Android Box telah menjadi pilihan paling popular di kalangan rakyat Malaysia dalam usaha menggantikan televisyen ‘tradisional’ seperti Astro.
Jika ia dimanfaatkan secara kreatif, terdapat berbagai perkara yang boleh dibuat dengan peranti kecil itu.
Berikut disenarai beberapa perkara menarik yang dapat dilakukan untuk menjaga dan menggunakan Android Box kepada kemampuan maksimumnya.
1. Sejukkan Android Box
Sebenarnya kipas penyejuk USB selain dapat diguna bagi menyejukkan laptop, ia juga boleh diguna untuk menyejukkan Android Box anda.
Cari kipas penyejuk bersaiz kecil, dan letakkan Android Box di atasnya. Sekarang anda boleh pasang ia seharian tanpa terlalu bimbang akan suhunya.
2. Gunakan Smart YouTube TV
YouTube sememangnya aplikasi terbaik dalam mencari video-video menarik untuk ditonton. Tetapi aplikasinya boleh menjadi kes ‘hit and miss’, di mana ada antara fungsinya dapat ditambah baik bagi menikmati saluran atau video kegemaran dengan sebaik mungkin.
Oleh itu aplikasi Smart YouTube TV adalah alternatif terbaik untuk anda yang menggunakan YouTube sebagai media utama. Ia menyokong resolusi 4K, direka paparan antaramukanya khusus untuk skrin televisyen, dan dapat dijalankan tanpa Google Play services.
3. Langgan Myiptv 4K
Ia bukan lagi rahsia apabila rakyat marhaen menggunakan Android Box bagi menonton saluran televisyen penuh.
Salah satu dari caranya adalah dengan melanggan Myiptv (4K) dan memasang aplikasinya pada peranti.
Harga langganan kebiasannya bermula dari RM50+ dan menginjak naik mengikut bilangan bulan langganan yang dipilih. Di mana hendak melanggan? Anda kena pandai-pandailah mencari. Sedikit tips, di Facebook terdapat ramai penjualnya.
4. Beli Alat Kawalan Jauh Beserta Papan Kekunci
Biasanya laman lain akan mengesyorkan anda pasang aplikasi alat kawalan jauh pada telefon pintar sahaja. Mudah dan percuma. Tetapi saya berbeza dan tidak menggalakkannya kerana walaupun ia dibangunkan oleh Google, tetapi ia sudah pun ‘mereput’ di Play Store tanpa kemaskini.
Oleh itu, beli sahaja alat kawalan jauh yang mempunyai papan kekunci. Harganya lebih kurang RM30 hingga RM60. Percayalah, anda tidak akan menyesal.
5. Dapatkan Kemaskini Firmware
Sekiranya ada, jangan lupa kemaskini firmware bagi peranti anda. Ini bagi memastikan anda mendapat pembaikan ralat dan tampalan sekuriti terkini.
Sebagai contoh, saya masih menggunakan Tanix TX3 Mini. Firmware bagi peranti ini boleh dimuat turun di laman TANIX TV Box. Ya, peranti ini sudah lama, memang elok diganti baru. Tapi apa boleh buat, saya sendiri pun sudah jarang menonton televisyen.
Ada sesiapa nak taja Android Box baru? Ianya akan digunakan untuk tujuan sains.
6. Gunakan Adoptable Storage
Tips ini khusus untuk mereka yang menggunakan Android Box dengan ruangan storan berkapasiti kecil. Anda perlukan kad microSD, atau storan luaran bagi tujuan menambah kapasiti.
Buka Settings -> Storage and reset, lalu pilih ruang storan anda. Klik Set up as internal storage, dan pilih Format. Selepas proses ini selesai, peranti anda akan menjadikan kad microSD atau storan luaran anda sebagai ruang storan dalamannya.
Cuma jangan keluarkan ia dari peranti.
7. Gunakan Kemudahan Casting Untuk Memainkan Media Pada TV
Tanpa peranti Chromecast atau seumpama dengannya, anda boleh cast sama ada melalui telefon atau melalui laptop dan strim kandungan media pada televisyen. Tiada sebarang trik sukar yang diperlukan.
Anda boleh cari tetapan bagi mengaktifkan cast pada Settings di telefon pintar. Manakala untuk laptop, cara mudah adalah menggunakan aplikasi seperti VLC atau gunakan Chrome.
Pada Chrome, klik butang menu, dan pilih Cast… Pastikan telefon atau laptop anda berhubung dengan Android Box melalui WiFi yang sama.
Demikianlah sedikit perkongsian untuk digunakan oleh anda, jika anda mempunyai Android Box. Harap anda dapat memaksimumkan potensi sebenar peranti tersebut kerana disebalik saiznya yang kecil, ia dikuasakan oleh Android, dan jika anda tahu memanipulasi kelebihan Android, banyak perkara menarik dapat dibuat.
Jom kita layan televisyen dengan kuasa Android Box, strim Netflix sambil makan popcorn dan chill.