Memilih kereta pertama pastinya memeningkan. Tambahan pula, bagi mereka yang baru pertama kali ingin membeli kereta, pastinya banyak yang perlu difikirkan. Tambah lagi dengan ‘racun’ kawan-kawan dan faktor kehendak lawan kemampuan, pastinya cukup kusut untuk membuat pilihan.
Ambil purata gaji permulaan minima baru kerajaan sebanyak RM1,700, tak banyak pilihan kereta yang sebenarnya ‘mampu’ dalam kategori gaji ini. (Saya yang layak cukai pendapatan pun tak berani nak ambil Myvi). Mengikut perkiraan perancang kewangan, kereta yang mampu milik sebenarnya hanyalah dalam julat 15% daripada pendapatan bulanan.
Jika gaji anda RM1,700, anda sebenarnya hanya mampu untuk memiliki kereta dengan bayaran bulanan RM255. Macam mana? Ada tak kereta dengan bayaran bulanan RM255 sebulan? Jika kereta terpakai, mungkin ada. Tapi jika kereta baru? Jadi ini membawa kita kepada faktori pilihan paling popular; “Kereta apa paling murah di pasaran?”. Dan kita ada dua pilihan iaitu Perodua Bezza dan Proton Saga.
Setelah mengambil kira pelbagai faktor, saya memilih Proton Saga Premium S secara peribadi. Bagi saya, Proton Saga menang secara keseluruhan dan memiliki keseimbangan paling baik bagi harga, prestasi, keselesaan dan keselamatan.
Apa yang best?
- Pemanduan yang sangat selesa. Proton Saga memiliki NVH (Noise, Vibration, Harshness) antara yang terbaik di pasaran. Memandu dan menaiki Proton Saga terasa seperti berada di dalam kereta sedan bersaiz besar. Senyap dan tidak bergegar.
- Ruang dalam yang tidak sempit terutama bagi penumpang belakang.
- Saiz bonet belakang yang besar, 420 liter. Lebih besar berbanding bonet kereta sedan segmen B dari Jepun!
- Aksesori ‘sport’ sedia ada dari kilang. Setiap varian Proton Saga sudah dipasang dengan strut bar depan bagi memberi lebih kawalan dan kestabilan di selekoh.
- Rekabentuk dan penggayaan yang sudah lengkap. Bagi varian Premium S, sudah siap dipasang bampar depan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang. Rim juga sudah diberi rim sukan saiz 15 inci. Jadi, tak perlu susah-susah dan berhabis duit ke kedai aksesori selepas menerima kunci kereta pertama anda.
- Transmisi 4AT dari Aisin. Bagi saya yang selalu berulang-alik dari Kelantan ke Pahang dan Kuala Lumpur, transmisi 4AT ini memang sangat sedap. Dengan 4AT anda tak perlu risau sangat dan tak perlu dibelai sangat. Di lebuhraya CSR dan Merapoh, saya boleh kekalkan kelajuan maksima sehingga 160KM/J. Tidak seperti CVT yang selalu orang cakap “tak boleh lenjan”.
- Meter panel yang separa analog. Lebih praktikal berbanding skrin LED sepenuhnya.
- Lampu hadapan menggunakan soket mentol halogen. Juga lebih praktikal dan senang ditukar jika saya ingin lampu yang lebih terang/warna lebih panas/jenis mentol projektor.
- Sistem audio yang mantap. Mula-mula saya terkejut juga. Audio Saga ini memang macam dah ditala siap-siap. Sistem infotainment juga sudah ada DSP dan EQ sendiri. Dari kilang, Proton Saga sudah dilengkapi dengan 4 unit speaker.
- Bonet belakang boleh buka dengan kunci. Ada lampu! 😂
- EKON SEJUK!
Apa yang tak best?
- Proton kedekut dengan ciri keselamatan. Walaupun Proton ada fasiliti HPF, casi Proton Saga hanya dibina dengan UHSS (Ultra High Strength Steel). Beg udara juga hanya 2. Tiada ADAS, hanya beberapa ciri keselamatan aktif seperti EBD, ABS, ESC, dan Traction Control.
- Dah tahun 2024, masih lagi tiada Android Auto/Apple Car Play pada unit radio. Padahal Proton Saga dah ada skrin 7 inci untuk radio dan infotainment.
- Tak ada lampu kabus depan dan belakang sedangkan model sebelum ini ada. Cukup sekadar lampu siang (DRL)?
- Enjin CamPro 1.3 walaupun banyak dikutuk, tapi ia masih lagi “ok” dan terbukti. Kalau boleh, Proton perlu berikan transmisi 5AT atau 6AT untuk Saga. Atau setidaknya, letakkan ia pada varian terpilih. Contohnya Proton Saga R3. (tak adalah R3 sekadar cat hitam saja). Kalau ada Proton Saga 1.5 SE dengan 6AT, memang king!
Kesimpulannya, Proton Saga adalah sebuah kereta yang sangat sedap dipandu terutamanya sekali bagi mereka yang membawa ramai orang dan muatan banyak untuk perjalanan jauh. Penggunaan bahan api? Bagi saya bab petrol ni tak signifikan sangat pun. Jika kereta itu diiklankan sebagai “jimat minyak”, percayalah, untuk perjalanan jauh pasti telan banyak minyak. Kebanyakan iklan dan dakwaan “jimat minyak” ni hanya mengambil kira pemanduan dalam bandar dan jarak dekat saja.
Jika anda membeli Proton Saga semasa bujang, percayalah ia akan terus dapat berkhidmat cemerlang sehingga anda berkeluarga kelak. Bonet belakang boleh muat 4 bagasi baju, bakul susu dan 2 pek lampin pakai buang. Saya boleh muatkan 2 biji kerusi roda dalam bonet belakang Saga. Itu pun, masih lagi ada ruang untuk beg baju dan barang-barang belian dari pasaraya.
Namun begitu, tak dapat dinafikan yang Proton Saga ini adalah satu model sedan yang sudah ketinggalan zaman berbanding pesaing rapatnya dari segi teknologi. Jika Proton ingin memastikan Proton Saga kekal relevan di zaman ini, Proton perlu mula lengkapkan Proton Saga dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Paling busuk pun. beg udara bagilah 4 biji. Android Auto/Apple Car Play tu ejaslah Proton.