Cinnamon merupakan persekitaran meja Linux hasil dari pembangunan yang dibuat oleh pasukan pembangun Linux Mint. Secara jujur, saya bukan peminat tegar bagi Cinnamon, kerana ia ‘terlalu windows’ untuk saya. Tambahan pula pemilihan skema warna pada Linux Mint yang terlalu kehijauan membuat saya tiada selera untuk menggunakannya.
Hinggalah terlahir Ubuntu Cinnamon.
Ubuntu Cinnamon ialah distro (Linux distribution) terbaru yang berasaskan Ubuntu 19.10. Tetapi dari menggunakan GNOME 3 yang menjadi persekitaran meja lalai pada Ubuntu waktu kini, ia mengguna pakai Cinnamon dengan skema warna hitam dan oren.
Pertama kali saya boot masuk ke desktop, saya sudah jatuh hati kepada wallpaper dan pemilihan skema warnanya. Hitam, oren, dan kilauan antara keduanya membuatkan saya berasa lebih selesa berbanding tema hijau alam oleh Linux Mint.
Dari luar, terdapatnya perubahan kosmetik dari segi tema, tetapi apabila menjengah ke dalam, ada beberapa komponen Ubuntu yang dibuang, dan beberapa darinya adalah aplikasi yang saya selalu gunakan.
Antara contohnya ialah aplikasi gnome-screenshot, dan gnome-system-monitor. Saya tidak beberapa faham mengapa mereka mengambil keputusan untuk membuangnya, kerana kalau hanya sekadar ingin berbeza sedikit dari Ubuntu atau Linux Mint, maka lebih baik kekalkan dua aplikasi tersebut tetapi ubah yang lain.
Sebut mengenai perubahan, Ubuntu Cinnamon menukar beberapa aplikasi, kepada pilihan mereka sendiri. Contohnya aplikasi pembuka gambar ditukar kepada gThumb, dan boleh juga dibuka dengan ‘Photos’.
Untuk aplikasi pejabat, Libre Office sudah tersedia dipasang. Saya memang tidak beberapa berminat dengan Libre Office, maka saya akan gantikan ia dengan WPS Office nanti.
Berbeza dengan Linux Mint yang sudah ada semuanya untuk multimedia, Ubuntu Cinnamon nampaknya masih mengekalkan ‘resepi’ Ubuntu yang minimal. Anda perlu pasang kesemuanya sendiri melainkan pemain video sedia ada iaitu GNOME MPV.
Selain itu, tiada apa-apa sangat yang hendak diperkatakan. Ia adalah Ubuntu, yang disertakan dengan Cinnamon – buat masa ini. Menurut pembangunnya iaitu Joshua Peisach, versi akan datang bakal memasukkan beberapa ciri baru dan penambahbaikan.
Anda boleh muat turun Ubuntu Cinnamon di sini: Ubuntu Cinnamon.
Anda juga boleh hala ke pautan lamannya, yang masih lagi dalam pembinaan: ubuntucinnamon.org.