CapCut adalah aplikasi penyuntingan video yang dibangunkan oleh Bytedance, syarikat yang sama yang mencipta TikTok. CapCut menawarkan pelbagai ciri penyuntingan video canggih tetapi mudah digunakan, menjadikannya pilihan popular bagi pengguna yang ingin mencipta video berkualiti tinggi tanpa memerlukan kemahiran penyuntingan yang mendalam.
Sebelum ini, abam ialah pengguna tegar VideoProc Vlogger, Shotcut dan DaVinci Resolve, tetapi hati terasa agak rindu pada Filmora, namun tidak mampu untuk melangganinya. Apabila alternatif demi alternatif dicuba, maka terjebaklah dengan CapCut.
Pada mulanya agak ‘jenuh’ juga hendak menggunakan aplikasi ini terutamanya pada telefon, kerana jika di telefon abam sudah biasa menggunakan KineMaster. Pelbagai ciri KineMaster yang sudah biasa digunakan, tiada pada CapCut kecuali berbayar. Maka tangan yang gatal ini pun mulalah mencuba versi Pro, lalu secara tanpa rela hati menjadi ‘melekat’ pada aplikasi ini.
Pertama, kerana cirinya yang mudah untuk difahami. Tak perlu mendalami tutorial yang terlalu kompleks pun sudah mampu menghasilkan video sendiri.
Kedua, kerana paparan antara muka penggunanya yang mirip Filmora terutama di desktop.
Paparan Antara Muka Pengguna
CapCut menampilkan antara muka pengguna yang mesra pengguna dan intuitif, ala Filmora – menjadikannya mudah difahami walaupun oleh pengguna baru. Berikut adalah komponen utama UI CapCut:
1. Laman Utama (Home Screen)
- Projek Baru (New/Create Project): Di sini, pengguna boleh memulakan projek suntingan baru. Butang ini besar dan jelas di bahagian tengah skrin.
- Templates: Tab ini menawarkan pelbagai template siap guna yang boleh diakses dan diubah suai dengan mudah.
- Menu Alat (Tools Menu): Di bahagian bawah, terdapat pilihan seperti ‘Projects’ untuk menyemak projek yang disimpan, dan terdapat juga akses kepada ciri-ciri lain seperti ‘Upload to space’, ‘Rename’, ‘Duplicate’, dan ‘Delete’ (Menu ini terdapat dalam aplikasi mudah alih).
Paparan tangkap layar di bawah ini ialah antara muka pengguna aplikasi desktop (Windows).
Ini pula ialah paparan antara muka pengguna pada aplikasi mudah alih (mobile):
Versi Percuma
Versi percuma CapCut sudah cukup hebat untuk kebanyakan pengguna. Ia menyediakan pelbagai fungsi seperti:
– Alat Penyuntingan Asas: Potong, gabung, dan sesuaikan klip video dengan mudah.
– Efek dan Transisi: Terdapat banyak pilihan efek visual dan transisi yang menarik.
– Muzik dan Audio: Akses ke pustaka muzik percuma serta kesan bunyi yang boleh digunakan dalam video.
– Teks dan Pelekat (Stickers): Pilihan teks dengan animasi dan stiker yang berwarna-warni.
– Penggunaan AI: Beberapa ciri seperti penghapusan latar belakang dan efek auto.
Kelebihan utama versi percuma adalah tiada tanda air (watermark) pada video yang dihasilkan, dan ini jarang ditemui dalam aplikasi penyuntingan video percuma.
Versi Berbayar (Pro)
CapCut Pro menawarkan lebih banyak fungsi dan kandungan premium seperti:
– Template Eksklusif: Akses ke lebih banyak template yang kreatif.
– Stok Muzik Premium: Lagu dan muzik yang lebih luas dan berkualiti tinggi.
– Ciri Lanjutan AI: Alat AI yang lebih canggih untuk suntingan automatik.
– Tanpa Iklan: Versi Pro bebas iklan untuk pengalaman suntingan yang lebih lancar.
Adakah Versi Pro Berbaloi?
Bagi kebanyakan pengguna biasa, versi percuma sudah memadai. Versi Pro hanya berbaloi jika anda kerap menghasilkan kandungan video dengan keperluan kualiti tinggi, memerlukan akses kepada ciri-ciri lanjutan, atau jika anda mahu lebih fleksibiliti dalam menyunting video tanpa sekatan. Namun, bagi pengguna kasual atau pencipta kandungan baru, versi percuma sudah cukup kuat untuk kebanyakan projek.
Alternatif Percuma Lain
Selain VideoProc Vlogger, ShotCut dan DaVinci Resolve, untuk alternatif percuma yang lain kita juga ada:
– InShot: Aplikasi yang juga popular dengan alat penyuntingan video asas hingga pertengahan, walaupun ia meletakkan tanda air pada video versi percuma.
– VN Video Editor: Alternatif yang baik dengan antara muka mudah digunakan dan ciri-ciri hampir setara dengan CapCut.
– KineMaster: Versi percuma KineMaster menawarkan pelbagai ciri tetapi meletakkan tanda air pada video.
Konklusi Abam
CapCut menonjol sebagai aplikasi penyuntingan video serba boleh yang menawarkan fungsi komprehensif walaupun dalam versi percuma. Abam langgan versi Pro kerana ingin tahu serta tertarik dengan pelbagai ciri lanjutan yang ditawarkan. Pun begitu selepas menggunakan versi Pro, agak ‘sukar’ juga hendak berpatah balik ke versi percuma kerana kepebagaian ciri berbayar yang amatlah menyeronokkan, untuk diguna pakai pada projek-projek video di YouTube OMG Hackers.
Versi Pro mungkin berbaloi bagi pencipta kandungan profesional yang mencari lebih banyak ciri lanjutan dan kebebasan dalam penyuntingan. Namun, bagi kebanyakan pengguna biasa, CapCut versi percuma sudah cukup memuaskan. Jika anda mencari alternatif lain, abam boleh syorkan VideoProc Vlogger sebagai salah satu pilihan yang hampir setara dari segi fungsi dan kemudahan penggunaan.
Muat turun di sini: CapCut.