Intro
Peranti ini telah dilepaskan lebih kurang 4 bulan lalu, namun dilancarkan di Malaysia pada 14 Disember 2017. Jadi sebarang ulasan mungkin agak kurang ‘panas’, namun saya tetap terpanggil untuk menulis kerana amatlah kurang atau hampir tiada reviu berbahasa Melayu bagi telefon pintar ini.
Jarang ada yang menulis ulasan untuk Meizu (bagi blogger Malaysia), kalau ada pun dari portal berbahasa Inggeris seperti SoyaCincau.
Ianya mula hadir di Malaysia dengan harga pengenalan RM899. Sekarang ia boleh didapati di Satu Gadget pada harga RM799 (Original Malaysia Set), beserta sebuah kotak hadiah percuma. Hadiah tersebut adalah selfie stick, fon telinga, dan i-ring.
Berikut adalah spesifikasi am bagi Meizu M6 Note ini:
- Saiz dan berat: 154.6 x 75.2 x 8.4 mm, 173g.
- Paparan skrin: IPS, 5.5″, Definisi Tinggi Penuh 1080 x 1920 (403 PPI).
- SoC: Qualcomm Snapdragon 625 (8x Cortex-A53 2.0 GHz) dengan Adreno 506 GPU
- RAM: 3/4 GB LPDDR3.
- Memori dalaman: 16/32/64GB (boleh menggunakan kad sd mikro hingga 256GB).
- Kamera utama: 12MP, Sony IMX 362, f/1.9 dan kamera kedua 5MP, Samsung 2L7, f/2.0, 4 LED dua tona.
- Kamera hadapan: 16MP, f/2.0.
- Bateri: Li-Ion 4000 mAh dengan mCharge (18W).
- Sambungan: 4G LTE, Bluetooth 4.2, BLE, WiFi 802.11a/b/g/n Dual Band, GPS, GLONASS, A-GPS.
- Sistem Operasi: Flyme OS 6, Android 7.1.2 Nougat.
Apa yang berbeza antara model ini dengan model Meizu yang lain ialah ia merupakan peranti pertama dari syarikat ini yang menggunakan Qualcomm SoC (Snapdragon 625, Adreno 506). Kebiasaannya meskipun untuk model flagship atau ‘perdana’, mereka menggunakan MediaTek ataupun Exynos. M6 Note menjadi titik tolak kepada bermulanya penggunaan Snapdragon yang mungkin akan membantu Meizu menjadi lebih ‘dipandang’ orang terutamanya dari pembangun di XDA.
Telefon pintar kategori pertengahan ini masih mempunyai bingkai atau ‘bezel’, namun ianya agak minima. Di bahagian bawah bingkainya terletak butang mBack, satu butang dengan pelbagai peranan. Tekan sekali, ia akan membawa terus ke home screen. Manakala ketik sekali pula, ia akan patah balik operasi ke belakang. Ketik dua kali, akan melancarkan kamera, dan seret skrin dari bahagian bawah ke atas akan melancarkan tetingkap multitasking.
Oh ya, butang mBack ini juga adalah sebuah pengimbas cap jari, yang mana perlu ditekan untuk membuka kunci telefon tersebut. Disebabkan ia perlu ditekan, mungkin anda akan merasakan sedikit lambat atau delay, tetapi pada saya ianya sudah mencukupi.
Flyme OS 6
Ok, cukuplah rasanya pengenalan terhadap telefon ini. Sekarang saya ingin membicarakan sedikit mengenai sistem operasi yang menjadi tulang belakang kepadanya.
Flyme 6 pada Meizu M6 Note adalah berasaskan Android 7.1.2. Sekali imbas ianya tampak sama sahaja dengan ‘ROM China’ yang lain seperti MIUI dan EMUI, yang tiada app drawer, dan terus memaparkan aplikasi yang telah anda pasang di home screen.
Namun apabila diteliti, ternyata Flyme OS mempunyai keistimewaan dan kekuatannya yang tersendiri, sesuai dengan ‘400 ciri baru‘ yang diwar-warkan. Kalau saya hendak senarai dan ceritakan satu persatu, rasanya semuka untuk artikel ini pasti tidak mencukupi.
