Shiva Shobitha Kalaiselvan mungkin bukan satu nama yang sangat dikenali oleh ramai orang.
Akan tetapi selepas ini, ramai yang bakal mengingati beliau sebagai Lelia, ketua kepada Sisters Of The League, setelah beliau membuat kemunculan pertama dalam siri Gotham musim ke empat episod 16, ‘A Dark Knight: One of My Three Soups’.
Shiva, 34, sebelum ini pernah terlibat dalam siri CW – The Originals, dan di Malaysia beliau pernah berlakon dalam teater ‘After Juliet’ serta ‘Malaysian Girls’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPaC).
Sedikit latar belakang beliau, Shiva merupakan graduan dengan ijazah dalam bidang kewangan dari Indiana University pada tahun 2006 dan kemudian bekerja sebagai jurubank di Milwaukee dan London.
Beliau kemudian mengikuti kursus pascasiswazah di Columbia University, New York dan menghasilkan dua produksi teater dengan syarikatnya sendiri Next In Line Productions.
Menyentuh mengenai penglibatannya dalam Gotham, masih terlalu awal untuk mengulas. Namun penonton sudah dapat melihat mutu lakonannya sebagai Lelia ketika berkomunikasi dengan Barbara Kean (Erin Richards). Adakah Shiva akan menampilkan aksi tempur dalam episod akan datang? Sama-sama kita nantikan.