Kelestarian Digital telah tiba dan ini adalah beberapa perkara penting yang anda perlu tahu
Kelestarian Digital yang merupakan sebuah konsep yang telah diasaskan oleh para pakar pengamal kesihatan, kini semakin mendapat tempat di kalangan pemain industri teknologi terbesar dunia. Namun begitu, adakah Kelestarian Digital ini merupakan satu perkara yang sahih? Ataupun hanyalah sepatah perkataan gimik semata-mata yang tidak bertujuan untuk menaakul permasalahan sebenar di dalam dunia maya dan teknologi yang semakin berkembang pesat dari hari ke hari?
Hari demi hari, kita semua berhubung di antara satu sama lain pada kadar yang sangat pantas dan tanpa halangan.
Perniagaan menggunakan teknologi untuk memacu operasi mereka dan memperkasa tenaga kerja mereka. Para pelancong di luar negara boleh berhubung dengan keluarga di rumah melalui aplikasi sembang atas talian dalam masa sebenar dan secara langsung. Para pelajar tidak lagi perlu menyeksa diri membawa beg berat yang berisi bahan ulangkaji ke sana ke mari. Mereka kini sudah cukup sekadar membawa tablet atau komputer riba tanpa perlu berdepan risiko kecedaraan tulang belakang untuk melakukan ulangkaji dan menelaah pelajaran.
Pun begitu, setiap yang baik itu pasti ada juga buruknya. Dalam konteks teknologi secara amnya, dan internet khususnya, golongan pakar dan para pengamal undang-undang mula melahirkan kebimbangan mereka terhadap kesan buruk teknologi yang membawa kepada perubahan tingkahlaku manusia yang digelar sebagai “ketagihan teknologi“.
Ayuh bersama kita fahami konsep Kelestarian Digital. Ia adalah satu usaha global yang diasaskan untuk membawa keseimbangan di antara kepesatan perkembangan teknologi dan juga kesihatan individu. Melaluinya, usaha ini berharap untuk mencipta pendekatan yang holistik dan tunggal dalam penggunaan internet yang lebih bertanggungjwab.
Keinginan kita semua untuk terus berhubung di antara satu sama lain
Sekarang merupakan zaman yang menyeronokkan untuk hidup. Teknologi pada hari ini telah membebaskan dan memperkasakan kita semua dengan gaya hidup yang tidak pernah terjangkau dengan fikiran kita dan dianggap mustahil pada suatu ketika dahulu. Lebih daripada separuh penghuni dunia disambung dengan internet dan penggunaan telefon pintar pintar semakin meningkat saban hari. Hampir semua orang di dunia kini menikmati dan mampu mendapatkan sambungan internet dan seterusnya mengakses bahan-bahan di atas talian.
Tetapi, ada sisi yang tidak enak didengar dalam keupayaan capaian ini.
Platform atas talian – tidak kira samada rangkaian sosial, portal e-dagang atau permainan – pada hari ini seringkali menggunakan pujukan dan teknik motivasi untuk mengumpan para pengguna mereka. Menurut World Health Organization (WHO), ini termasuk :
- Kelangkaan : snap atau status hanya aktif untuk sementara waktu; memaksa pengguna untuk sentiasa terburu-buru ke internet.
- Bukti sosial : beribu-ribu pengguna telah retweet atau berkongsi artikel, jadi anda harus pergi ke dalam talian dan membacanya juga.
- Pemperibadian : suapan berita direka untuk menyaring dan memaparkan kandungan berdasarkan minat seseorang. Ini sering membawa kepada penciptaan ‘ruang gempa’; dan
- Kesalingan : menjemput lebih banyak rakan ke rangkaian untuk mendapatkan mata tambahan. Ia menjadi lebih sukar bagi seseorang atau rakan-rakan mereka untuk meninggalkannya apabila sudah terjebak.
Adakah taktik-taktik ini kedengaran dan nampak biasa bagi anda? Hampir seharian kita telah menggunakan peranti dan gajet sepanjang tempoh sedar kita tidak kira samada untuk urusan kerja, bermain, mahupun bersosial. Selain daripada menyuap diri sendiri dengan berita semasa (atau mengelakkan kita daripada berasa ketinggalan di zaman yang serba pantas ini), taktik-taktik ini digunakan dan diterap berdasarkan keinginan semulajadi kita untuk bersosial. Kita sudah terlalu terbiasa untuk bersosial pada skrin berbanding dengan melakukannya secara fizikal dan peribadi.
Dengan Wi-Fi yang hebat, lahirnya tanggungjawab yang hebat
Bukanlah perkara yang negatif sepenuhnya untuk menggunakan internet dengan lebih menyeluruh dalam rutin seharian kita. Seperti juga hal-hal yang lain, kesederhanaan itu adalah kunci utama. Menggunakan internet dengan lebih banyak tetapi tanpa tanggungjawab hanya akan mendedahkan kita kepada lebih banyak berita-berita palsu, dan juga menyebabkan ketagihan untuk sentiasa berada di atas talian sepanjang masa untuk terus-menerus mendapatkan maklumat terkini.
