PKP bukan alasan untuk kita menjadi tidak aktif dan menggemukkan badan. Ini adalah waktu yang paling sesuai untuk kekal aktif dan sihat kerana meskipun tidak boleh keluar rumah, ini bukan bererti kita menjadi anak patung dan berbaring sahaja.
Bersempena PKP, saya mengambil inisiatif untuk mendapatkan sebuah treadmill dengan tujuan melakukan senaman dari dalam rumah sahaja. Tak perlu keluar ke jalan untuk berjoging, dan juga tak perlu risaukan mengenai hujan apabila alat ini sudah tiba di pintu.
Sebaik saya mengambilnya dari tangan penghantar (terima kasih J&T Express), saya agak kaget seketika melihat badan abang J&T Express yang begitu kurus tetapi mampu mengangkat treadmill ini seorang diri. Saya enggan mengalah. Air muka harus dijaga.
Sebab itu, saya tidak mahu dibantu lalu terus mengusung treadmill ke dalam rumah. Sumpah, saya tak faham bagaimana dia boleh angkat seorang diri. Agak berat juga sebenarnya.
Beginilah keadaan kotak TR500 ketika saya membukanya.
Ini pula selepas siap pemasangan. Tak usah bimbang, tidak terlalu banyak pun benda yang perlu dipasangkan, dan alat bantuan untuk pemasangan juga ada disertakan sekali (dua unit hex key).
Menarik bukan?
Spesifikasi TR500:
Berat maksimum: 110kg
Konsol: Masa, Kelajuan, Jarak, Kalori, Nadi, Lemak Tubuh
Kuasa motor: 3.5HP
Pilihan kelajuan: 0.8-12KM/J
Jarak permukaan: 1100x400mm
Sistem kusyen: Penyerap hentakan terbina dalaman
Lain-lain ciri: Boleh lipat, sensor denyutan jantung, port USB, dan AUX beserta pembesar suara MP3.
Kasut sudah pun tersedia, saya tidak bertangguh dan terus mencuba.
Apa yang saya suka mengenai model treadmill ini?
Pertama sekali, ini ialah antara model treadmill bajet yang betul-betul murah. Dengan harganya di bawah lingkungan RM1000, sesiapa sahaja mampu mengumpul sedikit duit gaji setiap bulan untuk membeli sebuah.
Kedua, saiznya agak baik untuk pemula. Tidak terlalu besar, tetapi dalam masa yang sama tidak pula terlalu kecil. Ruang untuk anda berjalan mahupun berlari agak panjang dan luas.
Anda boleh lihat gambar berikut.
Jarak antara satu kaki ke satu kaki tidaklah begitu lebar, namun ia memadai. Cuma jika anda hendak berlari, saya sarankan pakailah kasut untuk mengelakkan sebarang kecederaan.
Seperkara lagi, walaupun dinyatakan ia sudah sedia diletakkan minyak pada bahagian bawah belt, tetapi saya syorkan untuk anda tambahkan terus sebelum penggunaan buat kali pertama kerana ketika diperiksa, saya dapati ia agak kering.
Papan pemuka atau dashboard pada treadmill ini amat mudah untuk difahami. Di sebelah atas terdapat skrin LED kecil yang memaparkan denyutan nadi, masa, kelajuan, jarak, dan kalori.
Manakala di bawah pula terdapat butang untuk meningkat dan merendahkan kelantangan pembesar suara, menaik dan menurunkan kelajuan, memilih program, menukar mode, dan juga butang untuk mula serta henti.
Suisnya terletak di bahagian bawah-hadapan, dan anda tidak perlu risau tentang plug kerana ia menggunakan plug standard Malaysia.
Ini ialah bahagian pengesan denyutan nadi. Sewaktu anda memegangnya, ia akan kerap memapar denyut nadi semasa, tetapi apabila ia dilepaskan, informasi lain seperti masa, jarak, kalori, dan sebagainya lagi akan bertukar-tukar dipaparkan.
Saya sudah menggunakan treadmill ini lebih kurang seminggu. Berdasarkan pengalaman saya, jika anda baru ‘berkenalan’ dengan mesin treadmill, maka eloklah kiranya anda mulakan dengan kelajuan yang perlahan dahulu.
Selepas anda berjaya menyesuaikan diri, barulah anda tingkatkan kelajuan sedikit demi sedikit. Ini untuk mengelakkan dari berlakunya kecederaan yang tidak diingini. Melainkan anda memang sudah biasa berlari di atas treadmill di gym, anda ikutlah saranan saya ini.
Di atas papan pemuka terdapat kunci kecemasan yang melekat padanya menggunakan magnet. Kunci ini amat penting sekali di letakkan pada baju anda. Seandainya terjadi perkara yang tidak diingini seperti kemalangan kecil, terjatuh (dan sebagainya lagi), anda boleh dengan cepat menarik kunci ini dan mesin akan berhenti serta-merta.
Pada saya ia sesuai untuk golongan yang tidak terlalu rendah, dan tidak terlalu tinggi. Anda mungkin akan kelihatan seperti hantu jerangkung mencari anaknya yang hilang sewaktu berlari sekiranya anda lebih tinggi dari saya (170cm).
Ya, ia ada mengeluarkan bunyi tetapi tidaklah kuat dan menjengkelkan pula. Bunyinya hanya sekadar cukup didengari di telinga anda sahaja.
Kalau ada satu perkara yang saya tidak beberapa berpuas hati ialah kadar kelantangan pembesar suaranya. Bunyi dikeluarkan agak perlahan, dan lebih baik lagi jika anda gunakan pembesar suara bluetooth yang dihubungkan terus dengan telefon pintar.
Selain itu, agak sukar untuk saya cari lagi titik kelemahannya, kerana dengan harga sebegini, anda mendapat pakej lengkap untuk kekal sihat tanpa perlu meruntuhkan bank di ibu kota. Harganya? RM689 sahaja.
Anda boleh dapatkan Vigor TR500 di Shopee atau Lazada.
Layari laman Vigor Fitness untuk maklumat lanjut.