Jangan Jadi Pengemis Bahasa, Kayalah Dalam Berbudaya!

Sukar untuk saya faham dan mengerti apa logik dan piawai wartawan masa kini. Jika dahulunya surat khabar dijadikan bahan rujukan penulisan di sekolah, saya rasa mungkin sekarang tidak lagi. Dulunya penulisan di surat khabar mematuhi piawai Dewan Bahasa dan Pustaka. Malah, penulisan di akhbar juga ada diserap ke dalam Kamus Dewan terutama sekali dalam terma-terma dan istilah baru.

Kini, wartawan baru lebih gemar jadi pengemis bahasa, miskin kosa kata. Perkataan inggeris ditulis semula dalam ejaan Bahasa Melayu. Lihatlah contoh di bawah. “Momen”? Apa itu “momen”? Kita sudah ada istilah Bahasa Melayu untuk menggambarkan perkara yang sama. Mengapa tidak gunakan perkataan “detik”? Dewan Bahasa dan Pustaka pula, tampak lebih selesa sekadar menyerap perkataan-perkataan inggeris yang diMelayukan ini. Tiada lagi taring dan kebisaan pada DBP yang dahulunya sangat berbudaya.

Ya, kita juga banyak meminjam kata daripada bahasa lain namun tidaklah sampai meminggirkan istilah dan perkataan sedia ada dalam Bahasa Melayu. Kita meminjam kerana istilah asing itu biasanya benda yang baru. Contohnya kata “garpu”, “almari”, “sekolah” yang mana objek ini dibawa oleh Portugis. Zaman dahulu kita tidak ada garpu dan almari dan nama objek ini dipanggil terus dengan nama asal yang dibawa oleh Portugis.

Begitu juga istilah Arab sepeti “takwa”, “tawakkal”, “iman” yang mana diajar melalui pengislaman. Itu tidak pelik. Adapun begitu, tidak semua istilah dan perkataan bahasa Arab itu diserap sepenuhnya walaupun dalam ibadah. Contohnya, perkataan “puasa” yang tidak diserap dari bahasa Arab. Dalam bahasa Arab, “puasa” disebut sebagai “souma”. Mungkin atas faktor sebelum kedatangan Islam lagi masyarakat Melayu sudahpun mengamalkan berpuasa.

Iklan Google

Oleh kerana itu, menamakan semula perkataan yang dah sedia ada dalam Bahasa Melayu kepada perkataan inggeris seperti detik=momen ini memang saya tak betul-betul tidak faham dan tidak boleh terima. Mana dia pejuang DBP yang aktif menegur kesalahan penulisan di akhbar tempatan? Mana dia bijak pandai di DBP yang selalu hadir memperkenalkan istilah-istilah baru dalam Bahasa Melayu.

Akan tetapi, bagi saya ini bukanlah salah DBP semata-mata. Pihak kerajaan juga dilihat langsung tiada inisiatif untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nama jalan dan nama bangunan diletakkan nama inggeris kononnya lebih global. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan juga hampir tiada dan tidak disedari. Papan tanda rasmi juga tidak dikawal selia untuk menggunakan bahasa dan tulisan bahasa kebangsaan. Mana tidaknya, dalam sidang parlimen sendiri pun para politikus sibuk bertelagah dalam bahasa asing dan kesat! Malah ada ahli politik Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu pun!

Di saat kami yang berada dalam bidang penulisan teknologi berusaha untuk me-Melayukan istilah sukar bahasa inggeris dalam bidang teknologi, wartawan arus perdana senang-senang pula melacurkan bahasa ibunda. Ia malahan dipandang sepi pihak kerajaan. Ironi dan memalukan!

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img