Berapa ramai yang rindukan Winamp? Rasanya jika ditanyakan kepada mereka yang sudah sekian lama menjadi pengguna tegar, pasti tidak dapat melupakan aplikasi itu. Winamp pada suatu masa dulu dikatakan sudah ‘mati’, kemudian dihidupkan semula kerana mendapat ‘nafas baru’, tetapi setelah sekian lama projek itu kekal senyap tanpa sebarang kemas kini.
Agak menyedihkan, kerana Winamp boleh dikatakan sebagai satu perisian lagenda. Tiada yang sama dengannya sama ada dari segi nostalgia, mahupun kepenggunaannya sendiri.
Atas sebab itu, projek baharu iaitu WinAmp Community Update Project atau singkatannya WACUP dibuat.
Setakat ini, WACUP ialah aplikasi berasaskan Winamp 5.666 yang ‘ditampal’ atau ‘patched’ bagi memberikan ia kemas kini dan ciri baru. Pada saya, antara yang menarik ialah ‘skins’ baharu yang menampilkan paparan bertema/berwarna boleh ubah, dari skin asal Winamp, hinggalah kepada skin baru yang tampak begitu berbeza.
Anda boleh rujuk beberapa tangkap layar di bawah.
WACUP masih berada dalam fasa ‘developer preview’, yang bermaksud ia sedang dibangunkan menuju ke arah versi stabil yang pertama. Setakat ini, versi preview dikeluarkan pada bulan Julai lepas, manakala versi beta pula dikeluarkan pada 3 September lalu. Ini bererti ia bukan projek ‘tinggal’ seperti Winamp, walaupun laman webnya menggunakan hosting murah, dikenal pasti apabila ia selalu ‘down’ (kami pun guna hosting murah juga dulu. Cheap recognize cheap. Heh!).
Anda muat turun dan cuba sendiri untuk tahu, sama ada kena dengan selera anda atau tidak. Muat turun di: WACUP (WinAmp Community Update Project).