Tahun 2010, zaman di mana konon jadi ‘Pakar IT’ dalam kelas atau pun kat tempat kerja buat kita rasa hebat. Bukan sekadar tahu tekan Ctrl+Alt+Delete kat makmal, tapi jadi orang yang rakan-rakan lain cari setiap kali mereka stuck sebab tak reti guna komputer. Konon kita ni macam hero IT, tapi sebenarnya banyak juga kelentong.
ComboFix – “Magik untuk Virus Degil”
Pada tahun 2010, komputer riba dan komputer di makmal sering kali dijangkiti virus yang degil. Walaupun virus tersebut tidaklah seteruk ransomware yang ada sekarang, ia tetap menjadi masalah besar. Tapi ada satu alat yang buat kita rasa seperti ahli sihir teknologi: ComboFix. Setiap kali rakan sekelas mengadu laptop mereka lambat atau penuh dengan virus, kita hanya perlu jalankan ComboFix. Beberapa minit kemudian, laptop mereka kembali bersih seperti sediakala. Kembang lubang hidung macam dah level hacker, padahal cuma tekan dua tiga butang je nak settlekan.
Folder Software – “Pusat Simpanan Berharga”
Internet pada masa itu tidaklah sepantas sekarang. Bagi yang menggunakan broadband Maxis, itulah antara yang terbaik, tetapi masih terhad. Jadi, bila berjaya mendapatkan software yang bagus, perkara pertama yang dilakukan adalah menyimpannya dalam folder yang dinamakan ‘Software’. Folder ini ibarat harta karun yang penuh dengan perisian penting. Kawan kelas pantang nampak kita ada software baru, terus mereka serbu macam dapat promosi kat Lazada.
How to Dual Boot Ubuntu, Windows 7 – “Pengembaraan Linux Bermula”
Selepas puas mencuba pelbagai perkara dengan Windows 7, kita mula terjumpa sesuatu yang baru: Linux/Ubuntu. Dari situ, lahirlah minat untuk mencuba dual boot, memasang kedua-dua Windows dan Ubuntu dalam satu komputer. Masa-masa mencari tutorial di Google untuk dual boot memang mendebarkan sebab bila-bila je laptop tu boleh jadi pemberat kertas elektronik. Bila akhirnya kau berjaya buat Ubuntu boot, rasa macam jumpa cheat code baru, dunia teknologi ni rupa-rupanya luas gila.
CCleaner – “Simbol Kehebatan”
Zaman sekarang, CCleaner mungkin dianggap biasa sahaja, tetapi pada tahun 2010, kalau kita ada CCleaner dalam komputer, itu memang satu perkara yang dibanggakan. Menggunakan CCleaner bukan hanya untuk membersihkan fail tidak berguna, tetapi juga untuk menunjukkan kepada rakan sekelas bagaimana menjaga prestasi komputer. Bila rakan sekelas tengok kita jalankan CCleaner dan lihat komputer mereka menjadi lebih laju, mereka pasti terpegun. Bila rakan kelas terkejut dengan prestasi laptop mereka, rasa seperti Akira Nakai baru siap modify Porsche klien beliau.
WinRAR – “Legenda Arkib Fail”
WinRAR adalah satu lagi alat yang tak kurang hebatnya. Walaupun kita dah lama guna WinRAR, kebanyakan kita masih terus tekan butang ‘Close’ bila pop-up suruh beli lesen keluar. Lama-kelamaan, kita mula mengenali alternatif seperti 7-Zip, tapi pada masa itu, WinRAR lah raja arkib fail. Setiap kali perlu zip atau unzip fail, kita secara automatik akan cari WinRAR. Ia adalah alat wajib ada dalam komputer ‘Pakar IT’ masa tu. Biasanya rakan kelas tengok fail .rar macam tengok matematik tambahan, masa tu kita pura-pura faham sambil Google kat belakang.
Pendrive – Alat Serbaguna
Dan akhirnya, pendrive. Pada tahun 2010, pendrive adalah alat serbaguna yang sangat penting. Bukan sahaja untuk simpan kerja sekolah atau lagu MP3, tetapi juga menjadi tempat simpanan software penting seperti ComboFix dan CCleaner. Namun, fungsi utama yang paling berharga ialah sebagai bootable Windows 7 installer. Dengan hanya satu atau dua pendrive yang sama, kita boleh bantu rakan-rakan sekelas memasang semula Windows atau memperbaiki komputer mereka yang bermasalah. Dengan kapasiti yang terhad, kita belajar untuk simpan hanya yang penting dan perlu. Pendrive ni kira macam gadget rahsia, sentiasa ada dalam beg sekolah, ready untuk misi rescue komputer yang tengah nazak.
Itulah sedikit imbasan zaman 2010, di mana kita dianggap ‘Pakar IT’ dalam kelas. Setiap alat, perisian, dan pengalaman ni bukan je buat kita nampak pandai, tapi juga ajar kita banyak benda… termasuklah malas, tapi sebab kawan minta tolong, kita buat jugak. Walaupun masa dah berlalu, kenangan dan pengalaman ni tetap jadi bukti betapa jauh kita dah melangkah dalam dunia IT, walaupun kadang tu lebih banyak sebab nak tolong member dari minat sendiri.
-AtotheP