Barangkali ada yang terfikir bahawa tiada apa lagi perkara menarik yang boleh dilakukan pada aplikasi WhatsApp (rasmi). Kebiasaannya trik menarik hanya terdapat pada aplikasi dari pihak ketiga yang telah dimodifikasi sehingga mempunyai pelbagai ciri-ciri yang boleh dikatakan lebih jauh maju ke hadapan.
Tetapi kita tahu matlamat WhatsApp buat masa ini bukan untuk itu. Ia dicipta agar menjadi klien permesejan yang stabil dan mudah difahami oleh sekalian masyarakat tanpa mengira had umur. Tidak dapat dinafikan kanak-kanak juga tahu mengendalikan WhatsApp. Ini membantu para ibu-bapa juga sebenarnya. Apa senario yang sesuai, itu elok anda fikirkan sendiri.
Cuma ramai yang tidak menyedari sebenarnya masih berbaki lagi beberapa trik dalam poket yang boleh diguna dan dimaksimakan manfaatnya. Mungkin ada beberapa perkara yang anda sudah tahu, tetapi apa salahnya kita buat ‘ulang kaji’ sebentar. Mari kita lihat apakah trik-trik tersebut.
1. Akses media, dokumen, dan pautan dengan lebih pantas.
Biasanya kita akan tercari-cari gambar, dokumen, mahupun pautan ke laman-laman sesawang sama ada dengan cara skrol atau menggunakan fungsi ‘Search’ pada menu. Sebenarnya ada cara yang lebih mudah, iaitu anda cuma perlu hala ke Group media. Jika untuk individu pula cukup sekadar pergi ke pilihan ‘Media’. Di situ terkumpul semua media, dokumen-dokumen dan pautan-pautan yang pernah dihantar.
2. Semak ruang storan.
Anda boleh membuat ‘audit’ terhadap ruang storan yang telah digunakan boleh WhatsApp. Caranya ialah dengan menghala ke pilihan Data and storage usage – Storage usage.
Anda boleh pilih mana-mana kumpulan atau individu untuk menyemak pelbagai kategori penggunaan ruang storan. Anda juga boleh pilih dari kategori tersebut atau kesemuanya sekali untuk memadam mesej-mesej yang telah dihantar. Tidak perlu kepada aplikasi lain untuk melakukannya.
3. Sembunyikan media dari WhatsApp supaya tidak kelihatan dalam galeri gambar.
Hei, saya tidak akan judge anda, ok? Anda punya sukalah nak sorokkan gambar atau video sekalipun. Mana nak tahu ada skandal yang perlu dijaga. Tak gitu?
Ehhh..
Caranya? Pergi ke pilihan Chats – dan buangkan tanda ‘Show media in gallery’.
4. Padam mesej dari dilihat oleh semua orang.
Trik ni dah lama, tapi eloklah kalau saya nak maklumkan bahawa jika anda hendak padam, anda ada masa sebanyak 4096 saat atau 1 jam 8 minit dan 16 saat. Pilih ‘Delete For Everyone’ dan mesej anda akan dipadam dari terpapar kepada semua penerima.
Sila ambil maklum juga bahawa para pengguna WhatsApp+ dan GBWhatsApp (contohnya) mempunyai pilihan untuk ‘revoke’ atau batalkan mesej yang telah anda padam. Maka, berhati-hatilah dalam menghantar sesuatu mesej. Tambah lagi kalau melibatkan skandal. Takut terhantar kepada isteri, dan isteri pula jenis geek, pandai guna WhatsApp+. ‘Masak’ anda nanti.
Bak kata abang Hamka Kereta Mayat, woha!
5. Export profil anda.
Disebabkan WhatsApp dimiliki oleh Facebook, ramai yang agak bimbang soal keselamatan data mereka. Atas sebab itu, sekarang terdapat pilihan untuk export data dari profil anda.
Anda cuma perlu hala ke Account – Request account info – Request report.
Proses laporan profil akan mengambil masa selama 3 hari, dan apabila ia telah siap, anda akan mendapat pula pilihan ‘Export Report’. Laporan tersebut kemudian bolehlah dimuat turun.
6. Broadcast mesej kepada individu tertentu.
Jika anda hanya mahu individu tertentu sahaja yang menerima mesej anda dan bukan kesemua penerima yang ada dalam satu-satu kumpulan, anda boleh gunakan fungsi ‘New broadcast’ dan kemudian pilihlah mana-mana individu yang anda mahu.
7. Gunakan WhatsApp Business untuk kendalikan urusan perniagaan anda.
Serius, jika anda ingin kendalikan urusan-urusan perniagaan anda dengan lebih lancar dan teratur, WhatsApp Business boleh digunakan untuk tujuan itu. Tambahan lagi ia boleh dipasang beriringan dengan WhatsApp (dua WhatsApp dalam satu masa).
Ada pelbagai ciri yang boleh anda maksimumkan impaknya ke dalam perniagaan anda, dan semuanya adalah percuma. Anda boleh juga gunakan ia melalui WhatsApp Web.
Muat turun: WhatsApp Business
Demikianlah sedikit sebanyak info yang boleh saya kongsikan buat masa ini tentang WhatsApp. Jika anda ada sebarang tips yang ingin anda kongsikan, anda boleh pm page kami atau emelkan tips anda ke admin@omghackers.com.