Bagi baby boomers hari ini, (dan juga millenials), kita masih ingat zaman di mana capaian internet tidaklah sebegitu mudah didapati seperti pada hari ini. Ini berbeza dengan generasi-Z, di mana zaman remaja dan perkembangan mereka telah dibentuk secara langsung seiring dengan penggunaan dan perkembangan internet.
Dengan risiko yang semakin meningkat melalui penggunaan rangkaian internet yang semakin pantas dan menyeluruh, syarikat-syarikat teknologi utama dunia juga bimbang teknologi masa kini telah menjadikan kita lebih jauh dan terputus daripada dunia realiti.
Di satu sisi, Apple baru-baru ini mengumumkan ciri baru pada iOS yang membolehkan pengguna memantau tempoh masa yang mereka gunakan pada peranti mereka; termasuklah meletakkan had masa pada penggunaan aplikasi, mengawal selia tahap gangguan daripada notifikasi, dan juga menghadkan penggunaan peranti oleh kanak-kanak.
Di satu sisi yang lain, Google merancang untuk menambah lebih banyak ciri pada Android OS mereka untuk memudahkan pengguna memantau penggunaan peranti mereka. Ini termasuklah papan pemuka yang memberitahu pengguna sebanyak mana masa yang telah digunakan ke atas peranti dan aplikasi mereka. Syarikat tersebut juga telah memperkenalkan fungsi ‘Wind Down Mode‘- yang mana merupakan fungsi seperti ‘Do Not Disturb‘ yang akan menukar warna skrin peranti kepada warna kelabu pada tempoh sebelum waktu tidur bagi mengelakkan gangguan sebelum waktu tidur kepada pengguna, sekaligus memberi tidur yang lebih berkualiti kepada pengguna.
Langkah-langkah ini sememangnya bagus dan membuktikan bahawa teknologi sudah banyak berkembang dari semasa ke semasa, namun ia masih lagi menggunakan peranti untuk membantu kita dalam menjalani rutin hidup yang lebih normal dan teratur. Perlu diingatkan, peranti sepatutnya hanyalah sekadar sebuah alat yang digunakan untuk membantu kita dalam melakukan tugasan seharian, bukannya alat untuk mengawal kehidupan seharian kita.
Lantas, apakah yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kefahaman agensi dan majikan kita supaya menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab?
Detoksifikasi Digital
Kita membenarkan teknologi memberitahu kita apa yang perlu dilakukan dan bukan sebaliknya. Kita sudah terlalu terikat dengan peranti peribadi dan rangkaian sosial dalam talian sehinggakan jika terpisah dengannya walau hanya untuk seketika, kita akan berasa cemas, panik dan mungkin juga depresi.
Namun seperti juga komputer, otak kita juga perlu merehatkan kuasa memprosesnya. Ia juga perlu membuang segala ‘cache‘ dan data sisa untuk beroperasi dengan optimum.
Antara trend popular dalam kelestarian digital pada hari ini adalah tabiat ‘detoksifikasi digital‘. Ketika pemaju teknologi tanpa henti mengeluarkan alatan dan sistem bagi membantu kita untuk mencapai keseimbangan dalam menggunakan peranti peribadi, titik tolaknya sebenarnya terletak pada diri kita sendiri untuk menggunakan teknologi dengan lebih berhemah.
Ini boleh dilakukan dengan cara semudah menyimpan telefon anda di dalam beg atau membuat peraturan kepada diri sendiri untuk tidak menggunakan telefon semasa waktu makan (walaupun mungkin sukar dilakukan oleh individu yang gemar mengambil gambar makanan untuk dimuatnaik ke dalam Instagram). Dalam kes ini, meletakkan peranti anda jauh dari pandangan mata dan capaian anda adalah satu langkah yang lebih bermanfaat untuk diri sendiri.
Menariknya juga, proses ‘detoksifikasi digital‘ ini tidak memerlukan masa yang panjang. Walaupun dengan hanya 3 hari sahaja, ia sudah cukup untuk mengurangkan stress dan kebergantungan berlebihan kita terhadap teknologi. Rahsianya cukup mudah; seseorang individu perlu menjauhkan diri mereka daripada skrin untuk mula menghargai dunia sebenar dan peri pentingnya untuk mengimbangi di antara kehidupan digital dan kehidupan realiti.
Kesimpulannya : ambil semula kawalan hidup anda daripada teknologi
Internet telah menjadi salah satu penggerak sosioekonomi terbesar sejak beberapa abad yang lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda kemerosotan.
Tetapi kita manusia adalah makhluk analog, bukan digital. Kita hanya mampu menerima dan memproses maklumat yang terhad dalam satu-satu masa yang sama. Oleh itu, penting untuk kita sentiasa berhati-hati dan mengawal diri sendiri dalam menggunakan teknologi.
Dengan mewujudkan garis panduan dan sempadan yang sihat dalam konteks hubungan kita dengan teknologi, kelestarian digital mengingatkan kita manusia bahawa kita adalah tuan kepada internet; dan bukan sebaliknya.