Sama seperti bagaimana kita cuba menjimatkan penggunaan kuasa bateri pada telefon pintar dengan mengurangkan apa-apa penggunaan yang tidak perlu, kita juga harus mengurangkan penggunaan elektrik daripada terbiar membazir tidak digunakan namun masih mengalir.
Kita bukan bercakap tentang peti ais, WiFi router, atau mesin penapis air Cuckoo, tetapi kita sedang berbicara mengenai pelbagai peranti elektronik yang masih menggunakan kuasa elektrik walaupun anda menganggap ianya sudah ‘dimatikan’.
Pengecaj telefon pintar, Android Box, televisyen, pembesar suara, pemain Blu-ray, dan pelbagai lagi peranti yang melekap di soket kuasanya.
Kesemua ini menggunakan kuasa elektrik yang signifikan kepada bil elektrik anda.
Vampire power, atau juga dikenali sebagai vampire draw, phantom load, ghost load, dan kebocoran kuasa elektrik, didefinisikan sebagai perkakas atau peranti elektronik yang masih menggunakan kuasa elektrik meskipun ianya telah dinyahaktifkan, atau istilah lainnya ‘standby mode’.
Rujuk Standby power.
Biasanya tabiat pengguna yang terlalu bergantung kepada selaju mana sesuatu peranti itu dapat dihidupkan, menyebabkan mereka bertindak untuk membiar peranti dalam keadaan ‘standby’, atau contoh paling mudah pengecaj yang apabila tidak digunakan, masih lagi mengalirkan kuasa elektrik melalui kabel apabila suis tidak ditutup.
Diakui, memang seronok melihat Android Box yang mempunyai jam, masih menyala dan memaparkan jamnya. Apabila dihidupkan melalui alat kawalan jauh pula, ia akan terus memapar launcher, tanpa perlu melalui proses booting. Pengguna akan terus dapat membuka aplikasi kegemaran seperti Netflix tanpa perlu menunggu beberapa minit sebelum ianya dapat boot kepada paparan launcher tersebut.
Tetapi adakah ini sangat PERLU?
Adakah kelajuan beberapa saat lebih sedikit itu amat memuatkan, dan menyusahkan hidup anda?
Sekiranya tidak, adalah amat disarankan untuk tutup suis dan tanggalkan plug.
Di kebanyakan masa anda tidak berada di rumah, adalah amat membazir apabila anda membiarkan ia masih meratah arus elektrik. Kalau satu peranti, mungkin jumlah bil elektrik tidak begitu ‘terasa’.
Tetapi jika pengecaj telefon, pengecaj pencukur misai, Android Box, home theater, televisyen, PlayStation, dan entah berapa banyak lagi peranti elektronik yang masih mengalirkan kuasa tanpa digunakan berada dalam rumah anda, sudah pasti jumlah terkumpul penggunaan elektrik akan menjadi tinggi.
Oleh itu, jika anda ingin membantu poket anda untuk berjimat, adalah amat disarankan untuk menanggal kesemua plug dari soketnya.
Jika anda menggunakan sambungan wayar, tutuplah kesemua suisnya, dan jika tidak keberatan, tanggalkan juga plugnya dari soket di dinding.
Mulai hari ini, buatlah audit kepada rumah anda, dan matikan mana-mana punca penggunaan kuasa elektrik sekiranya ia tidak diperlukan.
Rujuk: How Vampire Power Works