Clairvoyance – the supposed faculty of perceiving things or events in the future or beyond normal sensory contact.
Di bawah kerajaan Amerika syarikat, CIA pernah menjalankan sebuah kajian yang diberi kod nama ‘Stargate’ atau Star Gate.
Projek ini adalah bertujuan untuk melakukan kajian ke atas kebolehan psikik yang dapat diaplikasikan kepada intipan dan tujuan ketenteraan.
Program tersebut tercetus dek kerana kebimbangan AS terhadap pesaingnya iaitu pihak Soviet yang telah melaburkan sejumlah besar wang untuk membuat kajian ke atas kemampuan psikik.
Antara sebab lain mengapa kerajaan AS mahu menghasilkan manusia psikik ala X-Men adalah kerana mereka akan dapat membuat intipan secara pasif, tidak memerlukan kos yang tinggi, dan juga tiada sistem pertahanan yang mampu menghalang kuasa psikik (setakat ini).
Projek yang bermula pada tahun 1972 di Stanford Research Institute, dikendalikan oleh Russell Targ dan Harold Puthoff, membuat kajian terhadap ‘psikoenergetik’, iaitu kemampuan memandang sesuatu objek secara jarak jauh, dan juga telekinesis, iaitu kemampuan seseorang untuk menggerakkan sesuatu objek tanpa menyentuhnya.
Kajian ini juga memfokuskan terhadap kebolehan individu untuk melihat sesuatu objek, manusia, atau tempat menggunakan ‘kuasa minda’ atau out-of-body experience (OOBE).
Mana-mana individu yang menunjukkan potensi telah dilatih dan diajar untuk menggunakan ‘anugerah’ yang mereka miliki bagi tujuan ‘peperangan psikik’.
Pada kemuncak projek di pertengahan 1980-an, program tersebut telah berjaya menghasilkan seramai tujuh orang psikik ‘sepenuh masa’. Tiga orang psikik dilaporkan bekerja di FT Meade untuk CIA dari tahun 1990 hingga Julai 1995. Mereka disediakan untuk berkhidmat kepada mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan.
Adalah dipercayai beberapa kejayaan dari program ini ialah:
- Mereka ditugaskan untuk mencari plutonium di Korea Utara pada 1994.
- Mereka telah mencadangkan tempat persembunyian Saddam Hussein di Iraq.
- Para psikik tersebut dikatakan telah membantu mencari peluru berpandu SCUD, serta projek-projek rahsia peperangan biologi dan kimia.
- Mereka juga cuba memburu Gadhafi sebelum pengeboman Libya pada 1986, tetapi Gadhafi tidak cedera dalam pengeboman itu.
- Adalah dipercayai juga mereka pernah menggunakan kebolehan seperti itu untuk mengesan tempat persembunyian Osama Bin Laden.
Pihak CIA telah menutup projek Stargate ini pada tahun 1995. Mereka juga telah melepaskan dokumen berkaitan Stargate secara umum di laman Electronic Reading Room. Sesiapa sahaja boleh mengakses dan membaca dokumen-dokumen tersebut, tiada rahsia lagi yang disembunyi.