Cuba anda tonton dahulu video di bawah untuk mendapatkan gambaran mengenainya.
One Mind AI
Suka saya hendak menyentuh salah satu daripada keistimewaan Flyme OS 6 ialah ia memperkenalkan kehadiran ‘independently researched-and-developed intelligent thinking engine’, iaitu One Mind AI.
One Mind AI menurut Meizu adalah kecerdasan buatan yang ‘self-develope’, iaitu ia akan mempelajari bagaimana anda menggunakan peranti, lalu ia akan beradaptasi dan menyesuaikan prestasinya mengikut kepenggunaan semasa.
Sebagai contoh salah satu dari cirinya ialah ‘Flash Launch’, yang mana ia akan menandakan beberapa aplikasi yang paling kerap digunakan, lalu memberikan ia lebih prioriti, dan membuat pengoptimuman kepada aplikasi tersebut agar ia lebih cepat dilancarkan, dan lebih respons apabila digunakan.
Terdapat juga fungsi ‘Process Reaper’. Ciri ini akan mengenal pasti jenis dan bagaimana sesuatu aplikasi itu berfungsi berdasarkan kepada tabiat penggunanya. Process Reaper ini kemudiannya akan mengurangkan (reap) proses yang menggunakan sumber memori yang banyak atau ‘berkelakuan’ secara tidak normal dan dalam masa yang sama mengekalkan proses yang diperlukan agar ia dapat berfungsi.
Secara tidak langsung ia mengurangkan penggunaan sumber memori dan melancarkan pergerakan aplikasi.
Selain itu, ciri One Mind AI yang menarik perhatian saya ialah ‘Auto-repair at Night’. Menurut laman rasmi Flyme 6, fungsi ini akan mengenal pasti waktu kerja dan waktu rehat anda. Apabila anda sedang tidur, sistem akan berada dalam keadaan ‘sleep mode’, dan memulakan ‘self-repair’ iaitu membuat/mengaktifkan defrag memori, memadam atau membersihkan cache sistem, mengoptimumkan penggunakan aplikasi latar belakang, mengurangkan penggunaan kuasa sedia (standby), dan mengurangkan lebih banyak sumber sistem atau memori.
One Mind juga mempunyai ‘Game mode’, yang mana ia akan mengenal pasti ketika sesuatu permainan dijalankan dan akan mengaktifkan Game Mode. Apa yang mode ini lakukan ialah ia akan memastikan permainan dapat dimainkan dengan lebih lancar, tanpa sebarang gangguan memori tidak mencukupi, notifikasi yang masuk tanpa sekatan, menyahaktif fungsi isyarat (gesture), agar anda boleh fokus ketika bermain. ‘Network Protection’ pula akan mengenali permainan atas talian lalu memastikan sambungan kepada rangkaian sentiasa stabil agar ia tidak mudah terputus.
Begitulah sedikit sebanyak tentang One Mind AI yang saya boleh ceritakan. Ia adalah kecerdasan buatan yang akan berfungsi di sebalik tabir, berbeza dengan Google Assistant yang lebih kepada ‘in your face’. Namun meskipun One Mind tidak kelihatan, jasanya kepada peranti tetap dapat dirasai.
Kamera
Salah satu kelebihan kepada M6 Note yang diberi penekanan selain pemproses Snapdragon dan kecerdasan buatan di sebalik tabir, ialah kameranya.
Didatangkan dengan tiga kamera, dua terletak di belakang dan satu di hadapan. Kamera belakang dilengkapi dengan Sony IMX362/Samsung 2L7, bergabung antara 12MP dan 5MP (f1.9/f2.0) Manakala kamera hadapannya pula adalah 16MP, dengan f/2.0.
Jika tidak salah pemahaman saya, kedua-dua kamera belakang dan hadapan mempunyai ‘Arcsoft Algorithm’, iaitu perisian yang akan mengoptimumkan hasil tangkapan. Untuk kamera hadapannya, algoritma ini akan menampakkan tekstur dan warna wajah yang lebih realistik, berbanding ‘beauty mode’ yang biasa dilihat pada telefon pintar lain. Ya, ia juga ada algoritma dari Arcsoft untuk bahagian ‘Beauty’, jadi jangan bimbang. Anda masih dapat menutup cela di wajah anda dengan mod itu. ?
