Saya telah menggunakan beberapa TWS dari Tronsmart sebelum ini. Spunky Pro dan Spunky Beat adalah model yang telah memperkenalkan saya kepada produk-produk TWS Tronsmart yang berkualiti.
Terkini, Tronsmart mengeluarkan satu lagi produk baru iaitu Onyx Neo, yang mana merupakan derivatif dari Spunky Beat.
Ianya masih mengekalkan ciri dan reka bentuk yang tampak lebih kurang sama, namun ada beberapa ciri yang dikurangkan, berkemungkinan untuk juga mengurangkan harganya. Ya, Onyx Neo lebih murah berbanding Spunky Beat.
Onyx Neo ini pada saya adalah percubaan Tronsmart untuk mengeluarkan TWS dengan codec aptX yang lebih mampu milik berbanding model sebelumnya (Spunky Beat). Ini sudah semesti mempunyai sedikit kekurangan, tetapi apa yang telah ‘dibuang’ dari versi sebelumnya?
Sebelum kita teliti TWS baru ini, mari kita buka kotak dahulu.
Apa yang ada dalam kotaknya?
1x TWS Onyx Neo.
1x Bekas penyimpanan yang juga berfungsi sebagai pengecas.
1x Kabel pengecas USB-C.
1x Manual panduan pengguna.
1x Kad waranti.
3x Silikon penutup telinga dengan dua saiz.
Dari segi kapasiti bateri TWS, bateri bekas pengecasnya, dan lain-lain ciri, semuanya adalah sama dan serupa dengan Spunky Beat. Tiada apa yang membezakan antara keduanya melainkan dengan sedikit perbezaan pada bentuk TWS tersebut dan juga material (serta ciri) pada bekas pengecas.
Onyx Neo adalah ‘carbon copy’ kepada Spunky Beat, melainkan;
1. Bekas pengecasnya tiada integrasi dengan kabel pengecas USB, dan,
2. Bekas pengecasnya tiada pencangkuk/bahagian tempat penggantung.
Oleh itu, rasanya tak perlu lagi saya ulas panjang mengenai kualiti bunyinya kerana seakan sama sahaja antara keduanya. Untuk ulasan kualiti audio, anda boleh rujuk ulasan Spunky Beat di sini: Tronsmart Spunky Beat.
Kalau ada yang saya ingin catatkan sedikit di sini ialah tentang pairing, yang mana agak aneh sedikit pada Onyx Neo ini. Kebiasaannya kita akan membuat pairing antara dua TWS hanya dengan berhubung kepada satu nama dan satu TWS sahaja, kerana ia akan membuat ‘pasangan’ dengan sebelah lagi secara automatik.
Tetapi sebaliknya berlaku dengan Onyx Neo, yang mana anda perlu buat pairing dengan kedua-dua belah TWS secara manual. Ia tidak berjalan serentak, dan ini mungkin akan buat anda berasa sedikit kekok untuk pertama kali.
Saya telah membuat penetapan semula atau reset sebanyak beberapa kali bagi memastikan perkara ini, dan nampaknya tetapan dari Tronsmart sudah sememangnya begitu.
Ketika baru menggunakannya, terasa pairing tidak beberapa lancar apabila sambungan seringkali terputus-putus di sebelah kanannya. Setelah membuat penetapan semula dan re-pair dengan peranti, barulah bunyinya kurang gangguan dan tidak lagi terputus.
Barangkali ia hanya berlaku kepada unit yang diperolehi oleh saya sahaja, jadi anda boleh beli dengan hati yang tenang (ada waranti kan? Belasah saja sementara masih ditanggung beres oleh Tronsmart). Setakat beberapa hari penggunaannya ini, saya rasa prestasi atau kualiti sambungan Bluetooth-nya yang lancar itu banyak dibantu oleh chip dari Qualcomm tersebut.
Berapakah harga Onyx Neo ini?
Ianya berharga sebanyak RM159 di Shopee:
Dan RM199 di Lazada:
Bagi yang ‘kejar’ pemulangan wang dari aplikasi ShopBack terutamanya pembelian kali pertama, lebih berbaloi anda sambar dari Lazada walaupun mahal sedikit, kerana kadar pemulangannya adalah sebanyak 8% (maksimum).
Dari ketiga-tiga model ini, saya sememangnya paling sukakan Spunky Beat, kerana ia kurang bermasalah, dan memberikan prestasi audio terbaik. Onyx Neo berada di tempat kedua, dan Spunky Pro di tempat ketiga.
Codec aptX sememangnya memberikan kualiti audio lebih baik dari AAC, dan buktinya dapat didengari melalui Spunky Pro, yang mempunyai kualiti bunyi paling rendah antara kesemuanya.
Kehadiran Onyx Neo menjadi penyeri kepada siri TWS Tronsmart kerana ciri-ciri yang dikurangkan dari Spunky Beat tidak mempunyai impak signifikan kepada reka bentuk apatah lagi kualiti bunyi. Dengan harga yang lebih murah, Onyx Neo mampu bersaing dengan jenama lain yang setara harga dengannya.