Baru sahaja beberapa hari lepas Mi A3 menerima kemaskini yang begitu kontroversi. Peranti telah terpadam dan gagal dihidupkan setelah melakukan kemaskini terkini kepada Android 11 yang baru.
Perkongsian daripada group Facebook Xiaomi Mi A3 Malaysia [OFFICIAL] menunjukkan ada juga pengguna Malaysia yang terkesan dengan masalah ini. Mi A3 telah mati secara keseluruhan dan kesemua kaedah baikpulih tidak berjaya.
Ada pengguna yang mendakwa telah menghantar Mi A3 mereka ke pusat servis dan berjaya menghidupkan semula Mi A3 mereka dengan Android 11 sedia dipasang oleh pusat servis.
Ada juga yang mendakwa, Android 11 yang diedarkan kepada pusat servis adalah versi yang berbeza daripada versi pada OTA.
Perkongsian yang lain juga mengatakan Xiaomi telah menukar motherboard yang rosak secara percuma di negara lain. Tidak ada kenyataan lagi daripada Xiaomi Malaysia samada mereka akan turut menggantikan motherboard yang rosak secara percuma. Untuk penggantian, motherboard Mi A3 berharga lebih kurang RM300 di pusat servis tanpa jaminan.
Setakat ini, OTA Android 11 pada Mi A3 telah ditarik balik oleh Xiaomi.