Sampel Gambar
Berikut saya cuba tampilkan beberapa gambar yang sempat saya ambil semasa menggunakan M6 Note. Secara lalai (default), aplikasi kameranya akan meletakkan watermark pada setiap gambar yang diambil. Jika anda lebih suka ianya tiada, anda boleh menyahaktifkan ia melalui tetapan.
Tiada sebarang suntingan yang saya lakukan pada setiap gambar. Kesemuanya adalah ‘straight-out-of-camera’ (SOOC).
Rakaman Video
Sama sepertimana peranti pertengahan yang lain, kamera ini tidak mempunyai OIS, cuma saya masih lagi tidak pasti tentang kewujudan EIS pada rakaman 1080P. Anda boleh tonton sendiri video yang saya rakamkan di bawah. Mungkin ada, mungkin tiada. Apa pun bak kata ‘orang putih’, rakaman ini adalah usable.
Audio
Tahukah anda, Meizu bermula sebagai pengeluar pemain mp3 mudah alih? Jadi menurut hemah saya, sudah tentulah mereka ini merupakan pakar audio sebelum meneruskan langkah sebagai pengeluar telefon bimbit pintar pula.
Sayangnya, pada M6 Note tiada sebarang teknologi audio sokongan seperti DAC dalaman dalam model MX4Pro dan PRO 5. Kedua model tersebut menggunakan pemproses audio DAC ES9018K2M. Tidak lupa juga model Meizu Pro 6 yang mengaplikasikan codec audio Wolfson WM8998.
Disebabkan M6 Note tidak mempunyai sebarang bentuk penambahbaikan audio, maka kualiti audio yang dapat didengari melalui fon kepala adalah pada kadar ‘ok’ sahaja. Terdapat dua cara bagi menambahbaik audio, iaitu root dan pasang Viper4Android, atau gunakan DAC mudah alih luaran.
Bateri
M6 Note ini mempunyai bateri berkapasiti 4000mAh beserta ‘mCharge’ (18W). Sejauh pengujian yang saya lakukan, untuk mengecaj penuh bateri tersebut dari 10% ke 100% memakan masa lebih kurang 2 jam. Mungkin ia tidak selaju Dash Charge, tetapi pada saya ianya memadai kerana penggunaan bateri pada peranti ini adalah sangat-sangat menjimatkan.
Kebiasaannya saya akan mendapat lebih kurang 8 jam Screen On Time (SOT), dan jika penggunaan lebih ‘berhemah’, mungkin ianya boleh menganjak kepada 9 atau 10 jam.
Jika penggunaan agak intensif seperti bermain permainan dengan grafik berat, atau menonton YouTube, sekurang-kurangnya 5 hingga 6 jam SOT boleh diperolehi.
Prestasi
Meskipun ia hanya menggunakan pemproses Snapdragon kelas pertengahan, namun tiada apa yang boleh saya rungutkan tentang prestasinya. Dari multitasking (Multi-tugas? Tugas berbagai?), kepada kepermainan, semuanya berjalan dengan lancar. Ditambah lagi dengan pengoptimuman automatik oleh One Mind AI/Flyme, bateri yang dapat bertahan lebih lama dan dicaj lebih laju pula, saya rasa tidak banyak yang dapat saya ‘bisingkan’.
Permainan seperti Nova 3, Asphalt 8, Kingdom Rush Origins, dapat dimainkan dengan baik. Sedikit lag pada Asphalt 8 ketika intro – itu sudah pasti. Saya pun tidak tahu kenapa.
Kata Akhir/Konklusi
Jika anda sedang mencari sebuah telefon pintar dengan harga bawah RM1000, yang mempunyai kamera menawan serta kapasiti bateri yang memuaskan, maka jangan tunggu lama lagi. Dapatkan Meizu M6 Note hari ini, kerana kalau anda tunggu sampai esok, mungkin makcik sebelah rumah yang sedang membaca artikel ini sudah pun membeli stok terakhir.
Tq min. Ulasan yang padu. Kipidad.