Sebelum ini, abam pernah memperkenalkan juga beberapa aplikasi yang boleh digunakan untuk memantau jalur lebar dan kelajuan internet pada sistem operasi Windows. Salah satu yang menjadi kegemaran pada waktu itu ialah aplikasi NetSpeedMonitor, kerana ia boleh ditempatkan pada taskbar.
Malangnya, pembangunan untuk NetSpeedMonitor terhenti, sejak zaman Windows 7 lagi. Kali terakhir dikemas kini adalah pada tahun 2010, dan secara rasminya ia bertukar menjadi ‘dead project’. Agak sayang di situ kerana ia amat ringkas dan memudahkan kita untuk melihat berapakah kelajuan internet semasa pada taskbar sahaja.
Kini, seorang pembangun dari China mula membuat aplikasi lebih kurang serupa, dengan nama TrafficMonitor.
Traffic Monitor ialah perisian tetingkap terapung, pemantauan kelajuan rangkaian untuk platform Windows yang boleh memaparkan kelajuan rangkaian semasa, penggunaan CPU dan memori, menyokong pembenaman (embed) ke dalam paparan taskbar, menyokong penggantian ‘skin’, statistik trafik sejarah dan pelbagai fungsi lain.
Aplikasi ini mempunyai beberapa variasi/edisi, daripada x64, Lite, dan x86. Versi biasa merangkumi semua fungsi, manakala versi Lite tidak termasuk fungsi pemantauan perkakasan seperti pemantau suhu, penggunaan kad grafik dan penggunaan cakera keras. Edisi Normal atau biasa memerlukan keistimewaan pentadbir untuk dijalankan, manakala versi Lite tidak perlu.
Jika tidak ada keperluan untuk memantau maklumat perkakasan seperti suhu, adalah disyorkan untuk menggunakan versi Lite sahaja.
Anda boleh muat turun TrafficMonitor pada pautan: TrafficMonitor