti namanya, kotak kering adalah sebuah kotak penyimpanan yang berfungsi untuk mengeringkan peralatan ataupun barangan yang disimpan di dalamnya. Ada dua jenis kotak kering di pasaran. Yang pertama adalah kotak kering statik dan yang kedua adalah kotak kering mudah alih.
Kotak Kering Statik
Kotak kering statik adalah “kotak” yang secara amnya berada dalam kedudukan yang sama dan sukar dibawa ke mana-mana. Kebiasaanya, kotak kering statik ini adalah kotak kering yang menggunakan tenaga elektrik dan mesti dipasang pada plag elektrik sepanjang masa. Bayangkan ia seperti peti sejuk, tetapi daripada menyejukkan makanan, sebaliknya ia berfungsi dengan memastikan peralatan di dalamnya kekal kering daripada sebarang kelembapan.
Kotak kering statik biasanya lebih besar dengan pilihan ruang penyimpanan yang lebih mudah dan versatil. Ia juga dilengkapi dengan meter digital yang sentiasa menunjukkan bacaan kelembapan semasa. Selain itu, kadar kelembapan yang dikehendaki juga boleh disuaikan mengikut kehendak pengguna. Kotak kering ini akan mengawal kadar kelembapan secara automatik mengikut penyesuaian pengguna.
Kotak Kering Mudah Alih
Kotak kering mudah alih adalah kotak yang tidak menggunakan kuasa elektrik dalam operasinya. Sekali pandang, ia tak ubah seperti tupperware ibu anda di rumah. Bezanya, pada satu bahagian pada kotak tersebut terdapat satu meter bacaan kelembapan. Saiznya biasanya lebih kecil daripada kotak kering statik. Ya lah, tujuan utamanya adalah untuk mudah alih. Sekiranya anda perlu ke luar kawasan selama beberapa hari dan ingin menginap di hotel, kotak kering mudah alih sudah tentunya lebih praktikal.
Kotak kering mudah alih memerlukan anda mengawal kadar kelembapan secara manual. Kelembapan dikawal di dalam kotak dengan menggunakan gel silika yang menyerap kelembapan. Jadi, anda perlu sentiasa memantau bacaan kelembapan pada meter kelembapan di kotak. Sekiranya terlalu rendah, anda kena membuang jumlah gel silika di dalam kotak dan sebaliknya.
Kenapa Kamera dan Lensa Perlu Sentiasa Kering?
Kamera dan lensa adalah peralatan yang mahal. Seperti yang kita semua tahu, kelembapan dan elektronik tidak boleh bercampur. Sekiranya kamera anda terdedah kepada kelembapan untuk masa yang lama, kamera anda akan mengalami kerosakan. Sekiranya kamera anda rosak, bayangkan sahaja kos kerugian yang anda perlu tanggung.
Sensor dan lensa kamera juga sangat sensitif dengan kelembapan. Sensor dan lensa biasanya dibuat daripada kaca. Apabila kaca terdedah kepada kelembapan, maka akan berlakunya pertumbuhan kulat. Kulat pada sensor dan lensa kamera boleh dilihat dengan mata kasar dan juga dapat mengganggu kualiti gambar yang diambil. Secara teori, kulat ini dapat dibersihkan secara manual. Namun begitu, harus diingat. Kos mencucinya TIDAK MURAH DAN MUDAH.
Selain daripada kaca, badan dan binaan kamera dan lensa juga perlu dijaga. Kulat juga boleh tumbuh pada getah. Getah adalah komponen yang banyak digunakan pada badan kamera untuk memberi lebih kekuatan pada plastik dan juga memberikan binaan dan estetik yang lebih premium pada kamera. Ia juga banyak digunakan pada bahagian kamera dan lensa yang memerlukan lebih genggaman.
Besi juga tidak terkecuali. Terdedah pada kelembapan untuk jangkamasa yang lama, besi akan berkarat dan tercela. Bayangkan, anda mahu berjimat daripada membeli kotak kering yang hargnya tak sampai RM200, sebaliknya anda memilih untuk merosakkan estetika dan fungsi kamera mahal anda.