Jepun adalah sebuah negara yang terkenal dengan inovasi dan kemajuan teknologi. Selain daripada itu, Jepun juga terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh besar dalam pop culture dan industri kreatif. Kejayaan siri anime dan permainan video mereka membolehkan Jepun “mendunia” di peringkat global.
Namun begitu, tidak bermakna negara matahari terbit ini tidak dilanda masalah dan budaya buruk. Selain daripada masalah populasi yang semakin menua, golongan muda Jepun banyak terjebak dengan budaya “hikikikomori”.
Hikikikomori adalah keadaan di mana seseorang itu hanya tinggal di dalam bilik dan tidak berinteraksi dengan dunia luar dan manusia lain. Mereka hanya berinteraksi dengan telefon, komputer ataupun permainan video mereka sahaja. Ia adalah satu penyakit mental yang serius melanda Jepun.
Situasi ini berubah apabila Nintendo memperkenalkan permainan Pokemon GO. Melalui permainan ini, ramai orang mula keluar dan bersosial bagi menyelesaikan misi dalam permainan dan menaikkan status karakter mereka. Ia jadi satu contoh di mana permainan video boleh menyelesaikan masalah sosial di dunia sebenar.
Begitu juga dengan masalah populasi mereka yang tidak cukup tidur. Nintendo sekali lagi mengeluarkan permainan video Pokemon Sleep, yang memberikan pemain insentif dan kelebihan apabila tidur mereka cukup dan berkualiti. Pemain dapat mengumpul mata dan pokemon apabila menggunakan telefon untuk menjejak kualiti tidur. Dalam Pokemon Sleep anda tidak hanya bermain, malah dapat melihat maklumat kualiti tidur anda secara saintifik.
Masalah lain yang melanda populasi Jepun sekarang adalah populasi yang semakin menua. Jepun memiliki 30% populasi 65 tahun ke atas dengan 10% dari populasi keseluruhan berusia lebih 80 tahun! Banyak langkah telah diambil kerajaan Jepun bagi menggalakkan kelahiran dan perkahwinan pasangan muda termasuklah kelonggaran syarat visa dan insentif perkahwinan.
Nampak gayanya, Nintendo kena buat permainan lain pula untuk selesaikan masalah ini…