Masih menggunakan sesuatu yang melanggar privasi adalah sama seperti merokok. Anda tahu ianya tidak bagus untuk diri anda, tetapi anda masih tetap ingin melakukannya setiap hari.
Ibarat anda ingin mendapatkan ‘dopamine hit’ setiap kali menatal Facebook atau Instagram, seperti itu jugalah dengan enjin carian.
Anda tidak betah menggunakan enjin carian lain selain Google kerana sudah terbiasa dengan semua ‘kemudahan’ diberikan meskipun gantinya ialah data peribadi. Anda rasa kekok, janggal, atau ‘ketagih’ untuk melihat pemandangan biasa di Google, tetapi rasa ‘resah’ apabila pemandangan tersebut ‘hilang’ pada enjin carian lain.
Memilih enjin carian untuk tujuan lebih privasi tidak mudah. Pastinya ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Kenapa hasil carian di Google begitu disukai?
Google menerima gelintar pertanyaan setiap saat sebanyak 63,000, dan 5.5 billion setiap hari. Ini menjadikan Google sebagai sebuah gedung informasi pengguna yang teramat besar sekali. Tidak menghairankan sekiranya carian di Google adalah lebih menepati citarasa pengguna kerana mereka tahu apa yang patut ditunjukkan.
Tetapi untuk itu, anda mengorbankan maklumat seperti alamat IP, user agent pelayar web, gelintar pertanyaan anda, lokasi, dan sesuatu yang dapat menjejak kembali ke diri seperti unique identifier.
Daripada kesemua maklumat ini, Google lalu membentuk profil diri anda yang tepat, seakan DNA dalam bentuk data. Mereka tahu masalah kesihatan anda, maklumat pasangan, bias politik, hinggalah kepada sesuatu yang lebih peribadi, seperti adakah anak anda sedang mengandung, ataupun tidak.
Dalam artikel seterusnya, kami akan mengungkap beberapa enjin carian yang lebih privasi, untuk sesiapa yang mahu mencuba dunia sibernetik ‘luar’ selain Google Universe.